Author: Bernama

  • Kes aniaya Bella: Siti Bainun bebas atau bela diri diketahui esok

    Kes aniaya Bella: Siti Bainun bebas atau bela diri diketahui esok

    KEPUTUSAN sama ada pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, akan diketahui esok di Mahkamah Sesyen di sini.

    Hakim Izralizam Sanusi dijadual membacakan keputusan di akhir kes pendakwaan pada 9 pagi.

    Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud kes prima facie terhadap Siti Bainun, 30, maka dia akan dipanggil membela diri, manakala jika sebaliknya pengasas rumah kebajikan itu akan dilepaskan dan dibebaskan.

    Pada 28 Okt lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula 30 Mac lepas.

    Selain Bella, saksi lain termasuk bekas penghuni Rumah Bonda iaitu Yasmin Nahar Mahmood, pakar psikiatri Dr Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik Dr Salmi Mohamed Shukur.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias manakala peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf, Nurul Hafidzah Hassan dan Nur Ellena Mohamed Razif mewakili Siti Bainun.

    Siti Bainun, mengaku tidak bersalah mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Cikgu Shukri mulakan tugas sebagai MB Perlis baharu

    Cikgu Shukri mulakan tugas sebagai MB Perlis baharu

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu hari ini.

    Mohd Shukri, 61, tiba di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di sini dan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad serta pegawai kanan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

    Beliau kemudian mengimbas cap jari pada perakam waktu di pintu masuk pejabatnya pukul 9 pagi.

    Mohd Shukri yang mesra dengan panggilan ‘Cikgu Shukri’ berkata beliau akan berusaha menjalankan tugasnya dengan baik demi rakyat di negeri ini.

    “Ini merupakan pengalaman baharu…bermulalah dunia baharu setelah lama tidak masuk pejabat, saya akan menyesuaikan diri dengan rutin ini setelah lama bersara sebagai guru,” katanya kepada pemberita di sini.

    Dalam perkembangan lain, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu berkata beliau telah menghantar nama barisan Exco Kerajaan Negeri Perlis kepada PN Pusat semalam.

    “Kita tunggu lampu hijau daripada PN Pusat dahulu untuk buat keputusan,” kata ADUN Sanglang itu.

    Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis akan diadakan di Istana Arau pada petang Jumaat ini (25 Nov).

    Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau semalam.

    PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-15. – BERNAMA

  • Jokowi lawat daerah Cianjur, angka kematian naik 268 orang

    Jokowi lawat daerah Cianjur, angka kematian naik 268 orang

    PRESIDEN Indonesia Joko Widodo pada Selasa melawat bandar Cugenang di daerah Cianjur, lokasi pusat gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter yang mengorbankan 268 orang.

    Beliau mengarahkan agensi mencari dan menyelamat untuk memindah dan mencari mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh. 

    Presiden Indonesia itu turut berikrar membantu daerah berkenaan untuk membina semula infrastruktur selain mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mereka yang terjejas dalam bencana pada Isnin di wilayah Jawa Barat itu.

    Mangsa akan menerima maksimum 50 juta rupiah setiap seorang untuk membaiki rumah mereka yang rosak, kata Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi, selepas melawat pusat perlindungan yang menempatkan ratusan orang yang kehilangan tempat tinggal.

    Menurut kenyataan akhbar, Jokowi meninjau kawasan yang terjejas selain bertemu dengan masyarakat tempatan.

    Beliau diiringi Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Muhadjir Effendy dan Gabenor Jawa Barat Ridwan Kamil.

    Sementara itu, Ketua Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia Suharyanto dalam taklimat maya berkata selain 268 kematian terdapat 1,083 orang cedera dan 151 masih hilang berdasarkan data yang dikumpul setakat 5 petang waktu tempatan.

    Lebih 56,362 orang ditempatkan di pusat pemindahan selepas 21,282 rumah rosak termasuk kira-kira 6,570 yang runtuh.

    Kedutaan Malaysia di Jakarta dan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA) merakamkan ucapan takziah kepada waris mangsa yang terkorban dan mereka yang terjejas. 

