Author: Bernama

  • Mahkamah tiada kuasa bicarakan saman berkaitan projek HSR – Peguam Cara Negara

    Mahkamah tiada kuasa bicarakan saman berkaitan projek HSR – Peguam Cara Negara

    MAHKAMAH tidak mempunyai kuasa untuk membicarakan saman berhubung keputusan Jemaah Menteri yang membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) kerana ia suatu keputusan dasar awam Kabinet.

    Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata demikian melalui afidavit sokongan dalam permohonan kerajaan dan empat tokoh politik untuk membatalkan saman difailkan Mohd Hatta Sanuri, berhubung pembatalan projek infrastruktur itu membabitkan negara ini dan Singapura.

    Ahmad Terrirudin menerusi affidavit difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 7 April, mendakwa isu itu tidak wajar (bukan dalam bidang kuasa mahkamah) kerana keputusan Kabinet adalah berdasarkan rundingan dengan Singapura serta kajian mengenai kepentingan dan kos ekonomi negara.

    Mohd Hatta, 47, selaku plaintif memfailkan saman itu pada 30 Disember lalu, dengan menamakan dua bekas Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan kerajaan selaku defendan pertama hingga kelima.

    Ahmad Terriudin mendakwa kelima-lima defendan itu menggunakan kuasa mereka dengan betul berhubung keputusan Kabinet yang pada mulanya untuk menangguhkan projek berkenaan dan kemudian membatalkannya.

    “Saya sesungguhnya percaya dan menegaskan tindakan plaintif adalah sangat jelas tidak dapat dipertahankan kerana plaintif tidak tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan tindakan ini dan keputusan defendan adalah keputusan dasar awam yang tidak boleh dibicarakan oleh mana-mana mahkamah.

    “Dengan itu, saya sesungguhnya percaya dan menyatakan tindakan ini mengaibkan, remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah yang mulia ini.

    “Selain itu, plaintif juga tidak mempunyai kepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam perkara itu, malah dia tidak mempunyai hak undang-undang untuk memfailkan tindakan sivil bagi pihak semua rakyat Malaysia yang lain,” dakwa Ahmad Terrirudin.

    Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sepanjang 350 kilometer kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

    Sehubungan itu, Malaysia membayar S$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura untuk kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penggantungannya.

    Projek berkenaan dijangka menyediakan tiga perkhidmatan utama iaitu perjalanan secara terus antara Malaysia dan Singapura dalam tempoh 90 minit, perkhidmatan domestik di Malaysia dan perkhidmatan ulang-alik dari Iskandar Puteri (Johor) sehingga Singapura.

  • Boy Iman, pengurus syarikat akan kemuka representasi gugur pertuduhan

    Boy Iman, pengurus syarikat akan kemuka representasi gugur pertuduhan

    PELAKON dan penerbit Boy Iman serta seorang pengurus syarikat yang didakwa atas pertuduhan menipu seorang wanita berhubung urusan penjualan tapak festival Hooray X Fest Raya, akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan itu.

    Peguam Johan Ariff Salim Khan yang mewakili Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman, 43, dan Nor Azmi Jantan, 49, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan representasi tersebut kepada pihak pendakwaan dalam masa terdekat.

    “Pihak kami baharu sahaja dilantik dan akan memasukkan representasi untuk kedua-dua anak guam kami. Oleh itu, mohon satu tarikh sebutan ditetapkan oleh mahkamah,” katanya ketika sebutan kes di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim, yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Noraisyah Mohamed Zanyuin.

    Sementara itu, peguam Muhamad Izhar Azmi mewakili Norazah Sahud dan Norzana Rapie @ Rafie, masing-masing berusia 51 tahun, yang turut berdepan pertuduhan sama, berkata pihaknya mengemukakan representasi kepada pendakwaan pada 13 Julai lepas berkaitan pertuduhan itu.

    Mahkamah kemudian menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

    Pada 25 April lepas, Boy Iman dan tiga individu terbabit mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu Siti Wardina Basir dengan memperdayakannya dalam urusan penjualan ‘booth’ atau penyewaan tapak Hooray X Fest Raya di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, sehingga menyerahkan RM1,500 di WTC pada 2.34 pagi, 19 April lepas.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

  • Akur keputusan parti jika digugur, DAP mahu muka baru – Loke

    Akur keputusan parti jika digugur, DAP mahu muka baru – Loke

    SETIAUSAHA Agung DAP Anthony Loke berharap penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada parti itu yang tidak tercalon untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri 12 Ogos ini akan menerima keputusan tersebut dan memberi laluan kepada muka baharu.

    Beliau berkata di Pulau Pinang, DAP telah mentadbir kerajaan negeri selama tiga penggal dan bakal memasuki penggal keempat, justeru terdapat keperluan untuk memperkenal muka baharu sebagai sebahagian daripada pelan peralihan parti untuk masa depan.

