Author: Bernama

  • PRU15 Tioman: Calon PN syor Pahang beri cuti umum dua hari

    PRU15 Tioman: Calon PN syor Pahang beri cuti umum dua hari

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Nor Idayu Hashim menyarankan agar kerajaan Pahang memberikan cuti dua hari susulan tarikh mengundi jatuh pada hari bekerja.

    Beliau berkata, perkara itu penting bagi memudahkan pengundi menjalankan kewajipan mereka yang tertangguh tempoh hari selain memastikan peratusan keluar mengundi mencapai tahap optimum.

    Kalau boleh bagi cuti dua hari bermula Selasa supaya senang untuk anak-anak (pengundi) balik ke kampung untuk mengundi,” katanya kepada Bernama semasa Program Santai Anak Muda di Pantai Hiburan, Rompin hari ini.

    Mengulas perkembangan semasa yang menyaksikan BN dan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama membentuk kerajaan negeri, Nor Idayu berkata, beliau sedia menggalas tanggungjawab sebagai pembangkang yang efektif di DUN Pahang jika diberikan mandat oleh pengundi.

    Sementara itu, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, yang turut menghadiri program tersebut berkata, beliau optimis Nor Idayu mampu merampas DUN Tioman yang selama ini dianggap sebagai kubu BN daripada penyandangnya, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

    “Saya mempunyai keyakinan bahawa kita akan menang di DUN Tioman berdasarkan pilihan raya baru-baru ini apabila Parlimen Rompin dimenangi calon PN, Datuk Abdul Khalib Abdullah,” katanya.

    Turut bertanding di kerusi DUN yang terletak di bawah Parlimen Rompin itu ialah Osman A. Bakar mewakili Pejuang, Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

    PRU15 DUN Tioman ditangguhkan sehingga 7 Disember ini susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli, 61, pada jam 3.30 pagi hari pengundian 19 November lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

    Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi sejumlah 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

  • Helikopter polis terhempas di Indonesia: Satu mayat ditemukan, 3 masih hilang

    Helikopter polis terhempas di Indonesia: Satu mayat ditemukan, 3 masih hilang

    PASUKAN penyelamat menemukan satu mayat setakat ini dalam insiden helikopter polis terhempas di Kepulauan Bangka Belitung, sehari selepas pesawat itu terputus hubungan.

    Helikopter itu membawa empat penumpang dan misi mencari masih diteruskan di pantai timur Pulau Belitung untuk mengesan mangsa yang masih hilang.

    Pesawat itu berlepas pada Ahad dari wilayah Kalimantan Tengah menuju ke wilayah Kepulauan Bangka Belitung apabila ia terputus hubungan akibat cuaca buruk.

    “Penyelamat menemukan mayat di perairan Manggar pagi ini,” kata jurucakap polis Bangka Belitung A. Maladi dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata nelayan di kawasan itu menemukan tiga headrest dengan lambang pasukan operasi udara polis Indonesia pada Ahad petang.

  • Empat lelaki ditahan jadi bookie pertaruhan Piala Dunia Qatar

    Empat lelaki ditahan jadi bookie pertaruhan Piala Dunia Qatar

    EMPAT lelaki warga tempatan disyaki menjadi bookie pertaruhan judi Piala Dunia Qatar ditahan dalam Ops Soga di sebuah kediaman di Taman Bukit Maluri, Kepong, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai dalam kenyataan berkata hasil siasatan mendapati kegiatan itu berselindung di sebalik rumah kediaman dan dipercayai beroperasi sejak sebulan lepas.

    Beliau berkata polis turut merampas antaranya telefon bimbit, modem, tablet dan komputer riba dalam operasi pada 10.15 malam itu.

    Beh berkata kesemua suspek berusia antara 40 hingga 48 tahun itu, kini direman tiga hari hingga esok (29 Nov) bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menguruskan aktiviti perjudian dalam talian serta Seksyen 6(3) dan Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 kerana menjadi ejen perjudian bola sepak dan bermain judi dalam talian.