    Pusat AHA turut menawarkan bantuan kepada BNPB dan mengesahkan kesediaannya untuk menyokong pihak berkuasa.

    Sistem pemantauan dan tindak balas bencana pusat itu menganggarkan 3.29 juta orang, 981,500 isi rumah dan infrastruktur bernilai US$12.2 bilion rosak akibat gempa itu, menurut AHA dalam kemas kini terkininya. – BERNAMA

    Indonesia, gempa bumi, Jokowi, Kedutaan Malaysia di Jakarta, Pusat AHA

  • Seorang maut, 30 cedera letupan bom kereta di Narathiwat

    Seorang maut, 30 cedera letupan bom kereta di Narathiwat

    SEKURANG-kurangnya seorang pegawai polis maut manakala 30 lagi termasuk orang awam cedera dalam insiden letupan bom kereta di pekarangan kuarters polis di Narathiwat, selatan Thailand hari ini.

    Dalam insiden kira-kira 12.45  tengah hari (waktu tempatan), satu letupan dilaporkan di pekarangan kuarters polis apabila sebutir bom buatan sendiri yang dipasang dalam sebuah pikap dan diletupkan. 

    Setakat ini, Hospital  Narathiwat Rajanagarindra menyatakan sekurang-kurangnya 31 orang menerima rawatan di hospital termasuk tiga yang cedera parah.

    Ketua Polis Daerah Narathiwat Kolonel Jeffrey Salaimankul berkata letupan itu turut mengakibatkan bangunan kuaters dan kenderaan polis serta orang awam mengalami kerosakan. 

    “Ia sebutir bom kereta. Siasatan awal berdasarkan rakaman sistem televisyen litar tertutup mendapati seorang lelaki memandu sebuah pikap ke tempat letak kereta di pekarangan kuaters polis sebelum beredar dari kawasan itu dengan menaiki sebuah motosikal. 

    “Bom buatan sendiri seberat lebih 50 kilogram dan dipasang pada tong gas dalam pikap itu  kemudiannya diletupkan,” katanya pada satu sidang media.  

    Letupan itu menyebabkan bangunan dan kenderaan di tempat letak kereta berhampiran kuarters polis berkenaan terbakar dan mengalami kerosakan teruk. 

    Polis sedang menjejaki suspek dan menyiasat motif serangan. 

    Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

    Sementara itu, pemangku jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha telah mengarahkan polis dan pasukan keselamatan mempercepatkan siasatan. 

    “Perdana Menteri turut mengarahkan agensi berkaitan meningkatkan langkah-langkah keselamatan di tempat awam,” katanya. 

    Ketua Polis Negara Jen Damrongsak Kittiprapat turut melawat Narathiwat untuk memantau dan menyiasat insiden itu. 

    Statistik kumpulan pemantau bebas Deep South Watch menunjukkan kitaran keganasan yang berterusan di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla yang terletak di selatan Thailand bermula sejak 2004 yang telah meragut lebih 7,000 nyawa setakat ini.

    Rundingan antara kerajaan dan pemberontak yang bermula pada 2013 untuk membawa keamanan menghadapi gangguan dan terhenti beberapa kali. 

    Perbincangan antara kerajaan Thailand dan BRN, kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, bermula pada 2019.

    Selepas beberapa siri mesyuarat, rundingan itu dikatakan telah mencapai kemajuan konkrit dan penting yang membawa harapan untuk menamatkan keganasan di wilayah sempadan selatan Thailand. – BERNAMA  

    Thailand, Narathiwat, letupan bom, kuarters polis

  • Pemilik The Edge mengaku beri AS$2 juta kepada Justo

    Pemilik The Edge mengaku beri AS$2 juta kepada Justo

    PENGERUSI The Edge Media Group hari ini mengaku di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa dia memberi AS$2juta kepada Xavier Andre Justo, individu yang mendedahkan maklumat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebagai hadiah atas sumbangannya dalam ‘membersihkan’ anasir kleptokrasi terbesar negara itu.