    “Saya harap sebaik sahaja kami memuktamadkan senarai calon, semua pihak akan menerimanya termasuk penyandang yang tidak tercalon semula untuk bertanding. Memang ada penyandang kerusi DUN yang tidak akan dicalonkan semula.

    “Ini bukan soal mahu menjatuhkan sesiapa sebaliknya kita berhasrat untuk membarisi senarai calon dengan muka baharu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam kutipan dana DAP Pulau Pinang di George Town malam tadi.

    Turut hadir pemimpin veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Setiausaha PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Loke berkata DAP Pulau Pinang dijangka mengemukakan senarai calon parti itu dalam tempoh beberapa hari lagi yang akan dibahas dan diputuskan oleh satu jawatankuasa yang dianggotai lima orang termasuk beliau.

    DUN Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi dan sebelum pembubarannya bulan lepas, DAP menguasai 19 dengan memenangi setiap kerusi yang ditandingi di antara tahun 2013 dan 2018.

    Ditanya mengenai rancangan mereka untuk meraih undi orang Melayu, Loke berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan tumpuan kepada perkara itu dengan mengadakan lawatan kerja ke Kedah dan Pulau Pinang baru-baru ini.

    “Dalam tempoh beberapa minggu akan datang, beliau akan terus meluangkan lebih banyak masa untuk mendekati komuniti orang Melayu. Banyak jaminan yang perlu diberikan iaitu mereka tidak akan rugi apa-apa hanya kerana DAP berada dalam gabungan politik ini.

    “Hasrat dan semangat Kerajaan Perpaduan adalah mentadbir negara ini secara stabil serta aman agar Malaysia dapat dibangunkan dan rakyat hidup sejahtera,” katanya.

  • SPRM Kelantan buka bilik gerakan sepanjang PRN

    SPRM Kelantan buka bilik gerakan sepanjang PRN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan akan membuka bilik gerakan bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.

    Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain berkata, bilik gerakan itu akan beroperasi 24 jam mulai 29 Julai.

    “Pada PRN kali ini, bilik gerakan itu akan beroperasi di Pejabat SPRM Kelantan.

    “Sepanjang masa ada pegawai bertugas, orang ramai boleh menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku pada PRN nanti,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Dialog Cegah Rasuah Rezeki Barokah di Masjid Ismail Petra Tanah Merah di Tanah Merah hari ini.

    Mengulas lanjut, Rosli berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan perbuatan rasuah sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dibubarkan pada 22 Jun lepas.

    “Kita nasihatkan mana-mana individu agar tidak terlibat dengan salah laku rasuah agar PRN berjalan dengan lancar,” katanya.

  • Tiga maut pacuan empat roda hilang kawalan langgar pokok

    Tiga maut pacuan empat roda hilang kawalan langgar pokok

    TIGA individu maut manakala seorang lagi cedera parah apabila kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki disyaki hilang kawalan sebelum melanggar pokok di Jalan Deshon, di Sibu hari ini.

    Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Sibu, Andy Allie berkata, mereka yang meninggal dunia ialah dua lelaki, Tiong Meng Eng, 32, dan Bryan Lau Pick Sing, 27, serta seorang wanita yang belum dikenal pasti identitinya.

    “Seorang mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Camelia Lee Mei Kee, 23, yang berada dalam keadaan separuh sedar dan dihantar ke Hospital Sibu,” katanya ketika dihubungi.

    Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan itu pada 11.34 pagi dan sebuah jentera bersama 11 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah digegaskan ke lokasi kejadian.

    Katanya mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

  • PN Kelantan umum calon 27 Julai

    PN Kelantan umum calon 27 Julai

    PERIKATAN Nasional (PN) Kelantan dijadual mengumumkan senarai penuh 45 calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 27 Julai ini.

    Setiausaha Perhubungan PN Kelantan Wan Roslan Wan Hamat berkata senarai calon untuk PRN Kelantan sudah dimuktamadkan, dengan PAS bertanding di 39 kerusi manakala enam kerusi kepada Bersatu.

    Enam calon Bersatu itu akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas (Parlimen Ketereh), Gual Ipoh (Parlimen Tanah Merah), Paloh serta Nenggiri (Parlimen Gua Musang) dan Air Lanas (Parlimen Jeli).

    Sementara satu lagi DUN belum ditentukan sama ada Kuala Balah atau Bukit Bunga bagi Parlimen Jeli, katanya pada sidang media di Bangunan PAS Kelantan, hari ini.

    Wan Roslan, yang juga Setiausaha PAS Kelantan berkata lokasi pengumuman akan ditentukan dalam masa terdekat, dan 50 peratus calon muka baharu yang akan diketengahkan terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kerjaya.

    “Semua calon yang bertanding akan menggunakan logo PAS dengan tema Kelantan Maju Rakyat Sejahtera seperti Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Bagi calon wanita, kita cuba kekalkan seperti jumlah sedia ada atau lebih sedikit,” katanya.

