Author: Bernama

  • Ajal tertimbus dalam perigi baru digali

    Ajal tertimbus dalam perigi baru digali

    SEORANG remaja perempuan maut selepas tertimbus tanah ketika berada di dalam perigi bersebelahan rumahnya di Lanchang, Temerloh yang terletak kira-kira 135 kilometer dari Kuantan, semalam.

    Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada bapa mangsa pada 3.34 petang tadi. 

    Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 11 pagi, lelaki itu telah meminta anaknya berusia 15 tahun untuk masuk ke dalam perigi sedalam kira-kira 3 meter yang baru digali bagi membaiki gelung, namun secara tiba-tiba dinding perigi tersebut telah runtuh dan menimbus mangsa. 

    “Mangsa telah berjaya dibawa keluar daripada perigi tersebut dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan berdekatan untuk pemeriksaan lanjut, bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Mohd Azhar berkata mayat remaja itu kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian. 

    “Siasatan terperinci akan dijalankan dan keterangan saksi yang berkaitan akan diambil bagi melengkapkan siasatan,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. 

    Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya sentiasa peka dan lebih prihatin terhadap keselamatan anak-anak mereka serta menjauhi kawasan berisiko dalam keadaan cuaca yang tidak menentu kini. 

    “Sebarang kemalangan yang disebabkan kecuaian ibu bapa, tindakan boleh diambil mengikut Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. – BERNAMA

  • Pesara rugi lebih RM128,000 diperdaya ‘pegawai mahkamah’

    Pesara rugi lebih RM128,000 diperdaya ‘pegawai mahkamah’

    SEORANG pesara mengalami kerugian sebanyak RM128,037 selepas terpedaya dengan penyamaran oleh ‘pegawai’ dari Mahkamah Pulau Pinang yang mendakwanya mempunyai saman tertunggak.

    Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pada 14 Dis lepas, wanita berusia lingkungan 60-an itu telah menerima panggilan telefon daripada suspek yang memaklumkannya mempunyai saman mahkamah kerana tidak membayar tunggakan Touch N Go sebanyak RM11,800.

    “Mangsa kemudiannya telah disambungkan kepada beberapa individu menyamar sebagai polis yang memberitahu dia mempunyai rekod kes jenayah dan memintanya untuk memindahkan wang bagi mengelakkan akaun dibekukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sejurus itu, mangsa telah membuat pemindahan wang secara berperingkat berjumlah RM128,037 ke dalam sebuah akaun sebelum menyedari wang dalam akaun itu telah berkurangan setelah semakan dibuat.

    Justeru, mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Dalam pada itu, Ramli mengulangi nasihatnya supaya orang ramai sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali dan membuat semakan terperinci terlebih dahulu sebelum bertindak.- BERNAMA

  • Hanya ucapan terima kasih mampu diungkap buat anggota SAR – Bapa mangsa

    Hanya ucapan terima kasih mampu diungkap buat anggota SAR – Bapa mangsa

    HANYA ucapan terima kasih yang mampu diucapkan oleh Tai Seng Fui, 63, apabila empat ahli keluarganya berjaya ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR), walaupun dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

    Sebagai ayah kepada Tai Chang Lin, 35, beliau berkata dirinya masih dalam proses menerima hakikat kehilangan anak lelaki, menantu serta dua cucunya sekelip mata, selepas menjadi mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm yang berlaku pada Jumaat lepas.

    “Terima kasih kepada semua yang membantu termasuk anggota polis yang melancarkan perjalanan mayat dari Kuala Lumpur, untuk upacara pembakaran pagi tadi,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Machap Indah, Machap Baru di sini hari ini.

    Terdahulu, jasad Tai dan isterinya Yu Siew Pay, 34, serta dua anaknya Tai Jing Key, 7, dan Tai Jing Rou, 4, dibawa pulang ke Melaka dari Hospital Sungai Buloh sekitar 11.32 pagi tadi.

    Jasad empat sekeluarga itu seterusnya di bawa ke Taman Peringatan Huai En, Jelutong, Batu Berendam bagi upacara pembakaran dan abunya dijangka dibawa pulang ke kediaman waris di Taman Machap Indah esok untuk penghormatan terakhir sehingga 29 Dis ini, sebelum disimpan di Taman Peringatan Eternal Berhad, Selandar, Jasin.

