Author: Bernama

  • Saman fitnah: Rafizi diarah fail pernyataan pembelaan selewatnya 28 Dis ini

    Saman fitnah: Rafizi diarah fail pernyataan pembelaan selewatnya 28 Dis ini

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menjawab saman fitnah yang difailkan bekas Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man terhadapnya, selewat-lewatnya 28 Dis ini.

    Tuan Ibrahim selaku plaintif memfailkan saman pada 17 Nov lepas terhadap Rafizi berhubung kenyataannya yang didakwa berbaur fitnah mengenai kelulusan beberapa projek termasuk projek tebatan banjir kepada sebuah syarikat.

    Peguam Yusfarizal Yussoff mewakili Tuan Ibrahim berkata mahkamah juga mengarahkan anak guamnya memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan sebelum atau pada 11 Jan tahun depan.

    “Sekiranya terdapat permohonan interlokutori, kedua-dua pihak perlu memfailkannya sebelum pengurusan kes pada 25 Jan 2023,” katanya ketika dihubungi selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Idamasliza Maarof secara dalam talian hari ini.

    Dalam saman itu, Tuan Ibrahim mendakwa Timbalan Presiden PKR itu mengeluarkan kenyataan fitnah pada dua sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya dan kenyataan itu turut disiarkan secara langsung di YouTube defendan (Mohd Rafizi) pada 7 dan 9 Nov lepas.

    Timbalan Presiden PAS itu mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud dalam tempoh kerajaan sementara, terdapat rundingan, perbincangan dan usaha melibatkan plaintif giat dijalankan bagi meluluskan projek bernilai RM2 bilion kepada syarikat Mangkubumi Sdn Bhd secara rundingan terus untuk kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat.

    Sehubungan itu, Tuan Ibrahim memohon satu perintah injunksi bagi menghalang defendan, ejen atau pembantunya menyiarkan dan menerbitkan apa-apa kenyataan serta video serupa secara langsung atau tidak langsung selain menuntut ganti rugi am, teladan dan keterlaluan.

  • Rumahku, Rakitku milik Pokwe berjaya apung

    Rumahku, Rakitku milik Pokwe berjaya apung

    DENGAN hanya berbekalkan 69 tong plastik dan 54 keping papan fascia, ia menjadi sebuah rumah bersaiz 70 kaki persegi dan setinggi 5.8 meter serta mampu terapung daripada dilanda banjir besar di Kampung Terbak Batu 16, Chukai.

    Pemilik rumah, A Bakar Che Ahmad yang lebih dikenali sebagai Pokwe, 67, berkata, hasil sentuhan kreatif seni bina rumah terapung itu diinspirasikan daripada ‘reban ayam terapung’ yang dibinanya pada 2019. 

    Pokwe yang juga bekas pembuat alatan tajam berkata ini kali pertama kediamannya yang siap dibina pada 16 September lalu dan dinamakan ‘Rumahku, Rakitku’ berjaya diapungkan sekali gus menyelamatkannya sekeluarga daripada banjir.

    “Rumah ini mengambil masa dalam tiga bulan lebih (untuk dibina)… rumah ini mempunyai lima bilik tidur dan dua bilik air, manakala ia juga boleh menampung seberat 15 tan metrik,” katanya kepada Bernama di kediamannya, hari ini.

    Pokwe berkata, rumah itu dibina hasil titik peluh ahli keluarganya yang terdiri daripada tujuh anak serta menantunya.

    Beliau berkata, sebelum rumah itu siap dibina, beliau sering terkesan dengan banjir di kawasan terbabit sejak tujuh tahun lepas.

    “Saya sudah duduk di sini selama tujuh tahun, hanya satu tahun sahaja pada 2016 rumah kami tidak ditenggelami banjir. 

    “Sebelum ini, saya tidak berpindah ke PPS (pusat pemindahan sementara), saya hanya duduk di rumah saya yang lain… ia tidak jauh dari sini,” katanya. 

    Sementara itu, Pokwe hampir tidak percaya bahawa satu hantaran video mengenai rumahnya yang dirakam oleh seorang anaknya menerusi aplikasi TikTok meraih perhatian netizen di media sosial.

    “Saya sangat gembira kerana ada yang memberi komen positif terhadap video tersebut, saya suka berkongsi kepada orang ramai supaya mereka juga turut mendapat idea untuk menyelamatkan rumah mereka. 

    “Saya juga sudi untuk tunjuk bagaimana kaedah pembuatan rumah ini tetapi saya buat ini lebih kurang sahaja. Kalau mereka (orang ramai) ingin buat lagi kukuh… saya boleh ajarkan,” katanya.

