Author: Bernama

  • Pemilik akaun Twitter Zulfadzli@bumilangit ditahan

    Pemilik akaun Twitter Zulfadzli@bumilangit ditahan

    PEMILIK akaun Twitter menggunakan nama Zulfadzli@bumilangit yang memuat naik video mengandungi unsur perkauman di media sosial ditahan polis, hari ini.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.

    “Lelaki itu direman bermula hari ini hingga 26 Nov bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Baru-baru ini pemilik akaun Twitter tersebut difahamkan memuat naik video TikTok yang tular yang menjurus kepada unsur perkauman sehingga boleh mencetuskan ketegangan kaum.- BERNAMA

  • Bapa tiri disyaki dera anak hingga maut direman lima hari-Polis

    Bapa tiri disyaki dera anak hingga maut direman lima hari-Polis

    BAPA tiri yang disyaki mendera kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun hingga mati di Taman Sri Ramal, Kajang direman selama lima hari bermula hari ini hingga 28 Nov.

    Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata lelaki berusia 53 tahun itu direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Polis sebelum itu menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan Hospital Serdang pada 12.39 tengah malam 22 Nov lepas berhubung seorang kanak-kanak perempuan yang dibawa ke hospital itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    Mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital dan menerusi bedah siasat dijalankan doktor semalam, punca kematian kanak-kanak itu dipercayai daripada kesan hentakan objek tumpul pada bahagian kepala dan abdomen (perut) yang menyebabkan ususnya pecah.

    Susulan itu, seorang lelaki tempatan ditahan di pekarangan Hospital Serdang pada 2.25 petang semalam.

  • GRS akur keputusan Agong wujudkan kerajaan perpaduan

    GRS akur keputusan Agong wujudkan kerajaan perpaduan

    GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) akur terhadap apa jua keputusan dan nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah termasuk mewujudkan kerajaan perpaduan demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

    Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor berkata pendirian itu senada dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan penubuhan kerajaan perpaduan harus inklusif serta melibatkan kerajaan Sabah dan Sarawak yang diberi mandat oleh rakyat.

    Ketua Menteri Sabah itu berkata GRS juga berpendirian bahawa adalah perlu pembentukan kerajaan Persekutuan dilaksanakan dengan segera.

    “Bagi memastikan negara maju ke hadapan, kita mesti mempunyai kestabilan politik demi menjamin pembangunan ekonomi ke arah kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan Pakatan Harapan menang 82 kerusi, Perikatan Nasional (73), Barisan Nasional (30), GPS (23), GRS (enam), Parti Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

    Keputusan PRU15 menyaksikan tidak ada parti mahupun blok parti politik yang berjaya mendapat majoriti sekali gus menyebabkan Parlimen tergantung. – BERNAMA

  • ‘Undi18 punca Parlimen tergantung’

    ‘Undi18 punca Parlimen tergantung’

    RATA-RATA pemerhati politik sebelum ini sudah menjangka tidak akan ada parti yang dapat meraih majoriti mudah bagi membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun tidak ramai menduga akan tercipta situasi Parlimen tergantung.

    Memasuki hari kelima kebuntuan dengan rakyat masih tertunggu-tunggu siapa yang bakal dilantik sebagai perdana menteri ke-10, ada pihak menuding jari kepada pengundi muda sebagai punca senario yang pertama kali berlaku dalam sejarah negara ini.

    Daripada kira-kira 21.1 juta rakyat yang layak mengundi pada pilihan raya Sabtu lepas, 1.3 juta orang adalah kelompok berusia bawah 21 tahun yang mengundi buat pertama kali, dan menurut seorang penganalisis, kecetekan ilmu tentang penubuhan kerajaan serta perjalanan pilihan raya golongan itu jelas dilihat pada keputusan pilihan raya tersebut.

    “Saya melihat situasi berlakunya Parlimen tergantung ini yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, turut bertitik tolak daripada pelaksanaan Undi 18, yang mana golongan ini dilihat masih belum matang dalam membuat pilihan,” kata Dr G. Manimaran kepada Bernama.

