Author: Bernama

  • Mrs Malaysia World 2022 lakar nama dalam Malaysia Book of Records

    Mrs Malaysia World 2022 lakar nama dalam Malaysia Book of Records

    OLIVIA Nicholas yang akan mewakili Malaysia ke pertandingan ratu cantik Mrs World 2022 di Las Vegas bulan ini, sudah pun melakar nama dalam Malaysia Book of Records.

    Peguam berusia 30 tahun dari Ipoh, Perak itu yang dinobatkan sebagai Mrs Malaysia World 2022 pada Oktober, mencipta rekod negara apabila mengenakan busana kebangsaan yang dihiasi dengan syiling lima sen terbanyak – sebanyak 10,000 keping.

    Busana yang akan dipakai beliau pada pertandingan Mrs World 2022 pada 17 Dis nanti, dipaparkan di sini malam tadi.

    Olivia menggayakan pakaian itu, yang menggabungkan elemen tradisional Sabah dan Sarawak, serta mencipta sejarah dalam pertandingan ratu cantik Malaysia apabila beliau muncul sebagai Ratu ‘Destar Siga’ pada majlis itu yang turut disaksikan oleh wakil daripada Malaysia Book of Records.

    Syiling lima sen itu mempunyai motif kain ‘Destar Siga’ iaitu kain tenunan bentuk asli yang berasal daripada masyarakat Kadazan Dusun di Sabah dan digunakan sebagai hiasan kepala semasa upacara tradisional.

    Pereka dari Sarawak Saran Anak Lagong telah mencipta kostum itu, kata Pengarah Kebangsaan Mrs World Sdn Bhd Datin Harveen Kaur.

    Beliau berkata Olivia akan bersaing dengan wakil dari lebih 60 negara untuk merebut mahkota Mrs World 2022 di Las Vegas dari 10 hingga 17 Dis ini.

    Olivia akan ditemani suaminya Dr Sandeep Menon ke acara itu, katanya. – BERNAMA

  • Kes saman selesai, DAP mohon maaf kepada Rahim Thamby Chik

    Kes saman selesai, DAP mohon maaf kepada Rahim Thamby Chik

    KES saman fitnah Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik terhadap Khoo Poay Tiong dan DAP selesai, apabila Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dan parti itu pada Isnin memohon maaf kepada bekas Ketua Menteri Melaka itu berhubung penerbitan beberapa artikel mengaitkannya dengan pelbagai skandal.

    Poay Tiong yang turut mewakili DAP membacakan kenyataan permohonan maaf di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Dr John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee berkata artikel-artikel tersebut adalah tidak berasas serta tidak benar dan adalah fitnah terhadap Abdul Rahim dan keluarganya.

    “Kami dengan ini memohon maaf dan menyatakan kekesalan kami atas sebarang kesusahan dan penghinaan kepada Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan keluarganya akibat daripada penerbitan artikel-artikel tersebut.

    “Kami telah memadamkan artikel-artikel itu dan berjanji tidak akan menerbitkan sebarang artikel yang mengandungi alegasi-alegasi ini (dakwaan) atau serupa terhadap Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik,” katanya.

    Mahkamah kemudian merekodkan penghakiman persetujuan itu dengan kos RM180,000 dibayar kepada Abdul Rahim.

    Prosiding perbicaraan kes saman itu sepatutnya berlangsung Isnin hingga Khamis, namun pihak-pihak bersetuju untuk menyelesaikannya melalui penghakiman persetujuan.

    Peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Abdul Rahim manakala Ramkarpal Singh mewakili Poay Tiong dan DAP.

    Selain Poay Tiong, Abdul Rahim turut menamakan Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika itu, sebagai defendan kedua hingga keempat yang disaman sebagai pemegang jawatan dalam parti.

    Pada 17 September 2020, Abdul Rahim mendakwa pada 16 Disember 2018, Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka ketika itu, telah menulis, menerbit atau menyebabkan untuk diterbitkan artikel-artikel mengandungi perkataan fitnah yang mengaitkan beliau di laman Facebook milik defendan pertama (Poay Tiong), laman sesawang DAP www.dapmalaysia.org dan portal berita www.thestar.com.my.