    Dalam pada itu, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam hadir menziarahi kedua-dua keluarga mangsa dengan diiringi Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem dan Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Noordin dan Naib Pengerusi PKR Melaka Ginie Lim Siew Lin.

    Tun Mohd Ali dan meluangkan masa hampir satu jam berjumpa dan bertanya khabar kedua-dua keluarga di samping turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga mangsa. – BERNAMA

  • Lesen syarikat lori terlibat kemalangan di Gerik dibatal serta-merta

    Lesen syarikat lori terlibat kemalangan di Gerik dibatal serta-merta

    LESEN pengendali syarikat lori, Mun Enterprises yang terlibat dalam kemalangan di Gerik, Perak pada 29 Ok lepas hingga mengakibatkan kematian seorang bayi, dibatalkan berkuat-kuasa serta-merta.

    Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan itu susulan kegagalan syarikat terbabit dalam sesi Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA), serta mempunyai rekod kesalahan lampau dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang melibatkan keselamatan pengguna.

    “Tindakan telah diambil di bawah Seksyen 57 (1)(b)(x) dan Seksyen 58 (1)(b) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

    “Seksyen 57 akta tersebut merupakan peruntukan mengenai syarat yang boleh dikenakan pada lesen pengendali, manakala Seksyen 58 pula mengenai syarat berkanun lesen pengendali,” menurut kenyataan itu

    Dalam kejadian pada 29 Okt itu, bayi berkenaan maut selepas kenderaan yang dinaiki bersama keluarganya merempuh muatan siling yang terjatuh dari lori tersebut kerana dipercayai muatan itu dibawa melebihi had.

    Insiden itu tular laman Twitter @isusemasaviral, yang memaparkan rakaman video kemalangan berdurasi 16 saat dan perkongsian keadaan isteri mangsa.

    Menurut laporan pemandu lori terbabit telah ditahan di sekatan jalan raya di Batu Melintang, Jeli, Kelantan, pada hari yang sama.

    Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata permit operasi syarikat lori itu telah digantung sementara, selain mengarahkan JPJ dan APAD mengambil tindakan segera terhadap pemandu lori dan syarikat berkenaan. – BERNAMA

  • Tommy Thomas tetap arah dakwa Shahrir walau kertas siasatan tak lengkap

    Tommy Thomas tetap arah dakwa Shahrir walau kertas siasatan tak lengkap

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas tetap mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendakwa Tan Sri Shahrir Ab Samad walaupun kertas siasatan terhadapnya tidak lengkap.

    Pegawai Penyiasat SPRM Nurzahidah Yacop, 35, berkata beliau menerima kertas siasatan daripada pihak pendakwaan bahawa Thomas memberi izin pada 15 Jan 2020 untuk mendakwa bekas Pengerusi Felda itu.

    Beliau berkata demikian semasa disoal balas peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros mewakili Shahrir pada perbicaraan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang didakwa atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Najib melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Syed Faisal Al-Edros: Puan (Nurzahidah) selaku pegawai penyiasat SPRM, mengambil tugas ini untuk melaksanakannya dengan penuh kejujuran. Di lubuk hati puan, puan tahu siasatan puan belum lengkap sepenuhnya, namun puan telah menerima arahan daripada timbalan pendakwa raya untuk menuduh (Shahrir) dan mendapat izin daripada Tan Sri Tommy Thomas untuk buat pendakwaan.

    Nurzahidah: Ya.

    Syed Faisal Al-Edros: Saya cadangkan tuduhan yang dilemparkan terhadap anak guam saya (Shahrir) adalah berasaskan kepada satu kertas siasatan yang belum lengkap sepenuhnya?

    Nurzahidah: Ya.

    Syed Faisal Al-Edros: Tan Sri Tommy Thomas tetap mengarahkan untuk mendakwa (Shahrir)?

    Nurzahidah: Ya.

    Terdahulu, Penolong Penguasa SPRM itu bersetuju dengan peguam bahawa berdasarkan transaksi daripada buku akaun bank Shahrir, beliau menggunakan wang peribadinya lebih RM2.6 juta untuk kegiatan politik sebelum menerima RM1 juta daripada Najib, pada 28 Nov 2013.

    Bagaimanapun, Nurzahidah mengakui beliau tidak pernah menyiasat wang RM1 juta yang diterima Shahrir daripada Najib adalah menggantikan wang pencennya (Shahrir), walaupun Shahrir menegaskan perkara tersebut sebanyak lapan kali semasa siasatan dijalankan pada 2019.