  • Kanak-kanak perempuan lemas di taman tema air

    Kanak-kanak perempuan lemas di taman tema air

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun meninggal dunia dipercayai akibat lemas, selepas didapati tidak sedarkan ketika beriadah di taman tema air di Alor Gajah, Melaka, semalam.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah SUPT Arshad Abu berkata mangsa dikenali sebagai Puteri Sofea Hanis Dania Jamaluddin yang datang ke taman tema itu bersama ibunya.

    Beliau berkata pihaknya menerima panggilan daripada Bahagian Kecemasan Hospital Alor Gajah mengenai insiden itu kira-kira 3.15 petang.

    “Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di pinggir kolam berdekatan dengan pulau buatan dengan kedalaman lebih kurang satu meter di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di Alor Gajah, hari ini.

    Katanya petugas taman tema telah memberikan bantuan kecemasan dan membawa mangsa ke hospital.

    Arshad berkata laporan bedah siasat menyatakan punca kematian kanak-kanak itu sebagai ‘consistent with drowning’ iaitu dipercayai akibat lemas.

    “Siasatan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah dan kes disiasat di bawah kematian mengejut,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya dimaklumkan mangsa sedang bercuti bersama ibunya dan rombongan seramai 78 anggota keluarga lain dari Komuniti Kampung Sungai Tuansih Tanjung, Sedeli Kota Tinggi, Johor. 

    Arshad berkata pengerusi jawatankuasa penganjur program itu memaklumkan program itu hanya diadakan sehari dan mereka tiba di lokasi lebih kurang 11 pagi.

  • Sekurang-kurangnya dua maut gempa bumi di California

    Sekurang-kurangnya dua maut gempa bumi di California

    GEMPA bumi berukuran 6.4 pada skala Richter menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang maut dan hampir sedozen lagi cedera di California, Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Anadolu. 

    Gempa bumi itu berlaku berhampiran Ferndale, kira-kira 338 kilometer (km) barat laut San Francisco pada Selasa, merosakkan bangunan dan jalan serta menyebabkan bekalan elektrik lebih 70,000 rumah terjejas.

    “Dua orang meninggal dunia manakala 11 yang lain cedera,” memetik kenyataan Pejabat Perkhidmatan Kecemasan Daerah Humboldt.

    Dalam satu hantaran di Twitter, pejabat daerah itu memaklumkan banyak jalan raya dan rumah di seluruh Humboldt Kaunti mengalami kerosakan dan penduduk diminta siap siaga kemungkinan gempa susulan. 

    Sekurang-kurangnya 80 gegaran susulan dilaporkan berlaku dengan satu gempa bermagnitud 4.6, menurut Pejabat Perkhidmatan Kecemasan California (Cal OES).

    Pegawai negeri menggesa penduduk bersiap sedia berikutan satu lagi gempa bumi diramal berlaku dalam masa terdekat.

  • Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Kelantan terus meningkat

    Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Kelantan terus meningkat

    JUMLAH mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan terus meningkat, Johor dan Perak kekal manakala di Pahang berkurang pagi ini.

    Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 40,456 orang daripada 11,097 keluarga berbanding 39,311 orang daripada 10,937 keluarga malam tadi.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan kesemuanya sedang berlindung di 299 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah.

    Daerah Kemaman merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 9,147 orang yang ditempatkan di 30 PPS, Besut (8,536 orang, 88 PPS), Hulu Terengganu (5,893 orang, 49 PPS) dan Dungun (4,419 orang, 40 PPS).

    Selain itu, di Setiu seramai 4,352 orang ditempatkan di 52 PPS, Kuala Nerus (3,597 orang, 16 PPS), Kuala Terengganu (2,777 orang, 12 PPS) serta Marang (1,735 orang, 12 PPS).

    Berdasarkan laman sesawang https:publicinfobanjir.water.gov.my/, enam sungai di Terengganu masih melepasi paras bahaya termasuk Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman di Kemaman, Sungai Telemong di Kuala Ping di Hulu Terengganu dan Sungai Nerus di Kampung Langkap di Setiu.

    Di KELANTAN, seramai 31,487 orang daripada 9,055 keluarga berada di PPS pagi ini berbanding 31,313 orang daripada 9,005 keluarga malam tadi.

    Sekretariat JPBN memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di 140 PPS di lapan jajahan membabitkan Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Machang, Pasir Puteh, Kota Bharu dan Bachok.

    Sementara itu di JOHOR, jumlah mangsa banjir kekal 48 orang daripada 15 keluarga dengan dua PPS masih dibuka di Segamat.

    Menurut JPBN kesemua mangsa adalah penduduk dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5, Segamat dengan 34 orang daripadanya berada di Balai Raya Kampung Batu Badak manakala 14 lagi di Dewan Komuniti Kampung Tasek. 

    Mengikut data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Muar, Buloh Kasap di Segamat berada pada paras amaran dengan ketinggian 8.63 meter.

