Author: Bernama

  • Pemandu lori didenda RM6,000 pindah 20 ekor lembu tanpa kebenaran

    Pemandu lori didenda RM6,000 pindah 20 ekor lembu tanpa kebenaran

    SEORANG pemandu lori didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini kerana memindahkan 20 ekor lembu tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Ogos lepas.

    Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu selepas Rosmadie Ramli, 32, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah memindahkan 18 lembu hidup, seekor lembu yang lemah dan tidak bermaya serta seekor yang telah mati tanpa kebenaran bertulis dari Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.

    Perbuatan itu, yang melanggar Perintah 4(1)(a), Perintah Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut (Negeri Selangor) 2001, dilakukan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gombak, pada 1.10 pagi, 7 Ogos lepas.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 36(1)(c) Akta Binatang 1953 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 36(7) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000.

    Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

    Pegawai Pendakwa Mohd Sharif Sabran daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor memohon hukuman setimpal kerana lembu berkenaan mempunyai penyakit kuku dan mulut (FMD) yang boleh merebak kepada ternakan lain manakala Rosmadie yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan perlu menanggung isteri serta dua anak.

  • Ejen hartanah rugi RM7 juta diperdaya ‘pegawai KKM’

    Ejen hartanah rugi RM7 juta diperdaya ‘pegawai KKM’

    SEORANG ejen hartanah wanita mengalami kerugian lebih RM7 juta selepas diperdaya sindiket Macau Scam menggunakan modus operandi terkini dengan menyamar sebagai Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 18 Mei lepas.

    Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata wanita tempatan berusia 66 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan mangsa mempunyai 52 dos vaksin Sinovac dimohon atas nama mangsa secara tidak sah dan akan diambil tindakan oleh KKM.

    Beliau berkata panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada polis yang memberitahu mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan terdapat waran tangkap atas namanya.

    “Percaya dengan perkara itu, mangsa diminta untuk membuka tujuh akaun bank tempatan yang baharu serta perlu serahkan kesemua maklumat akaun bank tersebut kepada suspek.

    “Mangsa seterusnya diarahkan untuk membuat transaksi pemindahan wang simpanan peribadi berjumlah lebih RM7 juta ke dalam tujuh akaun baharu dibuatnya,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Amihizam berkata wanita itu menyedari telah diperdaya selepas membuat semakan dengan Bank Negara dan dimaklumkan terdapat transaksi pengeluaran tanpa pengetahuan mangsa daripada ketujuh-tujuh akaun bank yang baharu dibuatnya.

    Beliau berkata mangsa yang tidak puas hati dan rasa tertipu telah membuat laporan polis semalam (5 Dis) dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BERNAMA

  • Dua bekas pegawai kanan Pos Malaysia didakwa terima rasuah

    Dua bekas pegawai kanan Pos Malaysia didakwa terima rasuah

    DUA bekas pegawai kanan Pos Malaysia Bhd masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini atas lima pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM26,000 bagi membantu mempercepatkan bayaran kepada sebuah syarikat, dua tahun lepas.

    Bekas Ketua Pengurusan Kontrak dan Armada, Abdul Hadi Aziz Wong dan bekas Penolong Pengurus Operasi, Ruslin Sapari membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

    Abdul Hadi, 48, dan Ruslin, 54, yang bertugas di Bahagian Pengurusan Kenderaan Pos Malaysia, masing-masing didakwa dengan tiga dan dua pertuduhan secara rasuah menerima suapan untuk diri mereka iaitu wang berjumlah RM16,000 serta RM10,000 melalui pindahan dalam talian ke akaun bank milik kedua-dua lelaki itu daripada syarikat OnxOn Logistik Sdn Bhd sebagai upah melakukan perbuatan tersebut.

    Suapan itu bagi membantu mempercepatkan bayaran Pos Malaysia kepada syarikat OnxOn Logistik bagi kerja-kerja ‘Outsourcing Linehaul’ dan ‘Shuttle Services’ di Sabah dan Sarawak.

    Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di dua cawangan bank iaitu di USJ Subang Jaya dan Ara Damansara dekat Shah Alam antara 11 Jun dan 23 Julai 2020.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta sama.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM8,000 kepada Abdul Hadi dan RM5,000 bagi Ruslan bersama seorang penjamin selain syarat tambahan kedua-dua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

    Bagaimanapun, peguam Irzan Iswatt Mohd Noor mewakili Abdul Hadi dan peguam Najiah Zaimah Aris mewakili Ruslin masing-masing memohon jaminan RM5,000 dengan alasan anak-anak guam mereka adalah penanggung utama keluarga selain memberi kerjasama baik dengan pihak SPRM sepanjang siasatan kes-kes tersebut.