    Menurut Nurzahidah beliau memaklumkan kepada pegawai atasan berhubung wang ganti balik itu, namun tidak diarahkan untuk menjalankan siasatan terhadap perkara tersebut.

    Syed Faisal Al-Edros: Bagi pandangan puan, sebagai pegawai penyiasat SPRM, wang ganti balik ini (RM1 juta) tidak disiasat. Adakah ia adil bagi anak guam saya, walaupun beliau (Shahrir) berkali-kali mengatakan ia adalah wang ganti balik.

    Nurzahidah: Tidak adil bagi Tan Sri Shahrir, tetapi saya tidak pernah menerima dokumen ini (pengeluaran wang RM2.6 juta). Siasatan saya selepas tarikh penerimaan wang RM1 juta.

    Kepada soalan Syed Faisal Al-Edros, adakah saksi itu berasa musykil terhadap tindakan pegawai atasannya yang tidak mengarahkan untuk menyiasat mengenai wang ganti balik, Nurzahidah menjawab “Ada”.

    Syed Faisal Al-Edros: Oleh kerana puan kata ia adalah satu sudut siasatan yang penting (wang ganti balik), puan mahu siasat sendiri, tetapi takut untuk langgar arahan.

    Nurzahidah: Ya.

    Semalam, saksi penting itu memberitahu mahkamah bahawa wang RM1 juta yang diterima Shahrir daripada Najib adalah untuk menggantikan wang pencennya yang digunakan bagi kegiatan politik di kawasan Parlimen Johor Bahru.

    Pada 21 Jan 2020, Shahrir, 73, didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 5 Jan depan. – BERNAMA

  • Banjir: Masjid Mahmudi Melor rugi lebih RM100,000

    Banjir: Masjid Mahmudi Melor rugi lebih RM100,000

    MASJID Mahmudi Kedai Melor, di Kota Bharu mengalami kerugian lebih RM100,000 setelah beberapa aset termasuk kenderaan rosak setelah digenangi air banjir yang melanda negeri ini, sejak Isnin lepas.

    Imam Tua Masjid Mahmudi Kedai Melor Suhaimi Ibrahim berkata kerosakan yang dialami termasuk karpet, stor atau garaj van jenazah serta pagar setelah air banjir naik hampir 0.8 meter di pekarangan masjid.

    “Masjid berusia 35 tahun ini terletak di tepi Sungai Melor sebab itulah air cepat naik dan memasuki masjid separas betis untuk kali kedua malah disifatkan banjir agak besar berbanding 2017, dengan banyak aset hanyut atau rosak.

    “Menerusi kamera litar tertutup (CCTV), kami lihat air mulai masuk secara mendadak pada 4 pagi Isnin lalu dan masjid ini sudah banyak kali menjadi kawasan banjir. Sebelum ini, air bagaimanapun tidak masuk sehingga ke dalam masjid,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

    Menurutnya lebih menyedihkan karpet dan sejadah di masjid itu baharu sahaja dibeli tiga bulan lepas dengan kos hampir RM30,000 dan belum habis dibayar.

    Suhaimi berkata ketika banjir 2017, pihaknya mengeluarkan kos RM120,000 bagi menggantikan karpet baharu.

    “Untuk banjir kali ini, kami terpaksa menggunakan karpet sedia ada biarpun keadaannya lusuh dan mudah tercabut, malah kami menggunakan khidmat kontraktor cucian dengan upah RM6,000 bagi mengeringkan karpet supaya solat Jumaat hari ini dapat dilakukan.

    “Pihak masjid lega apabila pascabanjir hari ketiga ini, kami turut dibantu 100 sukarelawan terdiri daripada orang kampung dan badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil menghulurkan tenaga secara bergilir-gilir,” katanya.

    Katanya, selain karpet, beberapa aset seperti pagar, garaj van jenazah didapati rosak, malah meja dan kerusi untuk kegunaan majlis jamuan masjid itu turut dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir itu. – BERNAMA

  • Penutupan jalan setahun resahkan penduduk Batang Kali

    Penutupan jalan setahun resahkan penduduk Batang Kali

    PENUTUPAN jalan B66 Batang Kali-Genting Highlands selama setahun susulan tragedi tanah runtuh dekat sini, ternyata meresahkan banyak pihak terutama peniaga dan pengusaha hotel di Batang Kali, selain mereka yang menggunakan laluan berkenaan untuk ke tempat kerja di Genting Highlands. 

