Author: Bernama

  • Lima maut helikopter terhempas

    Lima maut helikopter terhempas

    LIMA maut selepas sebuah helikopter terhempas lalu terbakar di daerah Yangyang, wilayah Gangwon, Korea Selatan pada Ahad, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Yonhap.

    Pihak berkuasa bomba menemukan lima mayat selepas memadamkan api.

    Kejadian berlaku kira-kira 10.50 pagi waktu tempatan.

    Helikopter yang disewa bersama oleh kerajaan tempatan Sokcho, Goseong dan Yangyang itu terhempas ketika menjalankan operasi memadamkan kebakaran hutan.

  • SAPP setia bersama GRS, PN

    SAPP setia bersama GRS, PN

    PARTI Maju Sabah (SAPP) mengulangi sokongan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap kerajaan perpaduan seperti yang diumumkan Pengerusi gabungan itu merangkap Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

    Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee, yang memaklumkan perkara itu di Majlis Tertinggi parti semalam, berkata SAPP turut mengesahkan keanggotaannya dalam Perikatan Nasional (PN) yang telah berikrar untuk memainkan peranan semak dan imbang di peringkat persekutuan.

    Beliau berkata senario politik semasa yang menyaksikan GRS-Barisan Nasional (BN) menerajui Kerajaan Negeri Sabah dan kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim saling menghormati dan menyokong antara satu sama lain adalah mengikut aturan Perlembagaan dalam demokrasi berparlimen persekutuan.

    “Aturan perlembagaan sedemikian adalah amat penting dalam membina persekutuan yang kukuh. Juga adalah bijak bagi kerajaan ketika ini, di peringkat persekutuan mahupun negeri, untuk menjalin hubungan yang sihat agar kedua-duanya lebih berkesan dan cekap dalam mentadbir negara,” menurutnya dalam kenyataan itu.

    Yong berkata SAPP yakin bahawa kerajaan persekutuan yang baharu akan menghormati serta menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang dan semangat perlembagaan negara bagi sistem persekutuan di mana semua negeri dan kerajaan persekutuan pada masa itu akan saling bekerjasama demi kebaikan bersama rakyat tanpa mengira fahaman politik.

    GRS, yang dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), SAPP dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), yang bekerjasama dengan BN, terdiri daripada UMNO, MCA, MIC serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), untuk mentadbir Sabah.

    Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, dalam kenyataan berasingan, pula berkata parti itu mengambil pendirian yang sama dengan GRS menyokong kerajaan perpaduan.

    Bagaimanapun, beliau melihat PN kini di laluan berbeza dengan STAR dan hanya masa akan menentukan kedudukan parti itu dalam gabungan berkenaan selain ingin menunggu situasi politik semasa reda sebelum mengambil langkah selanjutnya.

    Timbalan Ketua Menteri itu juga berkata STAR berharap ada hasil yang menonjol berkaitan tuntutan untuk mengembalikan hak Sabah di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Anwar terutama membabitkan kewangan.

    “Saya amat mengenali Perdana Menteri baharu dan beliau mengenali saya termasuk mengenai tuntutan kita.

    “Saya harap dengan kerjasama yang kita ada sekarang, kita akan dapat melihat hasil yang lebih menonjol berkaitan tuntutan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia,” katanya.

  • Suspek muat naik video berunsur perkauman bebas dengan jaminan

    Suspek muat naik video berunsur perkauman bebas dengan jaminan

    PEMILIK akaun Twitter yang ditahan polis kerana disyaki memuat naik video berunsur perkauman di media sosial, Khamis lalu, dibebaskan dengan jaminan polis.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, ia susulan tempoh reman ke atas lelaki tersebut tamat, hari ini.

    “Seterusnya, PDRM melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas, akan merujuk kertas siasatan ke Pejabat Peguam Negara menurut peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, setelah siasatan dilengkapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kerana memuat naik video yang menjurus kepada unsur perkauman yang boleh mencetuskan ketegangan kaum di aplikasi TikTok.

  • KDM sokong Hajiji, GRS terus terajui kerajaan Sabah

    KDM sokong Hajiji, GRS terus terajui kerajaan Sabah

    PARTI Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) hari ini menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus menerajui kerajaan Sabah.

    Timbalan Presiden KDM Datuk Wetrom Bahanda berkata pendirian itu selaras dengan ketetapan serta pendirian Hajiji dan GRS menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menyertai kerajaan perpaduan.

