Author: Bernama

  • Rogol budak perempuan 12 tahun: Mekanik dijel 7 tahun, sebat

    Rogol budak perempuan 12 tahun: Mekanik dijel 7 tahun, sebat

    SEORANG mekanik dihukum penjara tujuh tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, kerana merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

    Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Muhammad Amirul Abdullah, 27, yang juga bapa kepada dua anak, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya. 

    Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap pada 14 Okt lepas.

    Muhammad Amirul mengaku melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di  Flat Puchong Permai di Puchong, dekat sini kira-kira 9.30 malam, 29 Julai tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

    Ketika rayuan, lelaki yang tidak diwakili peguam itu merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia menyesal dengan tindakannya selain merupakan penanggung utama keluarga.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Zatil Hidayah Ali memohon mahkamah mengenakan hukuman berat ke atas tertuduh kerana perbuatan itu dipandang jijik dan hina oleh masyarakat apatah lagi mangsa ialah kanak-kanak.

    “Saya mohon mahkamah mengambil kira hasrat kerajaan untuk melindungi kanak-kanak terutama dari jenayah seksual. Saya percaya hasrat kerajaan ini boleh dizahirkan mahkamah hari ini melalui hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh,” katanya. – BERNAMA

  • 141 pegawai, anggota bomba terjejas banjir seluruh negara

    141 pegawai, anggota bomba terjejas banjir seluruh negara

    SERAMAI 141 pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terjejas dengan banjir di seluruh negara, setakat ini.

    Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata bilangan itu membabitkan mereka yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan kediaman dinaiki air.

    “Kita akan pastikan kebajikan mereka terjaga dan sedikit sumbangan akan diberi bagi meringankan beban mereka,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di Tunjong di sini hari ini.

    Turut hadir Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Kelantan Zainal Madasin.

    Akmal Nasrullah berkata insentif atau bantuan perlu diberikan kepada pegawai dan anggota yang terlibat kerana mereka tetap komited menjalankan tugas walaupun ditimpa musibah.

    “Kita akan tambah anggota sekiranya diperlukan untuk banjir kali ini. Kelantan telah menerima bantuan daripada anggota kawasan berhampiran yang tidak terkesan banjir,” katanya.

    Beliau berkata JBPM turut mengoperasikan dua helikopter di Bachok dekat sini dan Wakaf Tapai, Terengganu bagi menyelamat mangsa banjir.

    “Penyediaan helikopter adalah sebagai bantuan bagi membawa pesakit dari kawasan terkepung ke hospital dan membawa makanan ke kawasan yang tidak dapat dilalui seperti perkampungan Orang Asli,” katanya. – BERNAMA

  • Amaran hujan berterusan di enam negeri hingga Isnin

    Amaran hujan berterusan di enam negeri hingga Isnin

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di enam negeri yang dijangka berlaku sehingga Isnin ini.

    Hujan tahap buruk sepanjang hari ini dijangka berlaku di Terengganu melibatkan kawasan Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman, di Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin) dan Johor (Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

    Sementara hujan berterusan tahap waspada untuk tempoh sama, diramal berlaku di seluruh Kelantan, dan beberapa kawasan di Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu), manakala Pahang (Jerantut dan Maran) dan Johor (Segamat, Batu Pahat dan Pontian).

    Keadaan cuaca sama dijangka berlaku di Sarawak iaitu Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) serta Limbang bermula esok hingga Sabtu ini.

    Di Sabah pula, hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku bermula esok hingga Isnin di kawasan pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Kudat) serta Labuan. – BERNAMA

  • Banjir: Tiada keperluan isytihar darurat iklim ketika ini

    Banjir: Tiada keperluan isytihar darurat iklim ketika ini

    BELUM ada keperluan untuk kerajaan mengisytiharkan darurat iklim ketika ini susulan beberapa negeri terjejas teruk akibat banjir, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Beliau berkata untuk mengisytiharkan darurat iklim, beberapa proses dan penilaian tertentu perlu dilakukan oleh pihak bertanggungjawab bagi keputusan dibuat apabila tiba masanya.

    “Buat masa ini belum ada keperluan isytihar Darurat Iklim kerana keadaan (banjir) masih lagi terkawal kerana untuk berbuat demikian ia ada proses dan penilaian tertentu oleh pihak yang bertanggungjawab.

