Author: Bernama

  • Video berbaur provokasi: MCMC, PDRM panggil pengurusan TikTok

    Video berbaur provokasi: MCMC, PDRM panggil pengurusan TikTok

    SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memanggil pihak pengurusan TikTok untuk memberikan penjelasan berhubung penularan tiga klip video berbaur provokasi mengenai amaran rusuhan 13 Mei 1969. 

    MCMC dalam kenyataan memaklumkan penyebaran kandungan berbaur provokasi itu dengan niat mencetuskan ketidakharmonian, kebencian, prejudis dan perasaan orang lain adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    “Sebarang penyebaran kandungan video sedemikian merupakan satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang dikhuatiri boleh menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, perasaan kebencian mahupun prejudis dalam hal-ehwal berkaitan dengan agama dan kaum,” katanya.

    Menurut kenyataan itu, MCMC terus memantau penyebaran klip video tersebut serta pendedahan sebuah portal berita yang tiga klip video itu merupakan kandungan berbayar. 

    Selain itu, MCMC dan PDRM akan mempertingkat usaha untuk mengekang penyebaran video sedemikian yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam.

    Sebuah portal berita hari ini melaporkan terdapat pengguna media sosial yang menyatakan beberapa video berhubung amaran rusuhan 13 Mei 1969 yang tular di TikTok mempunyai label “paid partnership” atau perkongsian berbayar. – BERNAMA

  • AGC tidak rayu keputusan mahkamah serah semula barangan mewah Najib, Rosmah

    AGC tidak rayu keputusan mahkamah serah semula barangan mewah Najib, Rosmah

    JABATAN Peguam Negara (AGC) hari ini mengesahkan ia tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk memulangkan barang kemas, jam tangan mewah dan beg tangan berjenama bernilai RM80 juta yang disita dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd, yang didakwa milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

    Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun ketika dihubungi Bernama berkata AGC tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin pada 14 Nov 2022.

    “Ya, AGC tidak merayu terhadap keputusan hakim kerana kami bersetuju dengan keputusan Yang Arif,” kata Idrus menerusi mesej WhatsApp hari ini.

    Pada 14 Nov, Hakim Muhammad Jamil memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kesemua barangan yang disita oleh polis di Pavilion Residence pada 17 Mei 2018 adalah hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Hakim itu turut menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menggantung pelaksanaan keputusan tersebut sementara menunggu rayuan difailkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

    Najib dan Rosmah merupakan pihak ketiga dalam permohonan itu. Mana-mana pihak ketiga yang mendakwa mempunyai kepentingan ke atas barangan yang dirampas boleh hadir di mahkamah untuk mengemukakan alasan mengapa barangan itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

    Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings untuk melucut hak barangan tersebut dan wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 yang didakwa milik UMNO dan Najib. Bagaimanapun kerajaan gagal melucut hak wang itu.

    Barangan tersebut didakwa hasil aktiviti haram yang dikaitkan dengan skandal dana 1MDB, disita di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    Barangan kemas dan beg tangan didakwa milik Rosmah manakala jam tangan milik Najib. – BERNAMA

  • Rayuan Azeez kes saman fitnah terhadap Guan Eng didengar 19 Mei

    Rayuan Azeez kes saman fitnah terhadap Guan Eng didengar 19 Mei

    PEMDENGARAN rayuan bekas Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnahnya terhadap Pengerusi DAP Lim Guan Eng ditetapkan semula pada 19 Mei tahun depan.

    Felix Lim, seorang daripada peguam yang mewakili Lim, mengesahkan tarikh pendengaran baharu itu selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Dr Syahliza Warnoh hari ini.

    Pendengaran rayuan itu pada mulanya ditetapkan hari ini di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk P. Ravinthran dan Datuk Hashim Hamzah tetapi telah ditangguhkan.

    Hakim Lee memberitahu kedua-dua pihak bahawa panel itu masih belum berehat sejak prosiding bermula pada sebelah pagi.