  • Seorang maut, lori muatan diesel jatuh gaung di Lebuhraya PLUS

    Seorang maut, lori muatan diesel jatuh gaung di Lebuhraya PLUS

    SEORANG lelaki maut apabila lori muatan diesel yang dinaikinya terjatuh ke dalam gaung dan terbakar di Kilometer 265 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, pagi tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.52 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru dengan bantuan BBP Ipoh digegaskan ke lokasi kejadian.

    “Setibanya jentera di lokasi kejadian mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori terjatuh ke dalam gaung dan terbakar.

    “Operasi pemadaman dan penyelamatan sedang giat dijalankan ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

  • Gunung berapi Semeru meletus, hampir 2,000 penduduk dipindahkan

    Gunung berapi Semeru meletus, hampir 2,000 penduduk dipindahkan

    GUNUNG berapi Semeru di Lumajang, Jawa Timur meletus pada Ahad dengan kepulan abu panas meluap sehingga 1,500 meter, menurut agensi vulkanologi Indonesia.

    Aliran abu panas bergerak sehingga 13 kilometer (km) ke tenggara, menyelubungi kawasan berpenduduk di bawah zon letusan dan menyekat cahaya matahari.

    Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara memindahkan hampir 1,979 penduduk yang tinggal di kampung berdekatan di daerah Lumanjang dan Malang ke 11 pusat perlindungan sementara.

    Tiada kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

    Menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bahaya Geologi gunung berapi itu meletus sebanyak 13 kali antara 2.46 pagi dan 12 tengah hari waktu tempatan pada Ahad.

    Agensi itu menaikkan status amaran gunung berapi kepada tahap IV.

    Penduduk dinasihatkan berada 17 km dari puncak dan harus mengetahui akan bahaya potensi aliran lava dan awan panas sehingga 19 km. 

    Gunung Semeru adalah antara gunung berapi paling aktif di Indonesia dan puncak tertinggi di Pulau Jawa dengan ketinggian 3,676 meter.

    Kali terakhir gunung itu meletus pada Disember 2021, mengorbankan 69 orang manakala 104 lagi cedera. – BERNAMA

  • Ahli perniagaan Malaysia diekstradisi ke China bulan ini – Polis Thailand

    Ahli perniagaan Malaysia diekstradisi ke China bulan ini – Polis Thailand

    AHLI perniagaan Malaysia dalam buruan Teow Wooi Huat dijangka dihantar ke China sebelum akhir bulan ini, kata penolong ketua polis Thailand Lt Jen Surachate Hakparn.

    Walaupun polis Malaysia juga meminta Teow dihantar pulang, Surachate berkata “tiada waran tangkap dikeluarkan terhadap Teow di Malaysia”.

    Beliau berkata polis Thailand menerima permintaan ekstradisi daripada kerajaan China.

    “Kami berusaha (ekstradisi Teow) selama lebih sebulan. Kami mengemukakan permintaan kepada Peguam Negara. Sebaik selesai, Teow akan dihantar pulang ke China sebelum akhir tahun ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

    Usahawan kelahiran Pulau Pinang berusia 55 tahun itu digelar Jho Low 2, merujuk kepada seorang lagi ahli perniagaan yang diburu Malaysia Low Taek Jho yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, berada dalam senarai Notis Merah Interpol untuk disoal siasat.

    Pada 22 Julai, Teow pengasas Kumpulan MBI ditahan Polis Imigresen Thailand selepas visanya dibatalkan dan sejak itu dia menunggu pengusiran pihak berkuasa Thailand.

    Malaysia dan China memburu Teow. China difahamkan merupakan negara pertama yang meminta Teow diekstradisi.

    Polis Beijing juga dilaporkan mahu dia disoal siasat berikutan saman yang difailkan kira-kira 400 pelabur dari China untuk mendapatkan semula pelaburan bernilai hampir RM100 juta.

    Pada 25 Julai lepas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan pasukan itu dalam proses memohon Teow dihantar pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Teow menjadi tajuk utama di Thailand. Pada 2011, dia dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM160,000 atas dua pertuduhan menipu lebih RM1 juta dalam skim pelaburan – Island Red Café.

    Pada 2017, pihak berkuasa Malaysia membekukan sejumlah 91 akaun bank dengan RM177 juta yang dikaitkan dengan MBI International.

    Pada 2019, ratusan warga China mengadakan bantahan secara aman di luar Kedutaan China di Kuala Lumpur mendakwa mereka ditipu skim piramid dalam talian yang dikendalikan MBI.