    “Saya fikir keseluruhan operasi terkawal dan berjalan baik dan laporan telah diberikan secara berkala termasuk semasa mesyuarat jemaah menteri semalam,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di pusat pemindahan sementara (PPS) Alor Pasir, di sini hari ini, selepas menyampaikan bantuan sumbangan kepada mangsa banjir.

    Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.

    Sebelum ini, media melaporkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu mencadangkan pengisytiharan Darurat Iklim dan menggerakkan usaha yang radikal bagi membincangkan langkah-langkah mitigasi segera untuk membendung dan mengurangkan risiko dan impak banjir yang sedang melanda negara terutamanya di negeri Pantai Timur.

    Mengulas lanjut, Saifuddin berkata pihaknya turut memberi tambahan aset udara ke Kelantan dan Terengganu.

    “Aset tambahan udara yang saya minta dari pasukan polis sediakan adalah dua unit di Kelantan dan satu unit di Terengganu.

    “Pada masa sama, kita gesa mangsa terlibat agar beri kerjasama yang baik sekiranya diminta berpindah oleh pihak berkuasa kerana jika melengahkan masa ia boleh mengancan nyawa,” katanya. – BERNAMA

  • Tiga pembantu kesihatan dipenjara sehari, denda terima rasuah urus jenazah

    Tiga pembantu kesihatan dipenjara sehari, denda terima rasuah urus jenazah

    TIGA pembantu perawatan kesihatan di Hospital Kajang dipenjara sehari dan denda masing-masing antara RM3,000 dan RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.

    Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Sharum Hassim, 42, Muhd Azhar Nahar, 45, dan Mohd Nizam Noordin, 42, selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah bagi pertuduhan pilihan.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 kepada Sharum manakala Azhar dan Nizam masing-masing didenda RM5,000.

    Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga lelaki terbabit menjalani hukuman penjara tersebut bermula hari ini dan dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda itu.

    Mengikut pertuduhan pilihan, Sharum, Azhar dan Nizam yang merupakan pembantu perawatan kesihatan di Unit Forensik Hospital Kajang, masing-masing menerima wang berjumlah antara RM300 dan RM600 daripada Nur Azlan Azmi melalui akaun mereka tanpa sebarang balasan daripada Nur Azlan yang diketahui olehnya ada kaitan dengan tugas rasmi tertuduh iaitu bagi kerja-kerja pengurusan jenazah.

    Sharum didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Taman Ria Jaya Sungai Petani, Kedah manakala Azhar dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Kajang, Hulu Langat dan Nizam pula dituduh melakukan kesalahan itu di Bank Islam Cawangan Kajang, Hulu Langat. 

    Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 21 Mei hingga 9 Dis 2020. 

    Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. 

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Aliff Shaharuzaman manakala ketiga-tiga lelaki itu diwakili peguam Mohd Fikah Sanusi. – BERNAMA

  • Empat mayat termasuk dua budak ditemukan bergulung dengan khemah

    Empat mayat termasuk dua budak ditemukan bergulung dengan khemah

    EMPAT mayat mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali, ditemukan dalam keadaan bergulung dengan satu kanvas khemah pada 11.04 pagi.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata keempat-empat mayat itu terdiri daripada satu lelaki dan wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan.

    “Kesemua mayat berkenaan ditemukan dalam satu khemah yang sama di Sektor C pada kedalaman tujuh meter, lengkap berpakaian dan sudah mula mereput.

    “Buat masa ini identiti mereka masih belum dikenal pasti. Jadi, polis tidak dapat mengesahkan sama ada kesemua mayat ini merupakan anggota keluarga atau tidak,” katanya pada sidang media di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK) di sini hari ini.

    Kesemua mayat berkenaan telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

    Sementara itu, Suffian berkata sehingga hari ini, polis menerima tiga laporan orang hilang melibatkan mangsa yang belum ditemukan dan mayat yang belum dikenal pasti.

    Beliau berkata mayat lelaki dewasa yang ditemukan pagi semalam iaitu korban ke-26 tragedi merupakan satu daripada yang tersenarai dalam laporan tersebut namun telah dituntut. 