    Beliau berkata ketika perjumpaan pimpinan KDM diketuai Presidennya Datuk Peter Anthony bersama Anwar di Putrajaya semalam, Perdana Menteri menyatakan sokongan untuk Hajiji terus mentadbir kerajaan Sabah selaras dengan sokongan GRS kepada kerajaan perpaduan.

    “Justeru parti KDM dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti ini menyokong Hajiji dan GRS untuk terus mentadbir dan menerajui Kerajaan Sabah,” katanya yang juga ADUN Bandau dan Ahli Parlimen Kota Marudu menerusi kenyataan hari ini.

    Selain Wetrom, dua lagi ADUN daripada KDM ialah Peter (Melalap) dan Juil Nuatim (Limbahau).

    Semalam, Anwar berkata kerajaan perpaduan pimpinannya mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan terkini GRS. Kemudian Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick memaklumkan semua tujuh ADUN Pakatan Harapan menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri.

    Wetrom berkata Pilihan Raya Umum ke-15 baharu sahaja selesai, justeru KDM tidak mahu terlalu banyak berpolitik kerana sekarang adalah masanya untuk semua pihak bersama kerajaan perpaduan pimpinan Anwar membangun negara, negeri dan juga rakyat.

    “Kini adalah masanya kita bersama-sama membangun dan membela rakyat dan Negeri Sabah yang masih ketinggalan dalam banyak segi terutamanya kawasan luar bandar yang amat memerlukan pembangunan,” katanya.

    GRS dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) menjalin kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bagi mentadbir negeri ini.

  • Kaut gamat: Warga Vietnam, Indonesia ditahan

    Kaut gamat: Warga Vietnam, Indonesia ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Labuan menahan sebuah bot nelayan tempatan atas kesalahan melakukan aktiviti perikanan tanpa permit yang sah di perairan Labuan, semalam.

    Pengarahnya Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata semasa menjalankan rondaan rutin, kapal ronda KM Bistari telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan sedang melakukan aktiviti perikanan di kedudukan 31.2 batu nautika dari Labuan.

    Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit sedang melakukan aktiviti menangkap gamat menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan. 

    Bot yang berpangkalan di Sarawak itu dikendalikan oleh seorang nakhoda bersama lima kru warganegara Vietnam dan seorang kru warganegara Indonesia berumur lingkungan 20 hingga 44 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Bot, nakhoda kapal bersama kesemua kru ditahan dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.

    “Penggunaan peralatan yang tidak dibenarkan itu mampu menyebabkan kerosakan pada ekosistem serta pembiakan hidupan laut,” katanya.

    Beliau berkata komuniti maritim dinasihatkan sentiasa mematuhi undang-undang sedia ada bagi mengelakkan daripada terbabit dengan sebarang salah laku di perairan negara dan melaporkan sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim ke Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087- 427999 atau melalui talian kecemasan MERS 999.

  • Sabah sokong kerajaan perpaduan demi kebaikan , kestabilan

    Sabah sokong kerajaan perpaduan demi kebaikan , kestabilan

    SOKONGAN dan penyertaan parti-parti politik di Sabah dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini dapat memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

    Beliau berkata kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Barisan Nasional (BN) mahu memberikan fokus kepada usaha memulihkan ekonomi negeri dan membangunkan Sabah ke arah merealisasikan pelan lima tahun hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

    “Kita (GRS-BN) ada tiga tahun lagi untuk memerintah Sabah. Kita tidak mahu terlampau berpolitik atau ada gangguan, kerana bagi kita adalah kepentingan rakyat dan negeri,” kata Pengerusi GRS itu kepada pemberita ketika ditemui selepas membentangkan Belanjawan Sabah 2023 di Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

    Sementara itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kerajaan Sabah mahu konsep kerajaan perpaduan dipraktikkan dan dirasai di negeri ini supaya rakyatnya dapat menikmati limpahan ekonomi serta pembangunan sama.

    Pengerusi BN Sabah itu turut mengalu-alukan mana-mana parti di Sabah untuk menyertai kerajaan perpaduan dalam usaha memastikan kemakmuran pentadbiran negara yang dapat memacu kepada pemulihan ekonomi, dan nasib rakyat terbela.

    “Nama pun perpaduan, bermakna semua (parti) pun boleh menyertainya. Jadi, saya mengalu-alukan mana-mana parti menyertai kerajaan perpaduan bagi memastikan perpaduan dalam pemerintahan harus memakmurkan negara dan rakyat. Ini keutamaan kita,” katanya.