    Rozilah menetapkan jaminan RM7,000 kepada Abdul Hadi dan Ruslan sebanyak RM5,000 serta seorang penjamin selain membenarkan syarat tambahan yang diminta pihak pendakwaan.

    Mahkamah kemudian menetapkan13 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes. – Bernama

  • Tuan Ibrahim ketua pembangkang DUN Pahang

    Tuan Ibrahim ketua pembangkang DUN Pahang

    PERIKATAN Nasional (PN) memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai ketua pembangkang mewakili gabungan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

    Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata beliau akan memaklumkan pemilihan Timbalan Presiden PAS itu kepada Yang Dipertua DUN Pahang. 

    “…. seterusnya kami mencadangkan jawatan Ketua Pembangkang di DUN ini diberikan fungsi dan status yang rasmi sebagaimana di sesetengah DUN lain dan mengikut contoh di Dewan Rakyat,” katanya pada sidang media di sini hari ini. 

    Selain itu, Saifuddin juga berkata PN turut bersetuju untuk menamakan ADUN Lepar Mohd Yazid Mohd Yunus sebagai Ketua Whip di DUN Pahang. 

    Pada PRU15, Tuan Ibrahim memenangi kerusi DUN Cheka dengan majoriti 1,223 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Ho Fong Mee yang mendapat 4,411 undi, Rashid Mohamad (Pakatan Harapan) memperoleh 2,255 undi dan calon pejuang Aishaton Abu Bakar hilang deposit selepas hanya mendapat 81 undi.

    Selain DUN Cheka, Tuan Ibrahim juga menang di Parlimen Kubang Kerian, Kelantan. – BERNAMA

  • Terengganu terbuka bincang adakan PRN serentak dengan negeri lain

    Terengganu terbuka bincang adakan PRN serentak dengan negeri lain

    KERAJAAN Terengganu terbuka untuk mengadakan perbincangan bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dijalankan serentak dengan negeri-negeri lain, agar dapat menjimatkan kos pelaksanaannya, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Beliau berkata setakat ini masih belum ada perbincangan rasmi dijalankan antara enam negeri terlibat termasuk Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, selain hanya perbincangan secara kasual (bersahaja).

    “Perbincangan rasmi kita akan cuba cari ruang dan waktu untuk samakan (tarikh) pembubaran itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) peringkat negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

    Pada masa ini Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan ditabir kerajaan Pakatan Harapan (PH) manakala Kedah, Terengganu dan Kelantan diterajui PAS.

    Enam negeri tersebut tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing untuk dijalankan secara serentak dengan peringkat Parlimen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pada 19 November lepas.

    Ditanya mengenai tarikh yang dicadangkan untuk pembubaran DUN Terengganu, Ahmad Samsuri berkata perkara tersebut masih belum diputuskan dan akan dimaklumkan apabila tiba masa dan waktu yang sesuai.

    “Belum tahu lagi (pembubaran DUN)… sebelum berakhir tempoh kita akan bubar,” katanya. – BERNAMA

  • Najib gagal ketepikan injunksi Mareva bagi kes saman SRC

    Najib gagal ketepikan injunksi Mareva bagi kes saman SRC

    DATUK Seri Najib Tun Razak gagal mengetepikan injunksi Mareva yang diperoleh SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya untuk menghalang beliau daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya berjumlah RM42 juta.

    Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk P. Ravinthran dan Datuk Seri Mariana Yahya yang menolak rayuan Najib hari ini serta memerintahkan bekas perdana menteri itu membayar kos RM15,000.

    Yaacob, yang menyampaikan keputusan itu berkata Mahkamah Rayuan tidak perlu campur tangan kerana Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi tidak silap dalam memberikan injunksi Mareva tersebut.

    Beliau berkata Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Arief Emran Arifin telah mempertimbangkan undang-undang dan menganalisis bukti yang terdapat dalam afidavit syarikat sebelum membenarkan injunksi Mareva itu.

    Hakim itu kemudiannya mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan injunksi Mareva kepada SRC International dan Gandingan Mentari Sdn Bhd untuk menghalang Najib daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya berjumlah RM42 juta.

    Injunksi Mareva merupakan perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

    Pada 24 Mac lepas, mahkamah memberikan injunksi Mareva kepada syarikat-syarikat itu dan mengarahkan Najib supaya tidak memindahkan, melupuskan, berurusan atau mengurangkan nilai mana-mana aset mereka di dalam dan di luar Malaysia bernilai sehingga RM42 juta, sementara menunggu penyelesaian tuntutan mahkamah mereka yang telah mereka failkan terhadapnya.