    Menurut Suffian, berbaki tiga lagi mangsa masih hilang, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan walaupun sudah genap seminggu kejadian itu berlaku dengan memfokuskan di sektor A dan C.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata pasukan mencari menemukan petanda awal keberadaan keempat-empat mayat itu pada 10.43 tadi di sektor berkenaan.

    “Khemah tersebut dikesan pada 10.43 pagi bersama-sama barang peribadi yang lain melalui kerja penggalian menggunakan jengkaut sebelum khidmat anjing pengesan K9 digunakan untuk menjejak mangsa dan berjaya menemukan empat mayat dalam khemah yang sama,” katanya.

    Mengenai skop kawasan pencarian yang memasuki hari ketujuh operasi, Wan Md Razali berkata anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Pasukan Gerakan Am ditugaskan seawal 9 pagi untuk membuat pemeriksaan termasuk di sungai berhampiran bagi mengesan jika ada mangsa yang terkeluar dari kawasan runtuhan.

    Tinjauan Bernama di PKTK mendapati beberapa pengamal media diberi peluang melihat sendiri lokasi kejadian selain mengambil gambar dan video manakala kenderaan pasukan terlibat SAR keluar masuk bagi menghantar anggota untuk bertukar shif penugasan serta menghantar makanan. – BERNAMA

  • Penduduk terjejas banjir di Terengganu, Pahang meningkat

    Penduduk terjejas banjir di Terengganu, Pahang meningkat

    JUMLAH mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dan Pahang terus meningkat, Johor dan Perak kekal manakala di Kelantan semakin berkurangan setakat 8 pagi ini.

    Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir terus meningkat daripada 36,009 orang pada 12 tengah malam tadi kepada 36,231 orang pagi ini.

    Sebanyak 9,739 keluarga masih berlindung di 256 PPS di lapan daerah membabitkan Kemaman, Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

    Penduduk terutama di sekitar daerah Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Kuala Terengganu diminta terus bersiap siaga menghadapi bencana banjir apabila paras air di tiga sungai di Terengganu didapati telah melepasi aras bahaya, manakala lima melebihi aras waspada.

    Menurut Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) tiga sungai yang melepasi aras bahaya terdiri daripada Sungai Dungun di Jambatan Jerangau; Sungai Kemaman di Rumah Pam, Paya Paman dan Sungai Nerus di Kampung Jeram.

    Lima sungai yang telah melebihi tahap amaran ialah Sungai Telemong di Kuala Ping; Sungai Nerus di Kampung Bukit; Sungai Nerus di Kampung Langkap; Sungai Tebak di Jambatan Tebak dan Sungai Terengganu di Muzium Negeri Terengganu.

    Di Kelantan, Sekretariat JPBN menyatakan kesemua mangsa ditempatkan di 119 PPS di sembilan jajahan melibatkan Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Puteh, Jeli, Kota Bharu, Bachok, Tumpat dan Machang terus merekodkan penurunan kepada 30,115 orang pagi ini, berbanding 30,551 orang malam tadi.

    Namun, dua sungai di Kelantan iaitu Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dan Sungai Golok di Kampung Jambu, Tumpat merekodkan bacaan paras bahaya pagi ini iaitu masing-masing 36.78 meter (m) dan 3.83 m.

    Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut merekodkan bacaan paras bahaya ialah Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.33m) dan Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (24.17m).

    Dalam pada itu, Sungai Kelantan di Kuala Krai (23.98m) dan Sungai Pergau di Jambatan Jerimbong, Kuala Balah, Jeli (55.19m) berada pada tahap amaran.

    Tiga sungai iaitu Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli (28.64m), Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, Kota Bharu (3.26m) dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam, Kota Bharu (3.37m) pula merekodkan bacaan pada paras waspada.

    Di Pahang, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi ini meningkat sedikit kepada 35 orang yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular, Kuantan berbanding 30 orang semalam.

    Di Johor, Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 48 orang pagi ini yang masih berlindung di dua PSS di Segamat melibatkan 34 orang di Balai Raya Kampung (Kg) Batu Badak dan 14 orang di Dewan Komuniti Kg Tasek.

    Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan empat sungai di negeri itu berada pada paras waspada iaitu Sungai Muar, Buloh Kasap di Segamat dengan ketinggian 8.49 meter (m); Sungai Sembrong di Empangan Sembrong (10.02m); Sungai Ayer Hitam di Kg Paya Embun (4.77m) dan Sungai Endau, Kg Labong di Mersing (1.12m).

    Sementara itu di Perak, jumlah mangsa banjir pagi ini kekal 26 orang daripada 12 keluarga di Bagan Datuk sejak 8 malam tadi, dengan kesemua mangsa ditempatkan di PPS SK Sungai Tiang Darat.- BERNAMA

  • Bicara kes Shahrir: Najib tidak bersedia, mohon beri keterangan 5 Jan

    Bicara kes Shahrir: Najib tidak bersedia, mohon beri keterangan 5 Jan

    BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak bersedia untuk memberikan keterangan pada perbicaraan kes Tan Sri Shahrir Ab Samad hari ini tanpa kehadiran peguamnya.

    Najib, 69, yang merupakan saksi pendakwaan ke-23 berkata beliau tidak bersedia memberikan keterangan secara lisan tanpa kehadiran peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang bertindak sebagai peguam pemerhati.

    “Saya mohon keterangan saya diberikan pada 5 Jan depan dan pada masa itu peguam saya (Muhammad Shafee) ada kerana adalah penting untuk peguam saya ada bersama saya. Dia (Muhammad Shafee) berada di luar bukan di Kuala Lumpur, jadi dia tidak dapat hadir hari ini,” kata Najib yang hadir memakai sut berwarna biru.

    Najib berkata demikian pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada beliau (Najib) melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi memohon pertimbangan daripada mahkamah kerana Najib tidak dapat memberikan keterangan tanpa kehadiran peguamnya.

    Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Shahrir tidak membantah perkara itu.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian memerintahkan Najib hadir ke mahkamah untuk memberikan keterangannya pada 5 Jan depan.

    Perbicaraan kemudian bersambung dengan saksi pendakwaan ke-22, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Nurzahidah Yacop disoal balas pihak pembelaan.

    Shahrir, 73, didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

    Bekas Pengerusi Felda itu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, pada 25 April 2014, mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Tanah runtuh: Operasi SAR diteruskan kesan tujuh lagi mangsa

    Tanah runtuh: Operasi SAR diteruskan kesan tujuh lagi mangsa

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) tujuh lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di sini pada Jumaat lepas, diteruskan hari ini.

    Operasi yang memasuki hari ketujuh bersambung semula pada kira-kira 8 pagi tadi, selepas ditangguhkan pada pukul 10 malam semalam.

    Setakat ini, tragedi berkenaan meragut 26 nyawa, tujuh mangsa masih hilang manakala 61 terselamat daripada keseluruhan 94 mangsa yang dilaporkan terlibat.

    Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, daripada keseluruhan mangsa terlibat, 29 adalah kanak-kanak dan 65 dewasa. – BERNAMA

  • 31 premis PDRM terjejas akibat banjir di Terengganu, Kelantan

    31 premis PDRM terjejas akibat banjir di Terengganu, Kelantan

    SEBANYAK 31 premis Polis Diraja Malaysia (PDRM) terjejas akibat banjir di Terengganu dan Kelantan, yang merangkumi 13 unit kuarters, lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA), tujuh balai polis dan tiga pondok polis.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, di Kelantan, empat balai yang terjejas adalah Balai Polis Kuala Jambu, Simpangan, Rantau Panjang dan Bakong, manakala pondok polis terlibat ialah Pondok Polis Salor serta Pondok Polis Kubang, dan antara lapan pos PGA yang terjejas adalah Terusan dan Salleh Kerek.

    “Di Terengganu, tiga balai terjejas iaitu di Kuala Jengai, Manik dan Balai Polis Trafik Jenteh serta Pondok Polis Tenang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, sebanyak 13 unit kuarters yang terjejas iaitu di Berek Polis Kuala Jengai dengan lima unit, Berek Pondok Tenang (dua) dan Berek Polis Manir dengan enam unit.

    Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengadakan lawatan ke kawasan yang terjejas banjir di negeri-negeri Pantai Timur.