    “Kami perlu memohon maaf kepada anda semua. Kami masih belum rehat dan jam hampir 2 petang…dan berdasarkan anggaran hujahan kedua-dua pihak (memerlukan) satu jam dan (lebih banyak masa) untuk balasan,” katanya.

    “Kami fikir dalam keadaan ini, kami perlu menghantarnya kepada pengurusan kes untuk menjadualkan semula tarikh pendengaran baharu,” kata Hakim Lee.

    Ahli Parlimen Baling itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 11 Disember 2020 yang menolak samannya ke atas Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berhubung pembinaan projek terowong dasar laut di negeri berkenaan.

    Abdul Azeez telah memfailkan saman itu pada Mac 2018 yang mendakwa Guan Eng, bekas Menteri Kewangan, telah mengeluarkan kenyataan fitnah semasa sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri pada 28 Feb 2018 dan semasa rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang pada hari sama yang mengaitkan beliau dengan pembayaran sebanyak RM3 juta sebagai yuran perundingan oleh pemaju projek terowong bawah laut.

    Beliau meminta ganti rugi am dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Pada prosiding hari ini yang dijalankan secara dalam talian, peguam Datuk Porres Royan dan Craig Ho mewakili Abdul Azeez manakala Lim diwakili Datuk N. Mureli dan Felix. – Bernama

  • Mekanik maut, van jenazah dipandu terbabas masuk gaung 7 meter

    Mekanik maut, van jenazah dipandu terbabas masuk gaung 7 meter

    SEORANG mekanik maut selepas van jenazah yang dipandunya hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terjunam ke dalam gaung setinggi tujuh meter di Kilometer 16, Jalan Jemaluang-Mersing dekat Mersing, pagi tadi. 

    Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata dalam kejadian pada kira-kira 9.15 pagi di hadapan Institut Latihan Perindustrian Mersing itu, mangsa dikenal pasti sebagai Wan Mohd Nasyarudin Wan Ismaon, 38.

    “Van yang dipandu Mohd Nasyarudin dipercayai dari arah Johor Bahru-Mersing, telah terbabas lalu melanggar besi pembahagi jalan di laluan bertentangan sebelum van berkenaan terjatuh dalam gaung,”  katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Cyril Edward berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pakar perubatan dan jenazahnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk bedah siasat da kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Kes saman 1MDB: Firma guaman wakili ibu Jho Low tarik diri

    Kes saman 1MDB: Firma guaman wakili ibu Jho Low tarik diri

    SEBUAH firma guaman hari ini menarik diri daripada mewakili ibu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dalam kes saman berjumlah US$3.7837 bilion yang difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Seorang peguam dari Skrine & Co yang mewakili 1MDB berkata Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan permohonan Tetuan Valen, Oh & Partners untuk menarik diri sebagai peguam daripada mewakili Puan Sri Goh Gaik Ewe.

    “Pengurusan kes ditetapkan pada 21 Dis ini,” kata peguam itu ketika dihubungi selepas prosiding yang berlangsung secara dalam talian hari ini yang turut disertai peguam Oh Choong Ghee, mewakili firma guaman tersebut.

    Pada Julai lepas, Hakim Hayatul Akmal membenarkan firma guaman sama (Tetuan Valen, Oh & Partners) untuk menarik diri daripada mewakili Jho Low dan bapanya, Tan Sri Larry Low Hock Peng yang juga defendan dalam kes saman itu.

    Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited; 1MDB Energy Limited; 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman terhadap Jho Low, ibu dan bapanya, kakak dan adik lelaki Jho Low iaitu May Lin dan Taek Szen serta rakan sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong selaku defendan.

    Berdasarkan writ itu, 1MDB menuntut US$661 juta daripada Jho Low dan masing-masing US$41 juta, US$397 juta, US$608 juta dan US$1.9 bilion daripada Jho Low dan Tan serta US$325 juta daripada Jho Low dan ayahnya.

    1MDB Global Investments Limited pula menuntut US$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Tan serta US$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Tan.

