Author: Bernama

  • Khairy harap Kertas Putih Kesihatan, Dasar GEG diteruskan

    Khairy harap Kertas Putih Kesihatan, Dasar GEG diteruskan

    BEKAS Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berharap pelaksanaan Kertas Putih Kesihatan dan Dasar Generasi Penamat (GEG) menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok, dapat diteruskan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

    Khairy berkata kedua-dua perkara telah dibangkitkan dalam pertemuan sebelum sesi penyerahan Nota Serah Tugas Bekas Menteri Kesihatan kepada Menteri Kesihatan, di Putrajaya, hari ini.

    “Kertas putih ini adalah penting untuk reformasi sistem kesihatan kita untuk jangka masa panjang dan ini bukan hasil kerja saya tetapi hasil kerja semua pakar yang terlibat dalam perbincangan dan juga sesi libat urus yang telah kita buat,” katanya selepas sesi penyerahan Nota Serah Tugas Menteri Kesihatan di Putrajaya, hari ini.

    Beliau berkata Kertas Putih ini penting dalam melaksanakan perubahan terhadap sistem kesihatan awam untuk mengelakkan sumber yang tidak mencukupi bagi menampung beban penyakit di masa hadapan terutama dari segi sumber manusia, infrastruktur, kemudahan dan aspek peruntukan.

  • Tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi FINAS hanya dipendekkan –  Zurainah

    Tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi FINAS hanya dipendekkan – Zurainah

    SENATOR Datuk Seri Zurainah Musa mengesahkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hanya dipendekkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital.

    Zurainah dalam kenyataan hari ini memaklumkan beliau sudah menerima surat berhubung perkara itu daripada Pejabat Menteri Komunikasi dan Digital serta ia selaras dengan kuasa Menteri di bawah Sekyen 4(2) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.

    “Sebagai menteri baharu, perkara ini merupakan prerogatif beliau (Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil) dan saya memahami bahawa sebagai pucuk pimpinan baharu di kementerian, beliau akan mempunyai visi serta cara kerja sendiri yang ingin dibawa dan memerlukan sokongan ahli pasukannya sendiri,” katanya.

    Untuk rekod, tugas Zurainah sebagai Pengerusi Finas dilapor ditamatkan serta-merta pada 8 Dis lepas. Kontrak beliau, yang bermula pada 10 Jun lepas, sepatutnya tamat pada 9 Jun 2024.  

    Beliau turut menjelaskan tindakan Kementerian Komunikasi dan Digital itu tidak ada kaitan dengan tohmahan sesetengah pihak bahawa terdapat penyelewengan dana FINAS.

    Minggu lepas, media tempatan melaporkan dakwaan bekas Ahli Perbadanan FINAS Datuk Seri Eizlan Yusof bahawa tindakan memendekkan tempoh perkhidmatan Zurainah itu ada kaitan dengan isu penyelewengan dana projek Pameran Hantu anjuran Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM).

    Zurainah juga berkata beliau sedia membantu bakal penggantinya untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam industri filem antaranya berkaitan isu kebajikan ahli industri terutama kru filem yang berada di tahap kritikal.

    “Kita perlu memastikan mereka bukan hanya dilindungi oleh skim perlindungan insurans sosial (seperti Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial) malah kita perlu menangani isu gaji yang adil dan setimpal bagi mereka,” katanya.

    Beliau berkata kepimpinan baharu agensi itu juga perlu menekankan keperluan tersebut dalam bajet Kerajaan Perpaduan.

    “Kita perlu juga mengkaji cara untuk mendapatkan institusi-institusi kewangan untuk memahami industri ini serta memperkenal kemudahan pembiayaan yang tidak membebankan bagi memastikan kemampanan industri secara menyeluruh dan supaya ia tidak hanya bergantung kepada geran kerajaan,” katanya.

    Selain itu, Zurainah berkata usaha mempromosi negara ini sebagai destinasi penggambaran filem antarabangsa perlu dipandang serius supaya industri perfileman Malaysia tidak ketinggalan. – BERNAMA

  • PN N.Sembilan sasar menang 19 kerusi DUN

    PN N.Sembilan sasar menang 19 kerusi DUN

    PERIKATAN Nasional (PN) Negeri Sembilan menyasarkan memenangi sekurang-kurangnya 19 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekali gus membolehkan PN membentuk kerajaan negeri.

    Pengerusinya Datuk Eddin Syazlee Shith berkata meskipun bukan perkara mudah, dengan usaha barisan kepimpinan yang komited selain kemenangan di kerusi Parlimen Padang Serai kepada PN baru-baru ini memberi isyarat bahawa perkara itu tidak mustahil untuk dicapai.

    “Kita sasar lebih kurang dua hingga tiga kerusi di setiap Parlimen di negeri ini, ia bukan tanggungjawab mudah tapi dalam tempoh yang ada ini kita gunakan sebaik mungkin untuk perbetulkan keadaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.

