Author: Bernama

  • Rosakkan pagar rumah, dua lelaki didenda RM4,000

    Rosakkan pagar rumah, dua lelaki didenda RM4,000

    DUA lelaki, masing-masing didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di Georgetown hari ini, atas kesalahan melakukan khianat dengan merosakkan pagar sebuah rumah, Julai lalu.

    Majistret Azlan Basri turut memerintah Chua Kean Seng, 57, dan Junazry Abdul Hamid, 44, dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

    Kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan khianat dengan merosakkan harta rumah iaitu pagar rumah pengadu Ong Hsing Li, pada 1 tengah hari di Jalan Pantai Molek, Tanjung Tokong 17 Julai lalu.

    Bagi kesalahan itu, kedua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara setahun hingga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding itu, peguam kedua-dua tertuduh Khairul Fairuz Rahman merayu mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum, kerana tertuduh sudah insaf dengan kesalahan yang mereka lakukan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil. Tertuduh membayar denda berkenaan.

  • 14 ajaran sesat dikenal pasti masih aktif di Selangor

    14 ajaran sesat dikenal pasti masih aktif di Selangor

    MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa memantau ketat 14 ajaran sesat yang dikenal pasti masih aktif di negeri ini.

    Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, antaranya adalah ajaran Millah Abraham@ Ibrahim, Al-Arqam@Rufaqa’, Qadiani@Ahmadiah dan fahaman Syiah.

    Beliau berkata, orang ramai yang curiga atau keliru mengenai sesuatu ajaran, perlu segera merujuk kepada MAIS dan mereka juga boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan JAIS untuk tindakan lanjut.

    “Selain itu, saya nasihatkan kepada sesiapa yang mengetahui atau mendapat makluman mengenai ajaran-ajaran ini dan (ia) dibuat secara rahsia sulit serta… dilaksanakan di tempat yang sukar untuk dihubungi, kebiasaannya ia adalah ajaran sesat,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) 2022 di Auditorium Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, hari ini.

    Abdul Aziz berkata, orang ramai juga boleh merujuk kepada 97 PIBK yang berdaftar di bawah MAIS jika mempunyai kesangsian tentang mana-mana ajaran.

    Semalam, media melaporkan kumpulan ajaran sesat Millah Abraham yang dikesan kewujudannya beberapa tahun lepas dipercayai kembali aktif, susulan beberapa pengikut termasuk seorang selebriti lelaki mendedahkan pernah terjebak dengan kumpulan berkenaan.

  • Banjir: 6 hospital di Kelantan, Terengganu terjejas

    Banjir: 6 hospital di Kelantan, Terengganu terjejas

    DUA hospital kerajaan di Kelantan dan empat di Terengganu terjejas akibat banjir yang melanda kedua-dua negeri berkenaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

    Fasiliti kesihatan berkenaan ialah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Hospital Tengku Anis (HTA) di Kelantan, manakala Hospital Kemaman, Hospital Besut, Hospital Setiu dan Hospital Hulu Terengganu di Terengganu.

    Hisham dalam kenyataan hari ini mengenai situasi banjir berkata perkhidmatan di HRPZ II masih beroperasi seperti biasa walaupun bangunan hospital dimasuki air.

    Beliau berkata, perkhidmatan makmal dan perkhidmatan pengimejan dan diagnostik di HTA pula diberhentikan sementara waktu.

    “Penutupan bekalan kuasa dalaman dilakukan bagi melindungi peralatan daripada kerosakan akibat litar pintas,” katanya yang menambah sebarang keperluan perkhidmatan tersebut akan dirujuk ke hospital berdekatan iaitu HRPZ II dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

    Katanya, seramai 19 pesakit di HTA dipindahkan ke HRPZ II dan HUSM kerana dikhuatiri paras air banjir meningkat pada bila-bila masa dan pemindahan itu diuruskan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Kelantan.

    Mengenai situasi hospital yang terjejas di Terengganu pula, Hisham berkata peningkatan paras air akibat banjir telah menyebabkan limpahan air ke dalam ruang Jabatan Kecemasan dan Dewan Bersalin di Hospital Kemaman pada malam 18 Dis, namun telah surut keesokan paginya.