    Plaintif turut menuntut US$3.5 juta daripada May Lin dan Jho Low serta US$1.695 juta daripada Goh, Jho Low dan Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain US$25.5 juta daripada Jho Low, Tan, Hock Peng dan Taek Szen.

  • Harga RON97 turun 10 sen, RON95 dan diesel kekal

    Harga RON97 turun 10 sen, RON95 dan diesel kekal

    HARGA runcit RON97 turun 10 sen kepada RM3.85 seliter berbanding RM3.95, manakala harga RON95 dan diesel kekal tidak berubah untuk minggu ini dari 1 hingga 7 Dis.

    Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga siling RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter, walaupun harga pasaran kedua-dua produk itu meningkat melebihi harga siling semasa.

    Harga runcit RON97 telah diturunkan sejajar dengan pergerakan harga pasaran.

    Penetapan harga itu dibuat berdasarkan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

    “Kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah global dan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • Dadah: Farid Kamil didenda RM5,000, hukuman penjara diketepikan

    Dadah: Farid Kamil didenda RM5,000, hukuman penjara diketepikan

    PELAKON dan pengarah Farid Kamil Zahari terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini mengenakan hukuman denda RM5,000 kerana menggunakan dadah, empat tahun lepas.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan akhir Farid Kamil, 41, selaku perayu bagi mengetepikan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 2019.

    Bagaimanapun, Hakim Kamaludin mengekalkan dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terhadap pelakon itu dan memerintahkannya dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

    Pelakon filem Remp-It 2 itu membayar denda berkenaan.

    Kamaludin dalam keputusan sebulat suara berkata mahkamah bersetuju dengan peguam perayu bahawa Mahkamah Majistret tidak konsisten dalam membuat pertimbangan ketika menjatuhkan hukuman terhadap Farid Kamil.

    Hakim itu berkata tiada satu penjelasan konkrit yang boleh menyatakan bahawa hukuman tersebut setimpal dengan kesalahan dilakukan pada masa itu dan tiada aspek pemberatan contohnya tiada kesalahan lampau atau sebagainya. 

    “Ini kerana kes-kes mahkamah menunjukkan sama ada untuk menjatuhkan hukuman penjara dan denda, mahkamah bergantung kepada fakta kes itu. Dalam kes ini, kami dapati faktanya adalah jelas dan tidak menjurus kepada kesalahan terlalu serius atau berat.

    “Oleh itu, mahkamah bersetuju dengan hujah peguam perayu dan memutuskan bahawa hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Majistret dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi, diketepikan serta diganti dengan hukuman denda RM5,000. Dua tahun pengawasan di bawah AADK dikekalkan,” kata hakim itu.

    Turut bersidang Hakim Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk See Mee Chun.

    Pada 15 Mei 2019, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Farid Kamil bersalah kerana menggunakan dadah dikenali sebagai THC, iaitu ‘11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’.

    Dia dituduh melakukan kesalahan di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 4.30 petang, 11 Jan 2018.

    Hukuman berkenaan dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada November 2019.

    Turut hadir di mahkamah isterinya, pelakon Diana Danielle dan adik Farid Kamil iaitu Fadzil.

    Farid Kamil ketika ditemui pemberita selepas membayar denda menzahirkan rasa syukur dengan keputusan hari ini yang disifatkan terbaik untuk dirinya.

    “Saya gembira kerana kes ini telah selesai di peringkat rayuan dan kini saya boleh fokus terhadap penggambaran filem seterusnya berjudul Anwar, yang kini berada di peringkat akhir serta bakal ditayangkan pada Februari 2023,” katanya yang turut berterima kasih kepada barisan peguam mewakilinya.

    Farid Kamil diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Kee Wei Lon dan Low Wei Loke manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang. – BERNAMA

  • Warga emas mengaku tidak bersalah tembak kucing guna senapang angin

    Warga emas mengaku tidak bersalah tembak kucing guna senapang angin

    SEORANG warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan menembak seekor kucing menggunakan senapang angin di sebuah rumah di Bukit Rambai, Jun lepas.