    Mana tidaknya, Batang Kali, sebuah bandar yang terletak di Hulu Selangor dan berdekatan dengan simpang menuju pusat peranginan utama negara itu, disifatkan penduduk sebagai ‘bandar Rehat dan Rawat (RnR)’ untuk orang ramai singgah menjamu selera atau menginap sebelum meneruskan perjalanan ke pantai timur atau utara termasuk ke Genting Highlands. 

    Pengurus sebuah hotel di sini, Riduan Adnan ketika ditemui Bernama berkata jalan berkenaan sering menjadi laluan alternatif bagi pemandu dari utara yang keluar menerusi Tol Tanjung Malim, seterusnya melalui Genting Highlands untuk ke pantai timur atau sebaliknya.

    Riduan yang telah menetap di Batang Kali sejak 2012 berkata selain itu, hotelnya turut menjadi pilihan pengunjung terutamanya ketika musim cuti persekolahan memandangkan hotel-hotel di sekitar Genting Highlands agak mahal.

    “Di Hulu Selangor ini, antara bandar yang paling ‘hidup’ ialah Batang Kali, sekali gus menjadikannya tumpuan utama tempat persinggahan bagi mereka yang ingin bercuti ke Genting Highlands namun tidak mampu mengeluarkan bajet yang besar.

    “Atas faktor itu, ramai yang memilih untuk singgah dan menginap di bandar ini kerana jaraknya yang lebih dekat ke Genting Highlands, iaitu kira-kira setengah jam, selain harga makanan di sini yang lebih murah berbanding ‘di atas” (Genting Highlands),” katanya.

    Pemerhatian Bernama mendapati bandar berkenaan meskipun adalah sebuah bandar kecil, namun mempunyai banyak kemudahan seperti stesen minyak, bank, hotel-hotel bajet, restoran makanan segera, restoran makanan Melayu yang menawarkan harga agak murah.

    Riduan berpendapat kesan penutupan jalan tersebut mungkin belum dirasai sekarang namun akan hanya dirasai setelah beberapa bulan oleh semua pihak termasuk pengusaha restoran di sini selain akan menyaksikan jumlah pengunjung ke kawasan itu semakin berkurangan susulan penutupan jalan bagi kerja-kerja pembaikan cerun.

    Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman pada Selasa dilapor berkata jalan Batang Kali-Genting Highlands ditutup selama setahun bagi kerja-kerja pemulihan cerun.

    Berikutan penutupan itu, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif iaitu jalan (B113 Jalan Batang Kali-Ulu Yam sehingga ke B23 Jalan Ulu Yam-Batu Caves) atau melalui laluan utama (FT1001 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh).

    Pengusaha restoran di sini, Mohd Yasin Abu Bakar turut menzahirkan kerisauannya terhadap kesan ke atas perniagaannya yang sebelum ini menjadi lokasi persinggahan orang ramai sama ada dari pantai timur atau utara yang melalui laluan Batang Kali-Genting Highlands.

    “Sebelum ini, premis saya menjadi tempat persinggahan orang ramai untuk makan terutamanya mereka yang turun dari Genting Highlands. Saya berharap kerajaan fikirkan satu solusi sebab kami para peniaga pun perlu fikirkan juga pelbagai kos untuk dibayar seperti gaji dan sebagainya,” katanya.

    Ramai pihak bagaimanapun menyifatkan jalan alternatif tersebut adalah jauh, memakan masa, tenaga dan kos berikutan perlu melalui perjalanan sejauh 90 kilometer (km) dan mengambil masa lebih satu jam setengah untuk sampai ke Genting Highlands berbanding kira-kira 30 minit dengan jarak perjalanan sejauh 30km jika melalui jalan yang kini ditutup.

    Melalui pemerhatian di media sosial pula, pengguna Facebook Nurul Amyra mengakui jalan alternatif agak jauh untuk berulang alik bekerja kerana perlu melalui Gombak untuk ke Genting Highlands, manakala pemilik akaun bernama Siti Noor Rahimaniza mencadangkan jalan Batang Kali-Genting Highlands hanya dibuka kepada pekerja di pusat peranginan itu.

    “Buka jalan untuk staf Genting sahaja, kalau susah sangat, suruh majikan buat surat dan polis boleh jaga simpang Batang Kali di bawah…buat macam PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dulu…yang bekerja saja bagi lepas ikut jalan itu,” kata Siti Noor.