    Bekas Ahli Parlimen Pekan itu hanya layak mengeluarkan RM100,000 sebulan untuk perbelanjaan sara hidup dan bayaran yuran guaman.

    Ini mendorong Najib memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

    SRC International dan Gandingan Mentari memfailkan saman terhadap Najib tahun lepas, mendakwa beliau telah melakukan pecah amanah, menyalahgunakan kuasanya, mendapat manfaat secara peribadi daripada dana SRC International dan menyalahgunakan dana tersebut. Saman itu masih belum selesai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Najib, 69, kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada Ogos lepas mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

    Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian hari ini, Najib diwakili peguam Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Mohammad Arfan Wan Othman manakala peguam Nagarajah Muttiah dan Clament Tay mewakili syarikat-syarikat tersebut. – BERNAMA

  • Peniaga mengaku tidak bersalah 22 tuduhan menipu

    Peniaga mengaku tidak bersalah 22 tuduhan menipu

    SEORANG peniaga dihadapkan di dua Mahkamah Majistret di Kuantan hari ini terhadap 22 tuduhan penipuan penawaran lot tanah dan tender kenderaan jabatan serta pinjaman wang yang melibatkan kerugian RM211,800, sejak Februari tahun lepas.

    Abdul Kadir Salleh, 64, yang beralamat di Panching Selatan, Kuantan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut.

    Di hadapan Majistret Fatinah Abu Bakar, tertuduh didakwa terhadap 13 pertuduhan menipu tiga lelaki di beberapa lokasi sekitar Jaya Gading di Kuantan, antara 8 Februari 2021 hingga 30 Disember 2021, yang menyebabkan mangsa menyerahkan wang tunai antara RM3,000 hingga RM15,000 kepadanya.

    Wang itu kononnya bagi mendapatkan tawaran lot tanah Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Chengal Lempong, lot tanah di tepi Jalan Pintasan Kuantan di Kampung Pandan, lot tanah di Sungai Lembing, bayaran proses kenderaan lelong jabatan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang serta untuk pinjaman wang yang menggunakan nama seorang kerabat diraja Pahang.

    Abdul Kadir didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan RM76,000 yang ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Anuarul Hakim Abdul Muen bagi semua pertuduhan dikurangkan dengan alasan perniagaannya ‘tidak bagus kebelakangan ini’.

    “Anggaran pendapatan saya sekarang sekitar RM4,000 sebulan. Saya menanggung ibu berusia 80 tahun, isteri dan enam anak. Seorang anak di universiti dan semua belanjanya ditanggung sendiri,” katanya yang turut memaklumkan dirinya menghidap penyakit darah tinggi.

    Fatinah membenarkan Abdul Kadir dibebaskan dengan jaminan RM26,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi tertuduh melantik peguam.

    Sementara itu, di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat, Abdul Kadir didakwa atas sembilan pertuduhan menipu empat mangsa antara 14 Mei 2021 hingga 1 Jun lepas bagi tujuan sama sehingga mereka menyerahkan wang tunai antara RM500 hingga RM5,000 kepadanya.

    Raja Norshuzianna Shakila membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM26,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 6 Januari depan.

  • Bubar DUN: Pas serah kepada MB – Hadi

    Bubar DUN: Pas serah kepada MB – Hadi

    PAS akan menyerahkan kepada menteri besar untuk membuat keputusan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri dikuasai parti berkenaan di Kelantan, Kedah dan Terengganu.

    Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata perkara itu akan diputuskan dalam perbincangan bersama menteri besar-menteri besar berkenaan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing.

    “Tarikh pembubaran DUN akan diserahkan kepada perbincangan dengan menteri besar,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini hari ini.

    Abdul Hadi ditemui selepas selesai memberi keterangan selama hampir dua jam di IPD Sentul susulan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya berhubung ucapan berbaur hasutan sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bulan lepas.

    Pada sidang media kempen Perikatan Nasional (PN) di kawasan Parlimen Padang Serai semalam, Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mencadangkan Kedah, Kelantan dan Terengganu mengadakan PRN selepas PRU15 Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman, selesai.

    Beliau berkata ia adalah masa terbaik untuk ketiga-tiga negeri yang ditadbir PN itu mengadakan PRN susulan sokongan pengundi terhadap gabungan itu pada PRU15, 19 Nov lepas.

    Mengulas mengenai kenyataan Shahidan yang mendakwa usaha sedang dibuat untuk memastikan PN menjadi kerajaan, Abdul Hadi berkata pada masa ini pihaknya sedang melihat kepada perkembangan semasa sejauh mana pentadbiran kerajaan ketika ini.