    Beliau berkata, peningkatan paras air mendadak di kawasan berhampiran Hospital Besut, Hospital Setiu, dan Hospital Hulu Terengganu pula telah menyebabkan laluan ke hospital dan kawasan sekitar terputus dan hanya dapat dilalui menggunakan kenderaan air atau udara.

    “Bagaimanapun, hospital-hospital ini telah bersedia untuk menghadapi bencana banjir dengan keperluan bekalan perubatan, makanan, dan pakai buang yang mencukupi,” katanya.

    Tambahnya, sebanyak 32 fasiliti kesihatan terjejas banjir di Kelantan iaitu 22 klinik desa dan 10 klinik kesihatan.

    Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh fasiliti kesihatan masih beroperasi, 22 pindah operasi ke fasiliti kesihatan alternatif dan tiga tidak beroperasi.

    Beliau berkata sebanyak 40 fasiliti kesihatan terjejas banjir di Terengganu iaitu 27 klinik desa, lima klinik kesihatan, empat klinik pergigian, tiga Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), dan satu Unit Vektor di Jabatan Kesihatan Negeri.

    Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 19 fasiliti kesihatan masih beroperasi, enam pindah operasi ke fasiliti kesihatan alternatif, dan 15 tidak beroperasi.

    Sementara itu, Hisham berkata Kementerian Kesihatan mengesan lebih 500 kes penyakit berjangkit dalam kalangan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi tempoh 7 Nov sehingga semalam (19 Dis).

    Ia meliputi 301 kes jangkitan saluran pernafasan akut, penyakit kulit (260 kes), Acute Gastroenteritis (14), konjunktivitis (11), dan satu kes cacar air.

    “Tiada kes tifoid, kolera, leptospirosis, dan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta denggi dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir,” kata beliau dan hanya satu kes Covid-19 dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir di Terengganu bagi tempoh 11 Dis hingga 19 Dis, dan individu itu juga telah tamat isolasi pada 18 Dis.

    Setakat 12 tengah hari ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melaporkan seramai 65,139 orang menjadi mangsa banjir di 20 daerah di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

    Terengganu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 38,806 orang, diikuti Kelantan (25,353), Pahang (873), Perak (54) dan Johor melibatkan 53 mangsa.

  • PM Anwar dijangka bentang Bajet Mini 2023 di Parlimen hari ini

    PM Anwar dijangka bentang Bajet Mini 2023 di Parlimen hari ini

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang sejumlah RM107,718,676,650 di Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan peruntukan itu di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Jan 2023.

    Akta berkenaan akan membenarkan perbelanjaaan dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi sebahagian tahun 2023 antaranya termasuk bagi tujuan pembayaran emolumen penjawat awam.

    Ia susulan Rang Undang-Undang Perbekalan bagi tahun 2023 (Bajet 2023) tidak akan diluluskan Parlimen sebelum 1 Jan 2023, maka peruntukan perlu dikeluarkan untuk perbelanjaan dalam tahun 2023 bagi tempoh dari 1 Jan sehingga tarikh Rang Undang-Undang Perbekalan bagi 2023 menjadi undang-undang dan mula berkuat kuasa.

    Sebelum ini Bajet 2023 yang disediakan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sempat dibahas dan diluluskan, sebelum terbubarnya Parlimen pada 10 Okt lepas.

    Dalam pada itu, Anwar akan turut mencadangkan sejumlah RM55,959,213,200 dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi 2023 untuk perbelanjaan segera, sementara menunggu Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tahun 2023 diluluskan.

    Perdana Menteri turut mencadangkan sejumlah RM31,834 juta baki wang terimaan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) serta RM3,211 juta daripada Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) bagi tahun 2022 dipindahkan ke dalam Kumpulan Wang Pembangunan.

    Beliau turut dijadual mencadangkan sejumlah RM16,200 juta baki wang MGII bagi 2022 dipindahkan ke Kumpulan Wang COVID-19 di bawah seksyen 3(1) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 dan Seksyen 4(2) Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020.

  • Tanah runtuh: Lebih 80 peratus kawasan runtuhan digali, diperiksa-Bomba

    Tanah runtuh: Lebih 80 peratus kawasan runtuhan digali, diperiksa-Bomba

    LEBIH 80 peratus kawasan runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di Hulu Selangor telah diperiksa anggota penyelamat setakat ini bagi mencari baki sembilan lagi mangsa yang masih hilang.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis berkata faktor tanah yang lembut dan cuaca hujan yang menyumbang kepada takungan air di bawah tanah menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keempat.