    Tahun lepas, polis berkata Teow dan dua anak lelakinya terlibat dalam skim penipuan Macau melibatkan RM336 juta. Bagaimanapun, polis percaya Teow telah melarikan diri ke negara itu dan bersembunyi di Dannok, Sadao, selatan Thailand. – BERNAMA 

  • Presiden sepak takraw Singapura dikenakan sekatan 10 tahun

    Presiden sepak takraw Singapura dikenakan sekatan 10 tahun

    PRESIDEN Persekutuan Sepaktakraw Singapura (PERSES) Mohd Nasri Haron dikenakan sekatan selama 10 tahun bermula 30 November lalu oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).

    Pengerusi Jawatankuasa Disiplin ASTAF Yogender Singh Dahiya berkata, Mohd Nasri juga perlu membayar balik AS$15,000 (kira-kira RM65,800) kepada badan itu.

    Katanya, ini menampung kos mengadakan perbicaraan yang melibatkan seluruh jawatankuasa disiplin antarabangsa itu dan kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan tambahan dua tahun sekatan.

    Yogender Singh berkata, Mohd Nasri menghadapi lima pertuduhan berkaitan suratnya sebagai Naib Presiden ASTAF dan Presiden PERSES yang disalin kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa.

  • Video tular mengenai perhimpunan adalah video lama – KPN

    Video tular mengenai perhimpunan adalah video lama – KPN

    VIDEO tular kononnya satu perhimpunan akan diadakan pada Khamis depan (8 Dis) adalah video lama dan ditularkan kembali pihak tidak bertanggungjawab bertujuan membangkitkan kegusaran awam dan kekeliruan.

    Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan hari ini berkata semakan polis mendapati video berkenaan dirakam pada tahun 2018 semasa isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sedang diperkatakan.

    Beliau berkata perhimpunan yang dimaksudkan adalah perhimpunan anti-ICERD yang berlangsung pada 8 Dis 2018 di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur.

    “Video berkenaan ditularkan kembali oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan membangkitkan kegusaran awam dan kekeliruan, seolah-olah terdapat perhimpunan yang akan dianjurkan pada 8 Dis ini.

    “PDRM menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebar atau berkongsi lanjut sekiranya telah menerima video berkenaan,” katanya menambah kerjasama pengguna media sosial amat diperlukan bagi mengelak berita tidak benar daripada disebarkan.

    Menurutnya mana-mana individu yang dikesan menyebarkan video itu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (kenyataan-kenyataan yang boleh mendatangkan ketakutan awam) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan penyebaran sebuah video berdurasi dua minit 20 saat di media sosial memaparkan tindakan seorang lelaki memberikan ucapan berbaur perkauman di sebuah premis tertutup dan menyatakan sebuah perhimpunan akan diadakan pada ‘8 Dis 2022’.

    Acryl Sani berkata sehingga kini, tiada sebarang maklumat mengenai perhimpunan yang akan diadakan oleh mana-mana pihak pada 8 Dis ini seperti yang cuba digambarkan.

    Beliau turut mengulangi komitmen PDRM dalam menjamin keselamatan awam dan masyarakat dengan tindakan tegas akan diambil jika mana-mana pihak dikesan mengadakan sebarang perhimpunan atau perarakan di tempat terbuka yang boleh mengancam ketenteraman awam.

  • NUTP harap Menteri Pendidikan, KPT baharu perkenalkan dasar progresif

    NUTP harap Menteri Pendidikan, KPT baharu perkenalkan dasar progresif

    KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) mahu Menteri Pendidikan dan Menteri Pengajian Tinggi yang baharu dilantik untuk mempertingkatkan kemajuan dan memperbaiki sistem pendidikan dengan memperkenalkan dasar-dasar yang progresif.

    Menurut Setiausaha Agung NUTP Fouzi Singon dalam satu kenyataan hari ini, NUTP berharap Menteri Pendidikan Fadhliana Sidek dapat memberikan lebih autonomi kepada akar umbi dalam merancang sesi pengajaran dan pembelajaran serta peka akan permasalahan yang sudah lama dihadapi dunia pendidikan negara.