    “Kita lihat kepada perkembangan semasa dan reaksi rakyat selepas ini. Usaha untuk menjadi kerajaan itu sekurang-kurangnya untuk pilihan raya akan datang,” katanya. – BERNAMA

  • Kes dana 1MDB: Mahkamah dengar hujah pendakwaan bagi penerimaan rakaman audio sebagai bukti

    Kes dana 1MDB: Mahkamah dengar hujah pendakwaan bagi penerimaan rakaman audio sebagai bukti

    PERBICARAAN kes Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi hari ini mendengar hujah pihak pendakwaan berhubung permohonan mengemukakan rakaman audio sebagai bukti, sebelum ditangguhkan kerana peguam tidak sihat.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan itu setelah membenarkan permohonan pihak pembelaan yang memaklumkan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam utama bekas perdana menteri itu tidak sihat.

    Peguam Tania Scivetti memberitahu mahkamah bahawa Muhammad Shafee tidak dapat menghadiri perbicaraan hari ini dan sijil sakit beliau akan dikemukakan kemudian.

    Prosiding hari ini bermula dengan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram mengemukakan hujahnya mengapa pihak pendakwaan perlu dibenarkan memainkan rakaman audio antara Najib dan kerabat diraja Arab Saudi sebagai bukti dalam perbicaraan.

    Sri Ram berhujah bahawa adalah sukar bagi pihak pendakwaan untuk membawa individu yang terlibat dengan rasuah ke muka pengadilan jika mereka perlu mematuhi peraturan yang mengawal Akta Keterangan 1950 (Akta 1950).

    Beliau berkata keperluan pihak pendakwaan untuk membuktikan setiap dokumen mengikut kehendak Akta 1950 boleh menyebabkan ramai penjenayah rasuah bebas.

    Disebabkan itulah kerajaan memperkenalkan Seksyen 41(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta SPRM) 2009 dengan cara pindaan bagi mengelak perkara ini, katanya.

    Seksyen 41(A) Akta SPRM menyatakan bahawa sebarang dokumen atau salinan mana-mana dokumen yang diperoleh SPRM di bawah akta ini boleh diterima sebagai keterangan dalam prosiding di bawah akta ini, walaupun yang bertentangan dalam sebarang undang-undang bertulis lain.

    “Rakaman dan transkrip itu boleh diterima di bawah Seksyen 41A Akta SPRM kerana seksyen itu tidak termasuk kaedah atau cara pembuktian yang ditetapkan oleh peruntukan di bawah Bab 5 Akta 1950,” kata Sri Ram.

    Beliau seterusnya berhujah bahawa definisi dalam Akta 1950 tidak tersedia untuk tujuan semasa kerana definisi undang-undang biasa bagi sesuatu dokumen adalah cukup luas untuk menempatkan rakaman dan transkrip di dalamnya.

    “Pada masa kini, urus niaga berjuta-juta boleh dilakukan secara elektronik dalam sekelip mata. Bab 5 Akta 1950 ialah undang-undang am yang mengawal penerimaan bukti dokumentari manakala Seksyen 41(A) Akta SPRM ialah undang-undang khas.

    “Rakaman dan transkrip itu boleh diterima mengikut Seksyen 41(A) Akta SPRM tanpa mengira sebarang persoalan berkaitan,” katanya.

    Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

    Perbicaraan bersambung esok.

  • Bincang segera isu UEC: Rais

    Bincang segera isu UEC: Rais

    JAWATANKUASA Khas Sosiobudaya, Komunikasi dan Pendidikan Dewan Negara disaran segera mengadakan mesyuarat bagi meneliti isu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang dibangkitkan oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), baru-baru ini.

    Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Senator Aknan Ehtook itu perlu meneliti secara mendalam dan membuat perbandingan percanggahan antara cadangan yang dikemukakan persatuan itu dengan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), yang dahulu dikenali sebagai Akta Pelajaran 1961.

    Isu ini amat perlu diperhalusi secepat mungkin memandangkan banyak kekeliruan berlaku kerana sekiranya isu ini terus dibangkitkan adalah dibimbangi akan membawa kesan negatif kepada gerak kerja nasional pendidikan.

    “Selain itu, kemungkinan ia akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat yang ingin agar isu ini segera dituntaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sabtu lepas, Dong Zong dilaporkan mahu bertemu Menteri Pendidikan baharu bagi memberi cadangan supaya mengiktiraf UEC namun tindakan tersebut telah membangkitkan kemarahan beberapa pihak.

    Berikutan itu, Dong Zong dalam kenyataan selepas itu memaklumkan pihaknya sudi berdialog serta berbincang dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk meningkatkan pemahaman mengenai UEC selain meningkatkan muafakat supaya isu pendidikan dapat didalami secara rasional dan pragmatik.