    Beliau berkata walaupun tinggal kira-kira hanya 20 peratus kawasan pencarian, keselamatan anggota penyelamat juga perlu diambil kira.

    “Tanah di sini sememangnya lembut dan apabila ditambah dengan air hujan, ia menyebabkan struktur tanih menjadi lembap dan lemah, susah nak bergerak dalam keadaan macam ini,” katanya kepada Bernama.

    Setakat ini, seramai 135 anggota penyelamat ditempatkan di lapangan dengan kerjasama pelbagai agensi untuk operasi SAR.

    Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan itu setakat ini menyaksikan 61 selamat, 24 nyawa terkorban dan sembilan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 orang.

    Norazam berkata operasi SAR telah dibahagikan kepada tiga sektor iaitu sektor A (Hill View), sektor B (Farm View) dan sektor C (River View) melibatkan kerjasama lima agensi utama kerajaan yang berganding bahu menghadapi bencana itu selain terdapat juga beberapa agensi sokongan lain.

    “Sejak hari pertama SAR lagi, kita telah menggunakan jentera pengorek yang amat memudahkan kerja kami kerana ia mampu digunakan berterusan serta dapat mengurangkan tenaga manusia untuk kerja mengorek tanah.

    “Jika diikutkan, anggota penyelamat sememangnya telah melakukan pengesanan dan pencarian mangsa mengikut kawasan runtuhan iaitu dari atas runtuhan sehinggalah ke kawasan bawah,” katanya. – Bernama

  • Persatuan Pembina minta KPDN siasat punca kenaikan harga konkrit,simen

    Persatuan Pembina minta KPDN siasat punca kenaikan harga konkrit,simen

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diminta menyiasat punca kenaikan harga konktrit dan simen yang mendadak sejak November 2020.

    Persatuan Pembina Johor, Persatuan Pembina Melaka, Persatuan Kontraktor Perak dan Persatuan Pembina Pulau Pinang dalam satu kenyataan bersama berharap agar isu itu mendapat perhatian KPDN dan diselesaikan dengan segera.

    “Kami juga ingin memanjangkan rayuan kepada kementerian untuk membuat semakan, sama ada terdapat mana-mana pihak yang mungkin telah melanggar Akta Persaingan yang melarang perjanjian antipersaingan dan penyalahgunaan kedudukan dominan dalam pasaran semasa pelaksanaan kenaikan harga ini,” katanya.

    Menurut kenyataan itu, kenaikan sekali lagi harga konkrit dan simen sebanyak 15 peratus pada bulan lepas setelah ia meningkat sebanyak 15 peratus pada Mac, bakal menjejaskan seluruh industri pembinaan dan meletakkanya dalam keadaan tertekan.

    “Bagaimanapun, kami berharap semua pihak dalam industri pembinaan dapat meneruskan persekitaran perniagaan yang sememangnya sukar ketika ini dengan cara yang lebih mampan,” katanya.

  • Rus’sele Eizan angkat sumpah Speaker DUN Perlis baharu

    Rus’sele Eizan angkat sumpah Speaker DUN Perlis baharu

    TIMBALAN Pesuruhjaya Pas Perlis Rus’sele Eizan mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang baharu berkuat kuasa hari ini pada Persidangan Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15.

    Usul melantik Rus’sele dikemukakan Menteri Besar Mohd Shukri Ramli dan disokong oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Belia dan Sukan, Pembangunan Sumber Manusia, Penerangan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Muhammad Azmir Azizan.

    Seramai 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis turut mengangkat sumpah pada persidangan hari ini iaitu ADUN Titi Tinggi Izizam Ibrahim (Bersatu), Haziq Asyraf Dun (Pas-Beseri), Saad Seman (Pas-Chuping), Wan Badariah Wan Saad (Pas-Mata Ayer), Muhammad Azmir Azizan (Pas-Santan), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong).