  • Polis tahan tiga lelaki disyaki terlibat samun

    Polis tahan tiga lelaki disyaki terlibat samun

    POLIS berjaya menahan tiga daripada empat lelaki yang dipercayai menetak serta menyamun seorang pemborong dan pembekal sayur di Pasar Parit Buntar semalam.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata anggota polis terpaksa melepaskan tembakan bagi memberhentikan kereta Proton Waja dinaiki kesemua lelaki berkenaan di sekitar kawasan Parit Buntar.

    “Kira-kira 4 petang, anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian telah terserempak dan mengekori kereta dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum tiga lagi lelaki bersenjatakan pedang dan parang meluru masuk ke dalam kenderaan itu.

    “Pihak polis segera menyerbu bagi menahan kesemua suspek namun suspek yang terkejut bertindak melibas pedang ke arah polis dan cuba melarikan diri dengan melanggar pihak polis yang berada di hadapan kereta itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata dalam usaha untuk mempertahankan diri dan memberhentikan kereta itu, pasukan polis terpaksa melepaskan tembakan bagi memberhentikan kenderaan suspek.

    Mohd Yusri berkata tiga lelaki berusia antara 47 hingga 63 tahun berjaya diberkas manakala seorang lagi dikenali sebagai P. Manimaran berjaya melarikan diri.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek telah menetak pergelangan tangan kanan dan merampas seutas rantai leher pemborong dan pembekal sayur berusia 51 tahun itu.

    Katanya mangsa cedera parah dihantar ke hospital dan kerugian dianggarkan kira-kira RM15,000.Men

    Menurutnya hasil soal siasat ke atas ketiga-tiga lelaki terbabit mendapati mereka terlibat dengan sekurang-kurangnya 11 kes rompakan menggunakan kenderaan dengan modus operandi sama.

    Kesemuanya mempunyai rekod dadah dan jenayah selain ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis metampetamin dan morfin.

    Mohd Yusri meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian melaporkan kepada polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 394 dan 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

  • Bas ekspres rempuh treler, 16 penumpang warga Singapura cedera

    Bas ekspres rempuh treler, 16 penumpang warga Singapura cedera

    SERAMAI 16 penumpang cedera ringan apabila bas ekspres dinaiki mereka merempuh sebuah treler di Kilometer 179.2 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) di Jasin pada pagi Isnin.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari, Pegawai Bomba Kanan II Azman Md Dawam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.57 pagi dan seramai 17 pegawai serta anggota daripada BBP Jasin Bestari dan Tangkak digegaskan ke lokasi.

    “Sejurus tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati sebuah bas ekspres membawa 27 penumpang telah melanggar sebuah treler membawa muatan barangan kitar semula.

    “Kejadian tidak membabitkan kemalangan jiwa dan kesemua 16 penumpang itu telah diberi rawatan awal,” katanya dalam satu kenyataan.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, kesemua penumpang terlibat adalah warga Singapura dan bas tersebut dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

    Beliau berkata bas ekspres dipandu lelaki berusia 42 tahun itu dipercayai hilang kawalan dan melanggar belakang treler berkenaan di lorong paling kiri.

    Katanya kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Remaja lelaki maut kemalangan, tercampak dari jambatan

    Remaja lelaki maut kemalangan, tercampak dari jambatan

    SEORANG remaja lelaki maut selepas tercampak dari sebuah jambatan setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Besar Nilai-Pajam, Nilai, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata dalam kejadian pada 1.57 pagi itu, mangsa berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederan parah di badan dan kepala setelah tercampak dari jambatan berketinggian 30 meter.

    “Siasatan awal mendapati, kereta tersebut yang sedang dalam perjalanan dari arah Bandar Baru Nilai menghala ke arah Pajam, telah bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan yang secara tiba-tiba masuk ke laluan kereta berkenaan.

    “Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak dari jambatan manakala pemandu kereta iaitu lelaki berusia 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Mangsa sempat minta tolong, terkapai-kapai sebelum lemas

    Mangsa sempat minta tolong, terkapai-kapai sebelum lemas

    SEORANG lelaki berusia lingkungan 50-an ditemukan lemas di sungai berhampiran Pandamaran Jaya, Klang, tengah hari tadi.

    Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 10.34 pagi daripada seorang individu yang memberitahu ternampak seorang lelaki terkapai-kapai meminta tolong sebelum tenggelam di sungai berkenaan.

    Beliau berkata sepasukan 10 anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dikerah dalam operasi berkenaan.

    “Anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) kemudian melakukan selaman di dasar sungai dan berjaya menemukan mangsa.

    “Mangsa dibawa ke darat sebelum pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi mengesahkannya sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

    Norazam berkata pihak polis juga tidak menjumpai sebarang identiti pada mangsa.

  • Lelaki tular menyamun warga asing kena tahan

    Lelaki tular menyamun warga asing kena tahan

    LELAKI ditahan selepas disyaki menyamun wang tunai RM500 daripada dua warga asing di premis mencuci kenderaan di Taman Saujana Kajang, yang tular di media sosial semalam.

    Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata, lelaki berusia 21 tahun itu ditahan di Taman Kantai Permai, Kajang pada hari sama dan disahkan positif dadah jenis methamphetamine.

    Beliau berkata, lelaki terbabit juga tidak menyamar sebagai polis seperti yang ditularkan.

    “Suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat dan pihak polis turut merampas sebuah motosikal serta pakaian yang disyaki digunakan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Lelaki itu direman empat hari hingga Rabu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak tanpa menggunakan senjata.

    Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat kes Sarjan Ahmad Faizal Hasan di talian 019-7691924.

  • DUN Kelantan lulus Enakmen Antilompat Parti

    DUN Kelantan lulus Enakmen Antilompat Parti

    PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri (Pindaan) 2022 bagi membolehkan Enakmen Anti-Lompat Parti dilaksanakan di negeri ini.

    Usul pindaan itu dibawa oleh Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan mendapat sokongan sebulat suara tanpa dibahaskan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima DUN Kelantan ke-14 di sini.

    “Tujuan pindaan dilaksanakan adalah bagi memastikan Enakmen Anti-Lompat Parti sekata dan selaras dengan apa yang telah diputuskan di Parlimen sebelum ini,” katanya ketika menggulung rang undang-undang itu. 

    Speaker Datuk Abdullah Ya’kub pula berkata pindaan itu dilaksana selaras dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang berkuat kuasa 5 Okt lepas.

    Akta itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 31 Ogos dan diwartakan sebagai Akta A1663 pada 6 Sept lepas.

    Persidangan bersambung 29 Nov ini. – BERNAMA

  • BN dan PH bentuk kerajaan negeri Pahang, Wan Rosdy dilantik MB

    BN dan PH bentuk kerajaan negeri Pahang, Wan Rosdy dilantik MB

    PEMANGKU Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, telah memperkenankan pembentukan Kerajaan Negeri Pahang daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata baginda juga berkenan, untuk melantik Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang merupakan Pengerusi BN negeri sebagai Menteri Besar.

    Lantikan itu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Raja Pemerintah yang dinyatakan dalam Bahagian II, Perkara 3 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

    “Majlis pengurniaan surat cara lantikan dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar akan diadakan pada 11 pagi Isnin, 28 Nov di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di Pekan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Ahmad Khirrizal juga menyatakan Tengku Hassanal telah berkenan menerima menghadap dan mendengar cadangan, usul serta hasrat kepimpinan parti-parti politik yang terlibat, susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebelum membuat keputusan tersebut.

    Pelantikan Menteri Besar itu mengakhiri kemelut politik yang berlaku di Pahang, yang menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang tergantung buat kali pertama, selepas tiada parti politik yang memperoleh majoriti mudah iaitu 22 kerusi pada pilihan raya umum itu.

    Pada PRU15, BN memperoleh 16 kerusi DUN, kurang satu berbanding Perikatan Nasional (PN), manakala PH mendapat lapan kerusi. Secara keseluruhan terdapat 42 kerusi di DUN Pahang.

    Pengundian bagi DUN Tioman telah ditangguhkan dan akan berlangsung pada 7 Dis ini, susulan kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian PRU15 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

    Keputusan DUN Tioman bagaimanapun tidak memberi kesan kerana tiada parti akan memperoleh majoriti mudah daripada keputusan tersebut. – BERNAMA