    “Insya-Allah, banyak kita belajar daripada PRU15, saya harap kita kekalkan momentum supaya PRN kali ini kita lebih bersedia berdepan parti lawan selain tumpuan kepada pengundi muda yang beri sokongan kepada PN,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Malam Apresiasi Jentera PN di sini malam tadi.

    Beliau berkata peluang PN untuk mendominasi Negeri Sembilan juga besar berdasarkan perkembangan terkini dalam negara serta perancangan teliti dan sistematik jentera parti.

    DUN Negeri Sembilan ketika ini diwakili 20 ahli Pakatan Harapan dan 16 Barisan Nasional daripada keseluruhan 36 kerusi pada PRU14. – BERNAMA

  • Juruteknik penerbangan didenda RM7,000 hantar komunikasi lucah

    Juruteknik penerbangan didenda RM7,000 hantar komunikasi lucah

    PADAH membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah menerusi aplikasi WhatsApp, seorang juruteknik syarikat penerbangan didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini.

    Mohd Redzuan Mohd Radzir, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa secara sedar melakukan perbuatan tersebut terhadap seorang individu dengan niat menyakiti hati orang lain, yang dibaca di sebuah pejabat di Seksyen U8, Bukit Jelutong, Shah Alam, kira-kira 11.30 pagi, 7 Feb 2018.

    Bapa tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

    Mohd Redzuan membayar denda yang diputuskan Hakim Rasyihah Ghazali itu.

    Mengikut fakta kes, pengadu membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas berasa sakit hati kerana komunikasi yang dihantar OKS menunjukkan gambar isteri pengadu dalam keadaan mengaibkan.

    Bertindak daripada aduan tersebut, sepasukan anggota polis dan pegawai MCMC membuat serbuan di beberapa lokasi serta merampas barangan juruteknik itu, antaranya telefon bimbit dan komputer riba, dan menemukan komunikasi lucah berkenaan hasil analisis forensik.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa MCMC Nur Nazhzilah Mohammad Hashim manakala OKS diwakili peguam Swinder Singh Ram Singh.

  • Ahli pernigaan bebas pertuduhan terima wang deposit hampir RM1 juta tanpa lesen sah

    Ahli pernigaan bebas pertuduhan terima wang deposit hampir RM1 juta tanpa lesen sah

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini membebaskan seorang ahli perniagaan daripada pertuduhan menerima wang deposit  hampir RM1 juta tanpa lesen sah daripada seorang pakar perunding kardiologi.

    Hakim Datin Sabariah Othman membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap T. Harikumar, 44.

    Dalam penghakimannya, Sabariah berkata mahkamah berpuas hati bahawa wujud keterangan berdokumen yang jelas menyokong pembelaan iaitu wang tersebut adalah bertujuan untuk mengembangkan perniagaan Harikumar.

    “Pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pertuduhan di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 terhadap tertuduh. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

    Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lim Chooi Yi manakala Harikumar diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran, Datuk C. Vignesh Kumar, Daniel Annamalai dan Yaw Xinying.

    Seramai lima saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan yang berlangsung selama empat hari bermula 18 Ogos lepas.

    Harikumar, yang juga pemberi pinjam wang, didakwa menerima wang deposit berjumlah RM999,500 daripada Dr. Peter Jebaseelan Jesudason tanpa memiliki lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Abdullah, Bangsar di Kuala Lumpur antara 1 Ogos 2018 dan 26 Feb 2019 mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM50 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

  • Permohonan Rosmah cabar pelantikan Sri Ram pada 18 Mei 2023

    Permohonan Rosmah cabar pelantikan Sri Ram pada 18 Mei 2023

    MAHKAMAH Rayuan telah menetapkan 18 Mei tahun depan untuk mendengar rayuan Datin Seri Rosmah Mansor berhubung semakan kehakiman beliau bagi mencabar pelantikan seorang bekas Hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah RM1.25 bilion membabitkan projek hibrid solar yang dihadapinya.

    Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, ketika dihubungi mengesahkan tarikh itu ditetapkan susulan pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mariam Hasanah Othman hari ini.

    Pada 30 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Tan Sri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kesnya.

    Rosmah, 70, memfailkan permohonan itu pada 24 Jun lepas di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

    Beliau memohon satu deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat) bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021, adalah tidak sah.

    Selain itu, Rosmah memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar yang berlangsung sejak 15 November 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah serta batal dan beliau perlu dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    Sebelum ini, Rosmah memohon untuk menggugurkan Sri Ram namun ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar perbicaraan kes rasuah beliau. Rayuannya berhubung perkara itu turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menolak permohonan Rosmah untuk memulakan semakan kehakiman dua hari sebelum Mohamad Zaini memberikan keputusan dalam kes rasuah beliau.

    Pada 1 September lepas, Mohamad Zaini memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

    Rosmah berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion bagi menyalurkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah di kawasan luar bandar Sarawak.