    Ini kerana kata beliau, walaupun golongan itu dilihat tidak terikat dengan mana-mana ideologi politik, mereka dipercayai lebih mudah terpengaruh dengan isu politik semasa yang diuar-uar menerusi media sosial, dan keadaan tersebut dicerminkan oleh pola pengundian mereka.

    PERLU PENDEDAHAN SECARA FORMAL

    Sehubungan itu, beliau melihat ada keperluan untuk golongan muda ini diberi pendedahan secara formal tentang proses pilihan raya dan kepentingan undi mereka dalam pembentukan kerajaan dengan memperkenalkan subjek khusus di peringkat sekolah.

    Mengulas lanjut, penulis buku ‘Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Tadbir dan Menang’ itu berkata pendedahan lebih awal ini amat penting sebagai persiapan buat golongan berkenaan dalam menunaikan tanggungjawab selaku pengundi, dan seterusnya membuat pilihan bijak tanpa dipengaruhi oleh mana-mana sentimen.

    “Mereka harus faham dengan baik kepentingan memilih calon sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri ) atau ahli Parlimen, fungsi Dewan Rakyat, Dewan Negara dan sebagainya, kerana apabila sudah ada ilmu, ia dapat membantu mereka menilai dengan baik sebelum mengundi,” katanya.

    Lebih membimbangkan kata Manimaran ialah ada pengundi muda yang tidak mengambil serius tentang nilai undi mereka dalam menentukan hala tuju negara.

    “Saya lihat ada golongan muda yang menganggap pilihan raya seolah-olah satu pesta sedangkan ia merupakan tanggungjawab sangat penting setiap individu dalam menentukan masa depan negara,” ujar beliau.

    Ditanya tentang kemungkinan literasi sistem pilihan raya sejak di bangku sekolah merisikokan pelajar terlibat dalam politik, beliau berkata tanggapan itu adalah salah faham yang wujud sejak sekian lama dan perlu diperbetulkan.

    Pada masa sama, beliau berkata orang muda perlu ditekankan bahawa konteks pilihan raya bukan hanya terpakai dalam penubuhan kerajaan. Sebaliknya kata beliau, ia lebih luas dan berlaku dalam kehidupan seharian seperti pemilihan ahli jawatankuasa persatuan ibu bapa dan guru serta lain-lain pemilihan.

    “Kita melabelkan pilihan raya sebagai ‘kotor’ sedangkan yang kotor ialah tindakan segelintir ahli politik yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti dan sebagainya. Sebenarnya, pilihan raya merupakan sistem demokrasi yang baik dan diamalkan dalam pemilihan pelbagai perkara seperti memilih ketua darjah,” katanya.

    FAKTOR CALON DAN PARTI

    Pensyarah kanan di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain mempunyai pandangan berbeza. Menurut beliau, kumpulan pengundi muda terbabit lebih kritis dan peka dengan isu semasa yang berlaku di sekeliling mereka.

    Beliau menyandarkan pandangan itu pada pemerhatiannya yang mendapati kebanyakan pengundi muda lebih cenderung menolak calon-calon daripada parti yang terpalit dengan pelbagai isu termasuk rasuah.

    Selain itu, beliau juga melihat strategi meletakkan calon muda yang dilaksanakan oleh Perikatan Nasional (PN) membantu gabungan berkenaan mencatat kemenangan yang tidak dijangka selain menerima sokongan pemilih muda.

    Menurutnya, pengundi muda melihat PN sebagai gabungan parti paling ‘selamat’ biarpun usianya baru menginjak dua tahun.

    Ulas beliau, ketika Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai kerajaan bermula Mac 2020, sebahagian golongan muda yang mengundi pada Sabtu lepas baru berusia 16 tahun, sekali gus membuatkan mereka berasa “lebih dekat” dengan kepimpinan Muhyiddin yang turut membahasakan dirinya “Abah”.

    Gabungan PN yang sebelum ini dilihat oleh kebanyakan pihak sebagai ‘underdog’ mencipta kejutan apabila memenangi 73 kerusi Parlimen, dan Muhyiddin pada sidang media Ahad lepas, mengakui kemenangan itu turut bersandarkan sokongan pengundi muda.