    Datin Marzita Mansor (Bersatu-Sena), Gan Ay Ling (PKR-Indera Kayangan), Abu Bakar Hamzah (Bersatu-Kuala Perlis), Asrul Aimran Abd Jalil (PAS-Kayang), Megat Hashirat Hassan (Bersatu-Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak(Bersatu-Tambung Tulang), Mohd Ridzuan Hashim (Pas-Guar Sanji), Razali Saad (Pas-Simpang Empat) dan Mohd Shukri Ramli (Pas-Simpang Empat).

    Rus’sele, 65, berkata beliau berharap semua ADUN dapat memberikan pandangan bernas dan hujah yang berintergeriti sepanjang persidangan DUN selama empat hari bermula hari ini.

    “Saya akan menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin atas kepercayaan yang telah diberikan bagi mengendali persidangan dewan.

    “Diharapkan semua exco, ADUN dan ketua jabatan dapat bersama membangunkan negeri ini tanpa sebarang perbezaan pendapat demi merealisasikan harapan rakyat khususnya,” katanya.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Perikatan Nasional (PN) memenangi 14 kerusi DUN dan satu sahaja kerusi Indera Kayangan dimenangi oleh PKR.

  • Pahang negeri terbaharu dilanda banjir, Terengganu dan Kelantan rekod mangsa teramai

    Pahang negeri terbaharu dilanda banjir, Terengganu dan Kelantan rekod mangsa teramai

    PAHANG menjadi negeri terbaharu dilanda banjir menjadikan lima negeri kini terjejas banjir selepas Terengganu, Perak, Kelantan dan Johor, setakat pagi ini.

    Terengganu dan Kelantan merekodkan peningkatan jumlah mangsa banjir teramai pagi ini, berbanding malam tadi manakala jumlah mangsa di Johor dan Perak kekal.

    Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) melaporkan seramai 40 mangsa banjir daripada 13 keluarga berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Pia, Raub pada pagi ini.

    Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan Sungai Keratong di Rompin melebihi paras bahaya manakala Sungai Lipis di Batu Malim, Raub dan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran direkodkan pada paras amaran.

    Jabatan Meterologi meramalkan kebanyakan daerah di Pahang termasuk Raub akan mengalami hujan pada pagi dan petang ini.

    Di TERENGGANU, situasi banjir semakin buruk apabila jumlah mangsa terlibat meningkat dengan mendadak kepada 11,415 orang daripada 3,326 keluarga, berbanding 3,785 orang daripada 1,068 keluarga malam tadi.

    Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, setakat ini sebanyak 174 PPS telah dibuka di tujuh daerah di negeri ini iaitu di Besut (65 PPS); Hulu Terengganu (45 PPS); Setiu (38 PPS); Kemaman (12 PPS); Dungun (11 PPS); Marang (dua PPS); dan Kuala Terengganu (satu PPS).

    Setakat ini, Hulu Terengganu merupakan daerah yang paling terjejas dengan merekodkan 3,998 mangsa daripada 1,276 keluarga; Besut 3,765 mangsa (1,040 keluarga); Setiu 2,157 mangsa (632 keluarga); Kemaman 1,008 mangsa (277 keluarga); Dungun 355 mangsa (84 keluarga); Marang 119 mangsa (14 keluarga); manakala Kuala Terengganu 13 mangsa (tiga keluarga).

    Di KELANTAN, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 8,645 orang daripada 2,586 keluarga pagi ini, berbanding 5,642 orang daripada 1,679 keluarga malam tadi melibatkan sebanyak 80 PPS dibuka di sembilan jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

    Berdasarkan laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my/, enam sungai utama melepasi paras bahaya termasuk Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dengan bacaan 38.29 meter (m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (24.59 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.61 m).

    Di JOHOR, JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir di daerah Segamat kekal 75 orang setakat 8 pagi ini dengan kesemua mangsa yang terdiri daripada 21 keluarga itu masih ditempatkan di tiga PPS yang beroperasi, setakat ini.

    Seramai 34 orang ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak dan 27 orang masih berada di Balai Raya Kampung Kuala Paya, manakala di Dewan Komuniti Kampung Tasek menempatkan 14 mangsa.

    “Kesemua mangsa adalah penduduk dari Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 dan Kampung Kuala Paya,” katanya.