    Tan Sri Tong Kooi Ong, 63, berkata, beliau telah memberikan Justo jumlah wang berkenaan, walaupun tidak mendapat sebarang maklumat mahupun dokumen berkaitan dana kekayaan berdaulat negara itu.

    “Saya merasakan Justo tanpa sesuka hati dan tanpa sebarang keuntungan, ‘membayar’ harga yang tinggi apabila dipenjarakan di Thailand atas tindakan yang menyelamatkan Malaysia daripada kleptokrasi terbesar dunia.

    “Saya rasa dia layak dibayar, dan saya rasa kerajaan Malaysia sepatutnya menganugerahkan sesuatu kepadanya, tetapi apabila tiada anugerah itu, saya sendiri memutuskan untuk membantunya. Saya berikan wang itu kepadanya di pejabat saya,” kata Kooi Ong.

    Saksi pendakwaan ke-43 itu berkata demikian ketika disoal oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak yang melibatkan penyelewengan RM2.3 bilion daripada 1MDB.

    Beliau merujuk kepada satu artikel yang diterbitkan oleh portal dalam talian bertajuk ‘Pemilik The Edge beri Justo RM8.2 juta kerana bantu mendedahkan skandal 1MDB’.

    Beliau berkata bahawa kerajaan Malaysia sepatutnya memberi pampasan kepada Justo, dan apabila mendapati tiada apa diberikan, beliau telah menghadiahkan wang itu kepada Justo, dan Justo mengakui faham bahawa pemberian itu sebagai satu hadiah.

    Ketika disoal oleh timbalan pendakwa raya kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram jika saksi itu mengenali ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low, Kooi Ong berkata, beliau pernah bertemu Jho Low dua kali.

    “Pada 2014, selepas The Edge baru memulakan operasi, Jho Low, melalui wartawan menghubungi saya, untuk berjumpa dengan saya.

    “Dia berjumpa dengan saya dua kali. Bapa Jho Low Tan Sri Larry Low Hock Peng adalah orang yang saya kenali sejak 1990-an.

    “Semasa pertemuan pertama, dia (Jho Low) memberitahu saya bahawa laporan Edge (mengenai 1MDB) adalah salah. Pada pertemuan kedua, beliau memberitahu saya bahawa beliau mengenali Datuk Seri Najib. Dia berkata bahawa The Edge harus ‘berhati-hati’ dengan apa yang kami tulis,” kata Kooi Ong.

    Sri Ram: Semasa Jho Low berkata demikian (hati-hati dengan apa yang ditulis), apa sebenarnya mesej yang disampaikan?

    Kooi Ong menjawab: “Ia satu ugutan”.

    Semasa ditanya tindakannya susulan ugutan itu, Kooi Ong menjawab “Saya abaikan sahaja”.

    Saksi itu juga memberitahu mahkamah bahawa dia mendapatkan nombor telefon pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown daripada bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee.

    “Saya menghubungi Rewcastle-Brown. Ya, dia memperkenalkan saya kepada Justo di Singapura,” kata pemilik The Edge itu.

    Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan disambung esok.

  • Pengurusan kes rayuan bebas Ahmad Zahid 10 Januari

    Pengurusan kes rayuan bebas Ahmad Zahid 10 Januari

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan 10 Januari depan untuk satu lagi pengurusan kes bagi rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan menerima rasuah membabitkan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

    Peguam bekas TImbalan Perdana Menteri itu, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, ketika dihubungi berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Norkamilah Aziz pada Selasa telah menetapkan tarikh tersebut selepas rekod rayuan belum siap.

    Pendakwaan menfailkan rayuan pada 26 September lalu selepas tiga hari, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Yazid Mustafa membebaskan Ahmad Zahid, 69, yang juga Presiden UMNO, selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

    Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta mengekalkan perjanjian kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

    Bagi kes itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

    Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Beliau juga berdepan 33 pertuduhan pilihan iaitu sebagai Menteri Dalam Negeri menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta berhubung sistem VLN.