    Di PERAK, JPBN melaporkan situasi banjir tidak berubah dengan 54 orang daripada 17 keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang Darat dan PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abd Rahman Talib.

    Sungai Bidor di Changkat Jong, Hilir Perak masih merekodkan melebihi paras bahaya, melebihi 0.5 meter dari paras amaran dengan bacaan 3.27 meter setakat ini.

    Bagaimanapun di PAHANG, Sekretariat JPBN memaklumkan situasi banjir di Kuantan bertambah baik dengan hanya 221 orang daripada 62 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS pagi ini berbanding 484 orang daripada 113 keluarga di lima PPS semalam.

    JPS melaporkan paras air Sungai Keratong, Rompin kekal melepasi tahap bahaya dengan trend menurun.

  • Tanah runtuh: Kesemua mangsa terima rawatan di hospital dibenar pulang – Nadma

    Tanah runtuh: Kesemua mangsa terima rawatan di hospital dibenar pulang – Nadma

    LAPAN mangsa kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Gohtong Jaya, Batang Kali yang mendapatkan rawatan di hospital, telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan mengenai status mangsa yang dirawat memaklumkan, mereka yang berusia antara 13 hingga 44 tahun dan menerima rawatan di Hospital Selayang, Hospital Kuala Kubu Bharu serta Hospital Kuala Lumpur, dibenarkan pulang bermula Jumaat lepas sehingga semalam.

    “Sebarang maklumat terkini mengenai perkembangan mangsa-mangsa bencana akan dimaklumkan dari masa ke masa setelah mendapat pengesahan rasmi daripada agensi yang bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

  • Gajah sesat masuk penjara Kluang

    Gajah sesat masuk penjara Kluang

    JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor hari ini mengesahkan berlaku kejadian seekor gajah dipercayai tersesat dan memasuki kawasan Penjara Kluang Isnin lepas.

    Pengarahnya, Aminuddin Jamin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada pihak Penjara Kluang pada pukul 10 malam dan menggegaskan tiga petugas jabatan itu ke lokasi.

    Beliau berkata, gajah dewasa itu dipercayai tersesat daripada kumpulannya yang dikenali sebagai ‘Grup Tenang’, yang difahamkan kira-kira 15 ekor.

    Menurut Aminuddin, susulan itu, pihaknya menghalau gajah tersebut dengan menggunakan kaedah ‘tembak dan halau’ serta mengiringinya hingga ke kawasan selamat.

    “Kita ambil tindakan dengan menembak ke udara beberapa kali menuju hutan berhampiran iaitu Hutan Gunung Lambak.

    “Seterusnya, pihak Perhilitan akan melakukan pemantauan berterusan dan kawalan di lokasi sehingga keadaan benar-benar selamat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata kejadian gajah memasuki kawasan penjara di negeri ini adalah kali pertama berlaku.

    Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan provokasi terhadap gajah sekiranya bertembung dan berhubung dengan Perhilitan untuk tindakan selanjutnya.

  • 72,332 mangsa banjir ditempatkan di PPS

    72,332 mangsa banjir ditempatkan di PPS

    JUMLAH keseluruhan mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri pagi ini mencatatkan sedikit penurunan kepada 72,332 orang berbanding 72,358 orang malam tadi.

    Bagaimanapun, Kelantan dan Terengganu terus mencatatkan peningkatan bilangan mangsa.

    Berdasarkan laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 8 pagi tadi, sebanyak 443 PPS dibuka di lima negeri untuk menempatkan mangsa banjir.

    Daripada jumlah itu, 40,889 mangsa dari 11,360 keluarga di Terengganu kini ditempatkan di 298 PPS membabitkan 11,360 keluarga.

    Sementara itu di Kelantan, sebanyak 138 PPS kini beroperasi untuk menempatkan 31,120 orang mangsa daripada 8,922 keluarga termasuk warga emas dan warga OKU selain kanak-kanak dan bayi.

    JKM turut melaporkan dua PPS di Perak dan Johor masih beroperasi dengan kurang 60 orang mangsa bagi setiap negeri.

    Di Pahang, menunjukkan tiga PPS masih beroperasi di negeri itu dengan merekodkan 221 mangsa daripada 62 keluarga.

    Dalam perkembangan sama, sepasang suami isteri warga emas merupakan antara 40 mangsa banjir di Dungun, Terengganu yang berjaya diselamatkan anggota bomba dan penyelamat (JBPM) malam tadi.

    Menurut Ketua Bomba dan Penyelamat Dungun, Shahrizal Shamsudin, pasangan berusia sekitar 80an dari Kampung Padang Pulut itu telah dihantar ke PPS Masjid Kampung Padang Pulut.

    “Kami berhadapan detik sukar apabila terpaksa mengangkat bot kami kerana jalannya yang tidak stabil serta ada beberapa kawasan menuju ke rumah mangsa tidak dinaiki air…Alhamdulillah kita dapat keluar ke kawasan selamat,” katanya.