    IMPAK MEDIA SOSIAL

    Keputusan luar jangka PN itu menjadikan Muhyiddin calon berpotensi untuk diangkat sebagai perdana menteri ke-10 bersama-sama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memenangi 82 kerusi Parlimen.

    Bagaimanapun, disebabkan kedua-dua gabungan tidak memperoleh majoriti mudah 112 kerusi yang diperlukan, tumpuan kini terarah kepada Barisan Nasional (BN). Sekalipun mencatat keputusan terburuk dalam sejarahnya, BN yang memenangi 30 kerusi Parlimen diperlukan oleh kedua-dua PH dan PN untuk membentuk kerajaan campuran dengan sokongan Gabungan Parti Sarawak (23 kerusi) dan Gabungan Rakyat Sabah (6).

    Turut mempunyai kerusi di Dewan Rakyat ialah Parti Warisan Sabah (3), Bebas (2) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat yang masing-masing memenangi satu kerusi.

    Sementara itu, pensyarah kanan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia Dr Sofia Hayati Yusoff berkata tinjauannya mendapati lebih 95 peratus pengundi kali pertama mengakui mendapat segala maklumat mengenai PRU15 melalui media sosial.

    Beliau percaya situasi itu memberi impak yang agak besar kepada keputusan pilihan raya tersebut.

    “Pengundi muda sememangnya menggunakan media sosial setiap masa. Maka, mana-mana parti politik yang melakukan kempen melalui strategi pemasaran dengan mengetengahkan kumpulan ‘influencer’ (pempengaruh) sememangnya berjaya menarik pengundi muda.

    “Jadi kita dapat lihat majoriti calon dan parti, mereka berkempen secara kerap di media sosial seperti Tik Tok, Twitter dan YouTube dengan pelbagai pendekatan termasuk hiburan dengan menyelitkan lagu-lagu terkini dalam kempen mereka dan ia sememangnya sangat mempengaruhi golongan muda,” katanya.

  • Tiga ditahan disyaki ‘keldai akaun’

    Tiga ditahan disyaki ‘keldai akaun’

    POLIS menahan dua wanita dan seorang lelaki kerana disyaki menjadi ‘keldai akaun’ oleh sindiket penipuan dalam tawaran kerja sambilan dan urusan pelaburan melalui dalam talian yang tidak wujud sehingga menyebabkan mangsa kerugian.

    Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya semua mereka berusia 26 hingga 48 tahun itu ditahan secara berasingan di Kedah dan Pulau Pinang, dua hari lepas.

    “Berdasarkan siasatan, tiga individu yang ditahan itu dipercayai menjadi ‘keldai akaun’ sindiket penipuan dan jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa ialah daripada RM13,220 sehingga RM61,946 membabitkan kes yang dilaporkan pada tahun ini,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu memaklumkan tiga suspek itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat Seksyen 420 Kanun keseksaan.

    “Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan jual beli, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud, tawaran pekerjaan luar negara atau sambilan, Macau scam dan parcel scam yang kesemuanya dilalukan menerusi media sosial,” menurut kenyataan itu.

  • Istana Negara terus jadi tumpuan hari ini

    Istana Negara terus jadi tumpuan hari ini

    ISTANA Negara Kuala Lumpur, sekali lagi menjadi tumpuan apabila Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu dijadual berlangsung berhubung pembentukan kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berakhir dengan Parlimen tergantung, Sabtu lepas.

    Perbincangan dijadual bermula 11 pagi antara lain bertujuan mendapatkan pandangan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi membantu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuat keputusan berhubung pembentukan kerajaan baharu.

    Tinjauan Bernama mendapati konvoi kenderaan dari istana negeri mula memasuki perkarangan Istana Negara melalui Pintu 1 seawal 9.40 pagi ini.

    Antara yang telah berangkat tiba setakat ini ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar; Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

    Keputusan PRU15 Sabtu lepas menyaksikan Parlimen tergantung apabila tiada mana-mana gabungan parti politik berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. 

    Pada PRU itu, Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi, Perikatan Nasional (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu.