    Peruntukan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1.15 juta; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

    Kesemua perbuatan didakwa dilakukan di dua lokasi iaitu Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 hingga Mac 2018.

  • Mohd Shukri angkat sumpah MB Perlis  ke-11

    Mohd Shukri angkat sumpah MB Perlis ke-11

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang Mohd Shukri Ramli mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis ke-11 hari ini.

    Mohd Shukri, 61, menerima watikah pelantikan daripada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Bilik Hijau, Istana Arau pada 4 petang.

    Berangkat sama pada majlis berkenaan, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

    Tuanku Syed Sirajuddin memberi perkenan pelantikan Mohd Shukri berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.

    Pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu sebagai Menteri Besar dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi PN yang menyerah watikah lantikan pada Ahad lepas sebelum mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin semalam.

    Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis adalah ADUN Sanglang selama tiga penggal berturut-turut sejak 2013.

    PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-15. – BERNAMA

    Menteri Besar, Perlis, Mohd Shukri Ramli, sumpah, Istana Arau

  • Nazir bimbang Najib ditipu Jho Low, pengurusan 1MDB – Saksi

    Nazir bimbang Najib ditipu Jho Low, pengurusan 1MDB – Saksi

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur diberitahu Tan Sri Mohamed Nazir Razak pernah menyuarakan kebimbangan bahawa abang sulungnya, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah ditipu oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, berkaitan hal ehwal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Pengerusi Kumpulan The Edge Media Tan Sri Tong Kooi Ong, 63, berkata Nazir pernah berjumpa beliau pada 2009 dan 2010 serta melahirkan kebimbangan bahawa Najib telah ditipu dalam urus niaga membabitkan dana kekayaan negara itu.

    Tong juga bersetuju dengan cadangan peguam utama Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa berdasarkan siasatan beliau sendiri dan pasukan pakarnya terhadap dokumen yang mereka peroleh, saksi tersebut membuat kesimpulan Jho Low serta pengurusan 1MDB telah menipu bekas Perdana Menteri itu.

    “Sebenarnya, saya terlibat dalam perkara ini atas permintaan Nazir kerana kami beranggapan bahawa Perdana Menteri Malaysia ketika itu telah ditipu.

    “Tanggapan pertama kami ialah Najib dan Lembaga Pengarah 1MDB telah ditipu oleh Jho Low serta beberapa anggota pengurusan 1MDB yang bersekongkol dengan ahli perniagaan itu,” kata saksi pendakwaan ke-43 itu pada perbicaraan kes Najib membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

    Terdahulu, Tong berkata beliau tidak tahu sama ada data yang diperoleh daripada bekas Eksekutif PetroSaudi International Ltd (PSI) Xavier Andre Justo dicuri oleh warga Switzerland itu daripada bekas pekerjanya kerana tiada sesiapa mendakwa data mereka telah dicuri.

    Saksi itu turut menafikan beliau telah membayar Justo untuk mendapatkan data tersebut.

    Muhammad Shafee: Adakah anda tahu Justo telah meringkuk selama 18 bulan di penjara Thailand atas pertuduhan melakukan peras ugut?

    Tong: Saya tidak tahu mengenai fakta kes itu.

    “Saya hanya ingat Justo kalah dalam saman yang difailkannya di Singapura terhadap Ketua Pegawai Eksekutif The Edge Ho Kay Tat, Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown dan saya sendiri untuk mendapatkan semula bayaran bagi data itu,” katanya.

    Najib, 69, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

  • Pas tak guna kedudukan laksana dasar menekan rakyat – Takiyuddin

    Pas tak guna kedudukan laksana dasar menekan rakyat – Takiyuddin

    PAS tidak akan menggunakan kedudukan kerusi yang lebih dalam kerajaan untuk melaksanakan dasar bagi menekan mana-mana pihak terutama di Sarawak dan Sabah yang rakyatnya menjalani kehidupan harmoni mengikut adat resam serta agama masing-masing.

    Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata parti itu amat tegas dalam mematuhi prinsip Islam iaitu ‘tiada paksaan dalam beragama’ dan individu bukan Islam tidak boleh dipaksa menganut agama tersebut melainkan atas kerelaan serta kefahaman sendiri.

    Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata PAS sentiasa menghormati kepelbagaian dan kemajmukan rakyat Malaysia serta mengakui hak dan kebebasan mereka mengamalkan cara hidup masing-masing dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

    “Pas telah membuktikan perkara ini setelah menunjukkan keterbukaan termasuk menjamin hak rakyat pelbagai kaum dan agama dalam pemerintahan yang diterajui di Kelantan lebih 30 tahun,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

    Beliau berkata PAS memberi jaminan akan terus mengamalkan konsep musyawarah dan perbincangan dengan semua rakan kongsi meskipun mempunyai jumlah kerusi terbesar dalam kalangan parti yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan kelak.

    Takiyuddin juga berkata para pemimpin dan ahli PAS yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kelayakan termasuk sebilangan besar profesional mampu melaksanakan tanggungjawab masing-masing apabila diberikan kedudukan serta peranan di dalam kerajaan dan agensinya.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas, PAS yang merupakan komponen Perikatan Nasional tampil sebagai parti paling banyak memenangi kerusi Parlimen iaitu 49 manakala Bersatu 24.

    PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. – BERNAMA

  • Ditawar jawatan MB Perak punca BN setuju bentuk kerajaan BN-PH – Saarani

    Ditawar jawatan MB Perak punca BN setuju bentuk kerajaan BN-PH – Saarani

    PAKATAN Harapan (PH) menawarkan peranan yang boleh dimainkan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan negeri, antaranya sebagai menteri besar berbanding tiada tawaran diterima daripada Perikatan Nasional (PN), kata Datuk Seri Saarani Mohamad.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu berkata itu antara satu faktor beliau menerima tawaran dari PH, selain pelantikan tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dan speaker DUN dari BN.

    “Peranan itu (menteri besar) sesuai pada saya, sebab saya orang yang ketuai Perak Sejahtera 2030, saya nak meneruskannya jadi saya terima.

    “Dalam pukul 3 pagi malam keputusan, saya dikunjungi Setiausaha Bersatu negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin, tapi dia kata tidak boleh buat apa-apa mandat sebab mandat dia hanya uruskan perjumpaan saya dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    “Kemudian kami bertiga bertemu dan saya memaklumkan bahawa telah diberikan tawaran dari PH (menteri besar). Jadi jika PN ingin memberi sebarang tawaran kepada saya, silalah, tapi setakat semalam saya tidak dapat apa-apa,” katanya dalam sidang media selepas selesai Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak di Balai Istiadat Kecil Istana Iskandariah di sini hari ini.

    Saarani berkata kerajaan negeri tidak boleh dibiarkan dalam keadaan tidak keruan, apatah lagi DUN perlu bersidang segera bagi membolehkan bajet diluluskan, maka kerana itu beliau untuk bersama-sama membentuk kerajaan yang kuat dan stabil.

    Justeru, Pengerusi BN Perak itu berkata atas dasar untuk mewujudkan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan, pihaknya telah mengambil keputusan menubuhkan kerajaan perpaduan.

    “Kedua-dua parti juga bersetuju secara dasar bahawa pembentukan kerajaan ini mestilah berpaksikan kepada komitmen bersama dalam menjunjung keluruhan Perlembagaan serta kedaulatan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak Darul Ridzuan,” katanya.

    Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak itu turut memaklumkan, istiadat angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak akan diadakan di Istana Iskandariah di sini 11.30 pagi esok.

    Terdahulu, Saarani, ADUN Kota Tampan mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak penggal baharu di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, pada 5.40 petang tadi.

    Dilapor PH dan BN bersetuju menjalin kerjasama membentuk kerajaan negeri, selepas masing-masing mendapat 24 serta sembilan kerusi pada pada PRU15, manakala PN memperoleh 26 kerusi. – BERNAMA

    Sultan Nazrin, Saarani, Menteri Besar, angkat sumpah, BN, PN, PH, UMNO, DUN, Perak