    Beliau telah memfailkan rayuan berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya dan kini bebas dengan jaminan sebanyak RM2 juta sementara menunggu pendengaran kesnya. – Bernama

  • Muat naik video guna senjata api tanpa lesen, calon PRU-15 ditahan

    Muat naik video guna senjata api tanpa lesen, calon PRU-15 ditahan

    POLIS menahan seorang calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membantu siasatan berhubung kes penggunaan senjata api tanpa lesen serta kebenaran, yang videonya dimuat naik di media sosial.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata wanita berusia 28 tahun itu ditahan bersama rakannya, seorang lelaki berumur 41 tahun di Petaling Jaya, Selangor, kira-kira 10.20 malam tadi.

    Beliau berkata tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan 6.53 petang semalam, berhubung kejadian seorang warga tempatan memuat naik klip melakukan latihan menembak tanpa kebenaran di Lapang Sasar Kelab Menembak Selangor di media sosial.

    Katanya video itu dimuat naik oleh wanita itu di dua platform media sosial miliknya iaitu TikTok dan Instagram.

    “Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 19, satu kelopak peluru jenis Glock, 12 butir peluru hidup, kad Persatuan Menembak Selangor dan telefon bimbit bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ku Mashariman berkata kedua-dua individu itu ditahan reman empat hari sehingga 11 Dis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(A), 8(B) dan 41 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – BERNAMA

  • Tuduhan seleweng dana: SPRM minta pihak ada bukti, dokumen, tampil serah bukti

    Tuduhan seleweng dana: SPRM minta pihak ada bukti, dokumen, tampil serah bukti

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan secara terperinci, telus dan profesional daripada semua sudut, berkaitan dakwaan penyelewengan perbelanjaan negara RM600 bilion.

    SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa maklumat, bukti atau dokumen yang berkaitan, diminta untuk tampil ke pejabat SPRM terdekat untuk menyerahkan maklumat itu.

    “Sekiranya perlu, SPRM juga boleh menghantar pegawai untuk mengambil maklumat atau dokumen berkenaan,” menurut kenyataan itu.

    Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19, pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari pada 15 Nov lepas.

    Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu itu.

    Anwar berkata Kementerian Kewangan telah memaklumkan beberapa pelanggaran melibatkan isu berkenaan.

    Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dilapor berkata beliau tidak takut disiasat, susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan itu, ketika beliau mengetuai pentadbiran sebelum ini.

  • Bantahan awal pendakwaan terhadap permohonan Siti Bainun didengar 4 Januari

    Bantahan awal pendakwaan terhadap permohonan Siti Bainun didengar 4 Januari

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 4 Jan untuk mendengar bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan Siti Bainun Ahd Razali supaya dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella yang dihadapinya disemak semula.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor yang mewakili pengasas Rumah Bonda itu memberitahu mahkamah bahawa bantahan awal yang difailkan oleh pendakwaan pada 1 Dis lepas telah diserahkan kepada pembelaan pada 5 Dis.

    Mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan masing-masing dalam tempoh dua minggu.

    Dalam notis usul yang difailkan pada 30 Nov lepas dengan menamakan Pendakwa Raya selaku responden, Siti Bainun memohon untuk menyemak dua pertuduhan tersebut apabila Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi tidak mempertimbangkan isu berkenaan pertuduhan-pertuduhan itu yang didakwa defektif (cacat) dan prejudis ketika memerintahkannya membela diri.

    Siti Bainun selaku pemohon mendakwa, perintah Hakim Mahkamah Sesyen itu untuk memanggilnya membela diri pada 24 Nov lepas adalah batal dan tidak sah kerana gagal menilai kecacatan pertuduhan-pertuduhan di dalam penghakiman yang dibacakan di mahkamah terbuka pada hari berkenaan (24 Nov).

    Terdahulu, Nur’Aminahtul Mardiah memberitahu mahkamah bahawa kehadiran anak guamnya dikecualikan hari ini kerana dia diberi sijil cuti sakit selama 22 hari bermula 28 Nov kerana masalah kesihatan.

    Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

    Mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, perbuatan itu membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias. – Bernama

  • Polis tahan wanita bakar al-Quran

    Polis tahan wanita bakar al-Quran

    POLIS menahan seorang wanita yang disyaki membakar helaian dua naskhah al-Quran di laluan tangga tempat letak kereta sebuah premis di Jalan Ampang, di sini awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata wanita berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu ditahan di lokasi kejadian pada 2 pagi selepas pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada 1.51 pagi.

    “Wanita itu melakukan perbuatan tersebut lebih kurang pukul 1.15 pagi. Motif suspek bertindak sedemikian masih belum jelas.

    “Bagaimanapun, siasatan awal mendapati suspek menghadapi tekanan perasaan dan kesan daripada masalah keluarga,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

    Beliau berkata pemeriksaan air kencing mendapati wanita itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol dan ujian saringan dadah negatif serta tidak mempunyai rekod masalah mental.

    Noor Dellhan berkata suspek kini direman selama empat hari sehingga 11 Dis ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

    “Polis menasihati orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang. Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – BERNAMA