    Menurut JPBN paras air di tiga lembangan sungai di negeri ini, berada di paras amaran iaitu Sungai Muar, Buluh Kasap di Segamat menunjukkan bacaan 8.87 m, Sungai Lenik, Ladang Chaah di Segamat (5.76 m) dan Sungai Endau, Kampung Labong di Mersing (1.66 m).

    Di PERAK pula, mangsa banjir kekal 49 orang daripada 16 keluarga melibatkan dua PPS iaitu di Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) Batu 4, Teluk Intan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat, Selekoh.

  • Undi percaya, pelantikan Speaker tumpuan hari pertama

    Undi percaya, pelantikan Speaker tumpuan hari pertama

    PEMBENTANGAN usul undi percaya dan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu antara tumpuan hari pertama persidangan Parlimen bagi Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Pembentangan usul undi percaya bagi keabsahan pelantikan Anwar yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November sebagai Perdana Menteri ke-10, terkandung pada nombor lapan Aturan Urusan Mesyuarat.

    Ia bertujuan membuktikan beliau mendapat sokongan Ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.

    Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 berlangsung dua hari bermula hari ini, juga bakal menyaksikan ahli-ahli Dewan Rakyat yang menang pada PRU-15 mengangkat sumpah selain pemilihan Timbalan-Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Timbalan-Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat terkandung pada urutan nombor dua dan lima.

    Pada 2 Disember, media melaporkan Tan Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan akan mengosongkan kedudukannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang.

    Menurut laporan media, Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul disebut-sebut menjadi pilihan Pakatan Harapan (PH) menggantikan Azhar, manakala Perikatan Nasional (PN) mencalonkan bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad bagi jawatan itu.

    Selain itu, Ahli Parlimen Lanang daripada DAP Alice Lau dan Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Md Nor daripada Barisan Nasional (BN) dilapor dicalonkan bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat,

    Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin dicalonkan PN untuk jawatan sama.

    Turut tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini adalah pembentangan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.

    Anwar pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet pertama 5 Disember lepas berkata, persidangan Parlimen pertama itu juga akan membentang dan meluluskan peruntukan khas atau bajet mini bagi tujuan membayar emolumen penjawat awam bagi Januari.

  • Pegawai bomba hiba keluarkan mayat dua beranak berpelukan

    Pegawai bomba hiba keluarkan mayat dua beranak berpelukan

    MENGELUARKAN mayat ibu dan anak berusia dalam lingkungan tiga tahun di bawah timbunan lumpur dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali cukup meruntun hati seorang pegawai bomba.

    Naluri Shahari Shamsuddin, 47, sebagai bapa tersentuh saat melihat jasad dua beranak yang berpelukan itu, lantas teringat anaknya dan bagaimana jika keluarga berdepan peristiwa menyayat hati seperti itu.

    “Ketika proses hendak mengeluarkan mayat mereka, saya terpaksa menahan perasaan sedih.

    “Sebagai anggota penyelamat, saya perlu mengawal emosi namun sebagai manusia biasa, perasaan hiba itu terlalu sukar untuk dibendung,” katanya lapor Bernama.

    Menceritakan kembali detik penemuan itu, Shahari berkata beliau tiba di lokasi kejadian pada 10 pagi dan ditugaskan bersama 30 lagi rakan sepasukan untuk menjalankan misi mencari mayat mangsa di zon merah.

    Kongsinya, lumpur tebal menyukarkan pergerakan dan pergerakan tanah juga masih berlaku di lokasi itu berikutan terdapat laluan air bawah tanah.

    Shahari berkata kerja-kerja menggali terpaksa dilakukan secara berhati-hati untuk mengelak daripada peralatan yang digunakan menjejas tubuh mayat di bawah tanah.

    Katanya tidak lama selepas menggali, mayat ke-17 dan 18 itu ditemukan di tapak perkhemahan yang terletak bersebelahan sungai pada jam 4.40 petang Jumaat.

    Setakat petang semalam, 24 mangsa disahkan terkorban, manakala 61 orang selamat dan sembilan masih hilang daripada keseluruhan 94 orang yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm.

    Operasi mencari dan menyelamat sembilan mangsa yang belum ditemukan diteruskan hari ini bermula pada 9 pagi selepas ditamatkan pada 9 malam semalam.