    Aziz Tambi, 62, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai kira-kira 2.30 petang pada 18 Jun 2022.

    Pertuduhan adalah di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang RM20,000 atau maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon jaminan sebanyak RM20,000 namun peguam tertuduh Mohd Ishak Kari merayu agar jaminan dikurangkan kerana Aziz hanya bekerja kampung dengan pendapatan sekitar RM50 sehari.

    Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

    Terdahulu di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Aziz mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nabilah Nizam atas pertuduhan memiliki selaras senapang angin tanpa lesen pada pukul 8 malam di tempat dan tarikh yang sama.

    Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.

    Serahan dokumen bagi kedua-dua kes ditetapkan 11 Jan tahun depan.

  • Bantuan khas kewangan RM1,500 untuk penjawat awam Kelantan

    Bantuan khas kewangan RM1,500 untuk penjawat awam Kelantan

    KERAJAAN Kelantan mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM1,500 kepada penjawat awam di negeri itu.

    Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata bantuan itu akan diberi Januari tahun depan sebagai menghargai sumbangan dan pengorbanan mereka.

    “Kerajaan bersetuju memberi bantuan khas kewangan itu melibatkan pembayaran sebanyak RM13 juta dan ia merupakan bantuan tertinggi yang pernah diberikan kerajaan negeri berikutan lebihan belanjawan dalam tempoh lima tahun berturut-turut.

    “Ini adalah sebagai tanda menghargai iltizam dan kesungguhan kakitangan kerajaan yang telah bekerja bersungguh-sungguh dalam memastikan kewangan kita berada pada keadaan yang baik,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini.

  • Saman fitnah Ismail Sabri terhadap Lokman Adam mungkin dapat diselesaikan tanpa perbicaraan

    Saman fitnah Ismail Sabri terhadap Lokman Adam mungkin dapat diselesaikan tanpa perbicaraan

    SAMAN fitnah yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam mungkin akan diselesaikan tanpa perbicaraan.

    Peguam Joshua Tan yang mewakili Ismail Sabri mengesahkan perkara itu semasa dihubungi media selepas kes berkenaan disebut di dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh hari ini.

    “Kes hari ini (pendengaran inter-parte – kedua-dua pihak) ditangguhkan ke 5 Jan depan. Ada potensi untuk penyelesaian kes ini,” katanya.

    Perkara itu turut diperakui oleh peguam Lokman, S.Suresh.

    Pada 12 Sept lepas, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya Lokman dengan serta-merta memadamkan kesemua video yang didakwa memfitnah perdana menteri di akaun media sosial.

    Ismail Sabri, 62, yang juga Naib Presiden UMNO, selaku plaintif memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya menerusi Tetuan Kesavan pada 8 Sept lepas dengan menamakan Lokman, 49, sebagai defendan.

    Dalam penyataan tuntutan, Ahli Parlimen Bera itu mendakwa Lokman pada 22 Ogos lepas telah membuat kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif, dalam satu video bertajuk “Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam”.

    Beliau berkata kenyataan-kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif itu dimuat naik menerusi empat akaun media sosial milik defendan iaitu YouTube “Lokman Adam”, Facebook “Lokman Noor Adam Official”, Instagram “lokmannooradam” dan TikTok “datoklokmanadam”.

    Menurut plaintif, kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif telah berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas perdana menteri itu serta parti-parti politik lain yang bertentangan dengan UMNO, untuk kekal sebagai perdana menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati UMNO.

    Ismail Sabri juga mendakwa beliau tidak pernah berjumpa Dr Mahathir dan parti-parti lain bagi tujuan itu mahpun terlibat dengan sebarang langkah-langkah secara tidak berprinsip untuk menghalang pembubaran Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum, untuk kekal sebagai perdana menteri.

    Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan, faedah, kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Pada 1 Sept lepas, Lokman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas dua pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap Ismail Sabri dan kerajaan melalui aplikasi Facebook atas nama profil “Lokman Noor Adam Official”.