    Tambahnya, semua mangsa berjaya diselamatkan dengan kekuatan 35 anggota bomba yang bertugas serta bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

  • Mayat budak perempuan ditemui di lokasi tanah runtuh

    Mayat budak perempuan ditemui di lokasi tanah runtuh

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya dekat Batang Kali yang memasuki hari kelima semalam, menemukan mayat seorang kanak-kanak perempuan pada 11.15 malam sebelum operasi ditangguhkan pada 12 tengah malam.

    Penemuan mayat kanak-kanak dianggarkan berusia lingkungan lima hingga tujuh tahun itu, menjadikan angka korban tragedi berkenaan kini 25 mangsa.

    Gambar – BOMBA SELANGOR

    Operasi hari ini dipergiatkan dengan anggota pasukan ‘sweeper’ ditingkatkan empat kali ganda kepada 28 orang berbanding hanya tujuh orang, semalam.

    Cuaca baik sejak semalam membantu operasi SAR yang bermula kira-kira 8 pagi tadi, selain Jabatan Kerja Raya melaporkan tiada pergerakan tanah di kawasan pencarian berbanding semalam.

    Terdahulu, anggota penyelamat menemukan selimut, tong dan peralatan perkhemahan ketika pencarian di sektor C (Riverside).

    Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Md Ismail berkata selain sektor C, pihaknya mengulangi pencarian di sektor A (Hill View) dan B (Farm View) bagi mengesan mangsa.

    Anggota penyelamat juga terus bersemangat dan tidak berputus asa dalam menjalankan tugas pencarian, meskipun terdapat tiga pegawai dan anggota yang menerima rawatan selepas kurang sihat dan mengalami kecederaan ringan.

    Malah Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Hafisham Mohd Noor berkata ada antara anggota penyelamat yang enggan keluar dari lokasi pencarian bagi mengesan baki mangsa yang masih hilang, walaupun dibenarkan untuk berehat.

    Komitmen yang ditunjukkan anggota SAR turut mendapat perhatian Istana Selangor, apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini menzahirkan penghargaan kepada mereka.

    Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata polis sudah merakam keterangan 53 individu, bagi membantu siasatan berhubung tragedi berkenaan termasuk pengusaha, dua pekerja tapak perkhemahan selain mangsa yang terselamat dan keluarga mereka. 

    Tragedi tanah runtuh pada 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan itu, setakat ini menyaksikan 61 selamat, 25 nyawa terkorban dan lapan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang terlibat.

    Mengikut data dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), seramai 29 daripada keseluruhan mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh itu adalah kanak-kanak.

  • 15 PPS di Terengganu dinaiki air, 1,641 mangsa dipindahkan

    15 PPS di Terengganu dinaiki air, 1,641 mangsa dipindahkan

    SERAMAI 1,641 mangsa dari 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu terpaksa dipindahkan ke lokasi lain selepas PPS yang menempatkan mereka dinaiki air sejak semalam.

    Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, ia melibatkan dua PPS di Kemaman, Besut dan Hulu Terengganu masing-masing lima PPS, serta tiga PPS di Setiu.

    Beliau berkata, situasi luar jangka itu memberi sedikit kesukaran kepada pihak berkuasa dan agensi penyelamat untuk mengurus serta menjalankan kerja-kerja pemindahan mangsa selepas situasi banjir semakin buruk di negeri ini.

    “Kita harap semua mangsa dapat bersabar kerana proses pemindahan mangsa akan mengambil masa.

    “Kita sedang berusaha melakukan kerja-kerja berkenaan dengan pantas dan selamat,” katanya selepas meninjau keadaan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Mangkuk, dekat Permaisuri, hari ini.

    Menurut Rohaimi, selain masalah kekurangan aset berat, proses pemindahan mangsa di sesetengah kawasan terjejas banjir juga berdepan kekangan disebabkan banyak kawasan baharu yang tidak pernah dinaiki air, turut dilanda banjir kali ini.

    Justeru tumpuan utama diberikan kepada kawasan kritikal yang mempunyai pesakit kronik, ibu mengandung dan warga emas yang perlu pemindahan segera.

    “Banjir kali ini berbeza kerana PPS pun tenggelam. Banyak kawasan yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini tenggelam dek banjir.

    “Kita punya cukup kekuatan dari segi tenaga anggota penyelamat daripada polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), cuma perlu aset besar. Tetapi semalam kita dah dapat bantuan 16 buah lori lima tan daripada pihak pengurusan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Timur untuk atasi masalah ini,” katanya.

    Dalam pada itu beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya mengawasi anak-anak daripada bermain air banjir kerana dikhuatiri disengat binatang berbisa. – Bernama