    Sementara itu, hari ini juga berlangsung proses penamaan calon bagi pilihan raya kerusi Parlimen Padang Serai di Kedah dan Dewan Undangan Negeri Tioman di Pahang yang  diadakan serentak susulan kematian calon di kedua-dua kerusi berkenaan sebelum hari pengundian PRU15.

  • PRU-15: PN optimis rampas DUN Tioman dari BN

    PRU-15: PN optimis rampas DUN Tioman dari BN

    PERIKATAN Nasional (PN) optimis dapat merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman daripada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), yang pengundiannya akan berlangsung pada 7 Dis ini.

    Pesuruhjaya Pas Pahang Rosli Abdul Jabar berkata Nor Idayu Hashim, 35, Ketua Muslimat parti itu bagi Cawangan Pianggu, adalah calon yang sesuai memandangkan DUN Tioman mempunyai ramai pengundi wanita.

    “Selain itu, gelombang pengundi pada PRU15 baru-baru ini yang menyaksikan pengundi beralih daripada BN kepada PN sehingga membolehkan kita merampas Parlimen Rompin dan DUN Bukit Ibam masih belum reda.

    “Saya percaya ini juga akan diterjemahkan di DUN Tioman dengan gerak kerja jentera parti yang akan membantu sehabis baik untuk memenangkan calon kita,” katanya kepada pemberita selepas hadir di Majlis Pengenalan Calon DUN Tioman di Kampung Sepakat di Rompin malam tadi.

    Beliau berkata pemilihan Nor Idayu, yang berkelulusan Diploma Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang, Kelantan, juga bagi memastikan terdapat ‘suara wanita’ di DUN Pahang.

    Jika menang, Nor Idayu akan menjadi calon tunggal wanita PN di DUN Pahang memandangkan kesemua 17 wakil rakyat gabungan itu yang menang pada PRU-15 adalah lelaki.

    PN Pahang turut meletakkan calon wanita pada PRU15 iaitu Ketua Muslimat Pas Pahang Salamiah Mohd Noor yang berjaya merampas kerusi Parlimen Temerloh daripada Pakatan Harapan (PH).

    Walaupun PN Pahang berjaya memperoleh 17 kerusi DUN, lebih satu kerusi berbanding BN, Rosli berkata ia bukan alasan untuk mereka ‘berasa selesa’ atau mengambil ringan cabaran pihak lawan.

    PRU-15 bagi DUN Tioman ditangguhkan ekoran kematian calon PN iaitu Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

  • PRU-15: Pusat penamaan calon Parlimen Padang Serai, DUN Tioman dibuka

    PRU-15: Pusat penamaan calon Parlimen Padang Serai, DUN Tioman dibuka

    PUSAT penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang dibuka pukul 9 pagi ini.

    Bagi Padang Serai, pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech di Kulim manakala bagi Tioman, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin.

    Kedua-dua pusat itu akan dibuka sehingga 10 pagi.

    Calon-calon yang telah sah dinamakan bagi kedua-dua kerusi itu pada 5 Nov lepas perlu hadir di pusat penamaan calon untuk tujuan cabutan undi menentukan giliran pada kertas undi manakala calon baharu perlu menyerahkan kertas penamaan calon masing-masing.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 7 Dis dan pengundian awal pada 3 Dis dengan tempoh berkempen selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon hingga 11.59 malam 6 Dis.

    PRU15 di kedua-dua kawasan berkenaan ditangguhkan berikutan kematian calon yang telah disahkan bertanding iaitu M. Karupaiya mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli dari Perikatan Nasional (PN) di DUN Tioman.

    Karupaiya, 69, meninggal dunia pada 16 Nov lepas dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan manakala Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia beberapa jam sebelum proses pengundian PRU-15, Sabtu lepas (19 Nov).

  • Kes 1MDB: Zeti cuti sakit dua hari, tidak dapat beri keterangan esok

    Kes 1MDB: Zeti cuti sakit dua hari, tidak dapat beri keterangan esok

    MAHKAMAH Tinggi hari ini diberitahu saksi utama dalam perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz tidak dapat hadir memberi keterangan esok kerana cuti sakit selama dua hari.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Ahmad Akram Gharib memaklumkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa saksi yang dinanti-nantikan dalam perbicaraan itu mendapat cuti sakit akibat demam panas, vertigo dan muntah.