    “Menteri Pendidikan haruslah meneliti cadangan dan pandangan yang diutarakan sesiapa sahaja sebelum membuat sebarang keputusan cadangan dan pandangan akar umbi sebahagiannya dapat membantu dan memperbaiki sistem pendidikan,” menurutnya dalam kenyataan tersebut.

    Dalam pada itu, menurutnya NUTP berpendapat pengasingan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah wajar supaya kedua-dua kementerian itu dapat lebih fokus dalam melaksanakan fungsi masing-masing.

    Menurutnya, NUTP berharap dua kementerian itu dapat meneliti semula dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang tidak disentuh sepanjang pentadbiran menteri yang lepas.

    “Pembinaan generasi Malaysia masa hadapan amat bergantung kepada dasar yang dibuat oleh kementerian-kementerian ini kelak,” menurutnya dalam kenyataan itu.

    Selain itu, Fouzi berkata kedua-dua tokoh yang dipilih untuk menerajui kementerian berkaitan pendidikan negara itu dapat memberikan kerjasama yang baik dengan kesatuan guru dan mendengar suara mereka melalui sesi libat urus.

    Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Fadhlina dilantik sebagai Menteri Pendidikan manakala Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilantik untuk menerajui KPT. Mereka berdua adalah sebahagian daripada 28 menteri Kabinet yang bakal mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara hari ini.

  • Polis tahan suami-isteri bawa dadah bernilai lebih RM9.5 juta

    Polis tahan suami-isteri bawa dadah bernilai lebih RM9.5 juta

    POLIS Kelantan menahan sepasang suami isteri berusia 26 dan 28 tahun bersama dadah jenis syabu bernilai lebih RM9.5 juta di Kampung Batu Jong, Kuala Krai, semalam.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata tangkapan terbesar tahun ini itu dilakukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) ketika menjalankan rondaan pada 8 pagi.

    “Anggota bertindak menahan kenderaan dinaiki pasangan warga tempatan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan. Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut polis menemukan 11 guni yang setiap satu mengandungi 24 bungkusan dibaluti dengan kerajang aluminium bertulis ‘Guanyingwang’ disyaki dadah jenis syabu.

    “Kesemua dadah yang dirampas seberat 264 kilogram dianggarkan bernilai RM9,504,000 dipercayai untuk pasaran Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata siasatan awal mendapati suspek lelaki yang ditahan mengambil upah RM5,000 untuk satu perjalanan bagi membawa bekalan dadah tersebut sebelum kenderaan yang dinaiki mereka akan ditinggalkan di satu kawasan lain sebelum diambil individu lain.

    “Pasangan suami isteri didapati tiada rekod jenayah lampau. Mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 9 Dis depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Senarai penuh Kabinet kerajaan perpaduan

    Senarai penuh Kabinet kerajaan perpaduan

    Berikut adalah senarai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim:

    Perdana Menteri dan Menteri Kewangan

    Datuk Seri Anwar Ibrahim

    Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah

    Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi 

    Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi

    Datuk Seri Fadillah Yusof

    Menteri Pengangkutan

    Anthony Loke Siew Fook

    Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan

    Mohamad Sabu

    Menteri Ekonomi

    Mohd Rafizi Ramli 

    Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan

    Nga Kor Ming

    Menteri Pertahanan

    Datuk Seri Mohamad Hasan

    Menteri Kerja Raya

    Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

    Menteri Dalam Negeri

    Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

    Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz 

    Menteri Pendidikan Tinggi

    Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

    Menteri Sains dan Teknologi

    Chang Lih Kang 

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

     Datuk Seri Nancy Shukri

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup

     Datuk Seri Salahuddin Ayub

    Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi

    Datuk Seri Azalina Othman Said

    Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim

    Nik Nazmi Nik Ahmad

    Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi

    Datuk Ewon Benedick

    Menteri Luar Negeri 

    Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir 

    Menteri Pelancongan 

    Datuk Seri Tiong King Sing

    Menteri Komunikasi Digital

    Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil

    Menteri Pendidikan 

    Fadhlina Sidek

    Menteri Perpaduan Negara

    Datuk Aaron Ago Anak Dagang

    Kementerian Agama 

    Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

    Menteri Belia dan Sukan 

    Hannah Yeoh Tseow Suan

    Menteri Sumber Manusia 

    V.N. Sivakumar 

    Menteri Kesihatan

    Dr Zaliha Mustafa

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak)

    Datuk Armizan Mohd Ali

    — BERNAMA