    Bagi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Christina Liew, kesediaan GRS menyertai serta menyokong pembentukan kerajaan perpaduan dilihat sebagai langkah terbaik demi pembangunan dan manfaat rakyat Sabah.

    Beliau berkata pihaknya menunggu pertemuan antara pemimpin GRS bersama pemimpin PH Sabah bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan yang boleh dibawa untuk bekerjasama.

    Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal pula yakin kerajaan perpaduan adalah sebuah kerajaan yang stabil dan mampu memulihkan ekonomi negara.

    Anwar dalam sidang media pada hari pertama bertugas secara rasmi di Putrajaya berkata kerajaan perpaduan pimpinannya telah mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan terkini oleh GRS, setelah dimaklumkan oleh Hajiji.

    Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam. – BERNAMA

  • Enam ADUN angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis

    Enam ADUN angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis

    ENAM Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis  hari ini mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, di sini hari ini.

    Mereka terdiri daripada empat ADUN PAS dan dua daripada Bersatu yang telah diperkenan oleh Tuanku Syed Sirajuddin.

    Berangkat sama pada majlis berkenaan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

    Kesemua mereka kemudian menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Kangar Dr Arik Sanusi Yeop Johari dan Ketua Hakim Syarie Perlis Jaidi Ahmad.

    Pada Selasa lepas, ADUN Sanglang Mohd Shukri Ramli mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis baharu di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin.

    PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-15.

    Berikut senarai penuh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis:

    1.Muhammad Azmir Azizan (PAS) DUN Santan

    2.Fakhrul Anwar Ismail (PAS) DUN Bintong

    3.Izizam Ibrahim (Bersatu) DUN TitiTinggi

    4.Megat Hashirat Hassan (Bersatu) Pauh

    5.Wan Badariah Wan Saad  (PAS) DUN Mata Ayer

    6.Razali Saad  (PAS) Simpang Empat

    – BERNAMA

  • UPKK 2022: Tarikh subjek Ulum Sya’riah dipinda ke 5 Dis

    UPKK 2022: Tarikh subjek Ulum Sya’riah dipinda ke 5 Dis

    TARIKH Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi subjek UPKK Ulum Syari’ah (Aqidah dan Ibadah) yang sepatutnya berlangsung pada Isnin ini dipinda ke 5 Dis depan.

    Perubahan tarikh itu susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang mengisytiharkan 28 Nov sebagai cuti umum.

    Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam satu kenyataan berkata ia amat prihatin dengan keputusan yang telah ditetapkan serta menghargai komitmen semua pihak dalam melaksanakan UPKK 2022.

    Tarikh pelaksanaan UPKK sebelum ini ditetapkan bermula dari 28 Nov hingga 1 Dis. – BERNAMA

  • Mahkamah benar permohonan Tommy Thomas batal saman Najib

    Mahkamah benar permohonan Tommy Thomas batal saman Najib

    BEKAS Peguam Negara (AG) Tan Sri Tommy Thomas berjaya dalam permohonannya untuk membatalkan saman yang difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya atas pertuduhan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache ketika membenarkan permohonan Thomas berkata tuntutan yang dikemukakan oleh Najib selaku plaintif tidak boleh dipertahankan dan tidak ada sebab tindakan yang munasabah. 

    “Tuntutan ini adalah remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah. Sehubungan itu mahkamah membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan tuntutan itu,” katanya dan memerintahkan Najib untuk membayar kos RM12,000.

    Ahmad Bache dalam penghakimannya berkata kes Najib masih berjalan manakala Thomas bukan lagi Peguam Negara.

    Kes itu ialah 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 ( AMLATFPUAA 2001).

    Hakim itu berkata mahkamah mempertimbangkan pendapat bahawa punca tindakan salah guna kuasa dan proses yang dikatakan berniat jahat adalah tidak kukuh dan bukan pemula kerana Thomas tidak pun menjalankan pendakwaan bagi empat kes itu.

    “Plaintif (Najib) boleh memfailkan saman jika beliau dibebaskan daripada semua kes tetapi kini kes masih belum selesai.

    “Walaupun jika Thomas mempunyai agenda terhadap Najib, beliau tidak akan menjalankan pendakwaan terhadap plaintif. Oleh itu, bagaimana beliau boleh dikatakan telah melakukan salah guna (kuasa). Malah pengakuan dalam saman seperti yang disebut sebelum ini, tidak mendedahkan sebarang sebab tindakan yang munasabah,” katanya.