    “Saya menerima pesanan teks daripada pegawai penyiasat (IO) sekitar 11.56 pagi ini memaklumkan bahawa Tan Sri Zeti yang sebelum ini saya maklumkan akan datang esok, telah memaklumkan melalui peguamnya kepada IO bahawa beliau tidak sihat dan mendapat cuti sakit selama dua hari,” kata Ahmad Ikram.

    Hakim Sequerah menyatakan beliau perlu melihat sijil sakit itu dan Ahmad Akram berkata beliau akan menyerahkan kepada mahkamah.

    TPR juga memberitahu mahkamah seorang lagi saksi yang tinggal dan bekerja di Singapura hanya boleh memberi keterangan pada awal Disember dan pihak pendakwaan telah mengatur supaya saksi pendakwaan ke-42, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dipanggil memberi keterangan esok untuk pemeriksaan balas.

    Bulan lepas, pihak pendakwaan berkata, akan memanggil Zeti sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan itu selepas peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan soalan terhadap saksi pendakwaan ke-39, bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang, 75, mengenai kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low di rumah Zeti.

    Mahkamah hari ini juga meneruskan pendengaran penghujahan Muhammad Shafee yang beliau berkata, rakaman audio perbualan yang didakwa antara bekas Perdana Menteri itu dan seorang pemimpin dari Timur Tengah tidak diperoleh secara sah mengikut Seksyen 43 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Bukti yang dipersoalkan berkaitan empat rakaman audio perbualan telefon serta transkrip antara Najib dan beberapa individu terkemuka lain, yang Seksyen 43 terpakai.

    “Ini telah menyebabkan Datuk Seri Najib, selain tidak mengetahui identiti individu yang telah membenarkan pemintasan komunikasi yang dimandatkan di bawah Seksyen 43, beliau juga ditinggalkan tanpa sebarang pengetahuan kerana tidak mengetahui kandungan rakaman lain,” katanya.

    Bagaimanapun, Hakim Sequerah mencelah, mengatakan bahawa pihak pendakwaan masih belum mengemukakan bagaimana rakaman itu diperoleh.

    Muhammad Shafee berkata, beliau akan terkejut sekiranya pihak pendakwaan bersedia menyatakan sumbernya secara jelas kerana ia akan mendedahkan negara ini dari segi perisikan cawangan khas dan merakam perbualan individu.

    “Individu yang merakam audio itu harus datang ke sini untuk mengenal pasti audio itu… tetapi saya tidak fikir dia akan datang kerana ia akan menjadi pengakuan kerana dia melakukan sesuatu yang tidak betul,” hujah Muhammad Shafee.

    Ahmad Akram dalam jawapannya berkata, pegawai penyiasat (IO) dari SPRM akan dipanggil pada perbicaraan itu untuk mengenal pasti rakaman audio berkenaan.

    Terdahulu, Ahmad Akram memberitahu mahkamah bahawa Timbalan Pendakwa Raya utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram mendapat cuti sakit tiga hari berikutan demam dan jangkitan sehubungan itu TPR kanan akan menjawab hujahan Muhammad Shafee mengenai rakaman audio itu pada hari lain.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bersambung esok.


    Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

  • Polis tahan lelaki disyaki ancam bunuh Agong

    Polis tahan lelaki disyaki ancam bunuh Agong

    SEORANG lelaki yang dipercayai membuat hantaran berbaur ancaman bunuh terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah ditahan polis.

    Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi hari ini mengesahkan penahanan tersebut.

    Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Arjunaidi berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat berhubung kes berkenaan.

    Semalam, tular menerusi media sosial tangkap layar Instagram Story dipercayai milik seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang mempersoalkan kewibawaan dan mengancam keselamatan Seri Paduka Baginda.

    Tindakan lelaki berkenaan mengundang kemarahan orang awam dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan ke atasnya. – BERNAMA