    Pada PRU15, PAS mempunyai dua wakil rakyat wanita iaitu ADUN Demit Datuk Mumtaz Md Nawi dan ADUN Tanjong Mas Rohani Ibrahim.

  • HTAR siasat kematian kanak-kanak 10 tahun

    HTAR siasat kematian kanak-kanak 10 tahun

    HOSPITAL Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang akan menjalankan siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan, baru-baru ini.

    Pengarahnya Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata pihaknya merujuk kepada video yang tular menerusi aplikasi TikTok berkaitan perkara tersebut.

    Beliau berkata kanak-kanak itu hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR bersama bapanya pada 9 Julai lepas.

    “Keadaan pesakit (kanak-kanak) semasa di HTAR dalam keadaan lemah. Pesakit telah diberikan rawatan yang sewajarnya oleh pakar perubatan kecemasan, namun, pesakit tidak dapat diselamatkan.

    “Punca kematian masih dalam siasatan Jabatan Perubatan Forensik HTAR,” katanya dalam kenyataan.

    Menurut Dr Zulkarnain, pihaknya bersimpati dengan perkara dilalui keluarga Allahyarham dan akan berhubung dengan pihak keluarga untuk perbincangan lebih lanjut mengenai kes itu.

  • Empat lelaki ditahan miliki 1,000 pil Yaba, air ketum

    Empat lelaki ditahan miliki 1,000 pil Yaba, air ketum

    POLIS menahan empat lelaki tempatan berumur antara 25 hingga 32 tahun dan merampas 1,000 biji pil Yaba berserta air ketum di sebuah tempat memproses ayam dekat Felda Chiku 1, Gua Musang, Selasa lalu.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata dalam serbuan pada kira-kira pukul 10.30 malam itu, polis turut menemukan 1,000 biji pil Yaba anggaran berat 100 gram dan lapan bungkus plastik dan sebotol plastik berisi air ketum dengan berat keseluruhan 2.7 liter.

    “Nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM11,100 manakala ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Choon berkata kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu direman tujuh hari bermula 12 Julai lepas.

    Sik berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

  • Presiden FDAM ‘Mat London’ meninggal dunia

    Presiden FDAM ‘Mat London’ meninggal dunia

    PRESIDEN Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di Kuala Lumpur pada kira-kira 5.57 pagi tadi.

    Mengesahkan perkara tersebut, anaknya Salmany Akir Ahmad, 42, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 74 tahun, akibat jangkitan paru-paru selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sejak 16 Jun.

    Beliau berkata jenazah bapanya akan dibawa ke Masjid Al-Mardhiyah Taman Melawati pagi ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, Taman Melawati selepas solat Jumaat.

    Salmany berkata Allahyarham merupakan seorang bapa yang penyayang dan sering memastikan keluarganya berkumpul ketika majlis atau perayaan, meskipun anak-anak duduk berasingan.

    “Saya duduk paling dekat dengan arwah, jadi kalau arwah tiada apa-apa aktiviti kami akan pergi minum bersama. Arwah seorang bapa yang penyayang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Salmany Akir berkata Allahyarham seorang seniman yang sentiasa menjaga kebajikan rakan industri kreatif dan ketika negara berhadapan pandemik COVID-19, beliau berjuang untuk memastikan anak seni terus dibenarkan berkarya.

  • Wisma Putra giat kesan 12 rakyat Malaysia ‘hilang’ di utara India

    Wisma Putra giat kesan 12 rakyat Malaysia ‘hilang’ di utara India

    KEMENTERIAN Luar (Wisma Putra) giat menyelaras usaha mengesan sekumpulan 12 rakyat Malaysia yang tidak dapat dihubungi keluarga masing-masing selepas fenomena hujan lebat melanda wilayah utara India Ahad lalu.

    Wisma Putra dalam kenyataan berkata, usaha mengesan dilaksanakan melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dengan kerjasama pihak berkuasa India.

    Menurutnya, suruhanjaya tinggi dimaklumkan kumpulan itu sedang menyertai ekspedisi pengembaraan di Hampta Pass, Himachal Pradesh.

    “Sebarang perkembangan terkini mengenai status rakyat Malaysia terkesan dalam kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

    Dalam pada itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India akan terus memantau perkembangan di Himachal Pradesh dan menasihatkan rakyat Malaysia memerlukan bantuan konsular untuk menghubungi talian +91 85955 50594 atau e-mel ke [email protected].

    Wisma Putra juga menasihatkan rakyat Malaysia lebih berhati-hati serta sentiasa mengikuti perkembangan cuaca di setiap lokasi dikunjungi.

    Menurut laporan media tempatan, sekurang-kurangnya 31 maut di negeri Himachal Pradesh akibat fenomena hujan lebat, manakala ratusan pelancong terkandas di daerah Lahaul-Spiti dan Mandi.