    Hakim itu berkata sekiranya beliau membenarkan saman itu diteruskan, ia akan membuka laluan bagi empat lagi kes Najib untuk dibicarakan di mahkamah sivil berdasarkan imbangan pembuktian sivil walaupun perbicaraan jenayah bagi empat kes itu masih berjalan.

    “Prosiding ini akan dilihat sebagai serangan terhadap empat kes itu. Malah, tuntutan ini tidak sepatutnya difailkan sama sekali, sebelum selesai perbicaraan empat kes itu. Ia juga telah mewujudkan kekeliruan dan pelanggaran bidang kuasa antara bidang kuasa sivil dan jenayah,” katanya sambil menambah bahawa permohonan Najib juga terlalu awal.

    Hakim Ahmad berkata tiada keperluan untuk tuntutan itu dibicarakan secara penuh dan tiada sebab untuk Thomas hadir ke mahkamah memberi penjelasan.

    Beliau seterusnya berkata Thomas mempunyai imuniti daripada disaman berdasarkan budi bicara yang diberikan kepadanya di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

    “Ini kerana Thomas sebagai Pendakwa Raya diberi kuasa budi bicara yang luas dan dengan itu menikmati imuniti daripada sebarang prosiding terhadapnya,” kata hakim.

    Hakim Ahmad menegaskan bahawa duluan undang-undang masih mengesahkan hakikat bahawa kuasa perlembagaan Peguam Negara di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan untuk memulakan atau menarik balik pertuduhan jenayah, bukanlah sesuatu yang boleh dicabar di mahkamah.

    Hakim berkata Thomas dilantik sebagai Peguam Negara merangkap Pendakwa Raya pada 4 Jun 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan di bawah Tun Dr Mahathir Mohamed, bukannya peguam negara politik. 

    Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Yudistra Darma Dorai mewakili Najib manakala Alan Adrian Gomez mewakili Thomas.

    Thomas, melalui notis permohonan untuk membatalkan saman itu yang difailkan pada 18 Nov 2021, antara lain mendakwa jika saman Najib diterus dan dibicarakan, ia akan menyebabkan kes jenayah yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi tergendala.

    Pada 22 Okt 2021, Najib memfailkan saman tersebut yang mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia selari dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

    Najib, 69, mendakwa beliau telah dituduh secara salah di mahkamah dalam kes yang membabitkan 1MDB, IPIC, salah guna kuasa di bawah Akta SPRM 2009 serta pengubahan wang haram di bawah AMLATFPUAA 2001.

    Beliau memohon satu deklarasi bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam dan ganti rugi RM1.9 juta termasuk fi rundingan untuk pasukan audit bagi menyemak dokumentasi dalam penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya. – BERNAMA

  • Sidang Parlimen pertama 19 Dis bentang usul undi percaya kepada PM

    Sidang Parlimen pertama 19 Dis bentang usul undi percaya kepada PM

    Persidangan Parlimen ke-15, yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan diadakan pada 19 Disember.

    Anwar yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 hari ini berkata satu usul undi percaya akan dibentangkan pada sidang itu bagi menamatkan soal keabsahan beliau selaku perdana menteri.

     “Usul pertama selain daripada angkat sumpah adalah usul dari kerajaan iaitu undi percaya. Jadi tidak  timbul keresahan kita tentang keabsahan yang ada,” katanya pada sidang media pertamanya sebagai perdana menteri di Sungai Long Golf & Country Club, Kajang dekat sini  hari ini.

    Selain Pakatan Harapan (PH), beliau turut mendapat sokongan Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Bebas.

    “Soal kestabilan tidak sepatutnya berbangkit,” katanya.

    Anwar berkata pada sidang Parlimen itu juga kerajaan akan membentangkan dan meluluskan emolumen bagi penjawat awam terlebih dahulu, sebelum Bajet 2023 dibentangkan semula.

    “Bajet, sudah pasti kita ada emolumen jelas (kepada penjawat awam) pertama pada 19 Dis ini. Supaya penjawat awam tidak perlu risau.

    “Kemudian berikan tempoh kira-kira sebulan, kita akan bentangkan bajet baharu, atau mungkin bajet yang disemak semula,” katanya.

    Bajet 2023 dibentangkan pada 7 Okt lepas oleh Menteri Kewangan ketika itu Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion, dan tiga hari kemudian Parlimen dibubarkan bagi memberi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Anwar, 75, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini. – BERNAMA