    Selain itu, terdapat juga cadangan dari penduduk sekitar yang meminta kerajaan memberi kelonggaran kepada kenderaan ringan seperti motosikal untuk kemudahan penduduk yang tinggal di sekitar Batang Kali berulang alik ke tempat kerja di Genting Highlands.

    Malah, Bernama turut difahamkan ketika ini terdapat juga pekerja di pusat peranginan berkenaan yang terpaksa mencari tempat tinggal sementara di Genting Highlands atau menginap di hostel yang disediakan majikan buat sementara waktu.

    Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Batang Kali Harumaini Omar ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya akan berbincang bersama agensi terlibat seperti Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Majlis Perbandaran Hulu Selangor mengenai perkara berkenaan.

    Beliau berkata ini adalah bagi mencari penyelesaian dan kaedah terbaik dan selamat untuk pengguna jalan berkenaan terutama yang bekerja di Genting Highlands.

    Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas (16 Dis) di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, setakat ini menyaksikan 30 nyawa terkorban, seorang lagi mangsa masih hilang dan 61 orang terselamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang terlibat. – BERNAMA

  • Piala Dunia: 690 ‘bookie’ ditahan, 530 kertas siasatan dibuka

    Piala Dunia: 690 ‘bookie’ ditahan, 530 kertas siasatan dibuka

    POLIS menahan 690 individu kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dan pertaruhan berkaitan kejohanan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 sepanjang Op Saga IX yang bermula 19 Nov hingga Rabu lepas.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia Datuk Noorsiah Saaduddin berkata kesemua tangkapan membabitkan ‘bookie’ atau ‘punter’ dan disiasat di bawah Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    Sepanjang tempoh sama, beliau berkata sebanyak 530 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah itu 202 kertas siasatan berjaya dituduh dengan 87 telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, manakala 328 kertas siasatan masih dalam tindakan.

    Menurutnya Selangor merekodkan jumlah tertinggi tangkapan iaitu 179 individu diikuti Kuala Lumpur (142), Johor (59), Negeri Sembilan (57), Sarawak (54), Pulau Pinang (43), Sabah (41), Kedah (32), Melaka (27), Pahang (18), Perak (17), Terengganu (11), Perlis (enam) dan Kelantan (empat).

    Beliau berkata hasil rampasan antaranya meliputi nilai had kredit dalam perisian sebanyak RM22.3 juta, wang tunai RM518,563, telefon bimbit (817), kad sim (386 keping), komputer (74) dan komputer riba (47).

    “PDRM berharap masyarakat dapat menyalurkan maklumat berkaitan perjudian yang berlaku di sekeliling mereka melalui hotline perjudian di talian 016-5773477,” katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA

    PDRM, pertaruhan, judi, bola sepak

  • Tanah runtuh: Usaha cari mangsa terakhir diteruskan pagi ini

    Tanah runtuh: Usaha cari mangsa terakhir diteruskan pagi ini

    USAHA pencarian seorang lagi mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di Batang Kali, memasuki hari kelapan, pagi ini.

    Pencarian mangsa terakhir dipercayai seorang kanak-kanak lelaki itu dimulakan pasukan penyelamat kira-kira 8 pagi, dibantu oleh aset dan khidmat enam ekor anjing unit pengesan (K9) dari pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia.

    Cuaca di lokasi pencarian pagi ini cerah berbanding hujan semalam sehingga menyebabkan operasi SAR terpaksa ditangguhkan sejak petang atas faktor keselamatan.

    Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas itu setakat ini menyaksikan 61 selamat, 30 nyawa terkorban manakala seorang lagi masih hilang daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan terbabit.

    Semalam, operasi yang memasuki hari ketujuh berjaya menemukan empat mangsa terdiri daripada lelaki dan wanita dewasa serta dua kanak-kanak pada kedalaman tujuh meter, lengkap berpakaian dan sudah mula mereput, di sektor C (Riverside) pada 11.04 pagi.

    Polis dalam satu sidang media lewat petang semalam juga mengesahkan jumlah rasmi dan sebenar kesemua mangsa yang terlibat dalam insiden itu adalah seramai 92, bukannya 94 orang seperti dilaporkan sebelum ini.

    Jumlah terbaharu itu diperoleh setelah perkiraan dan semakan semula dibuat beberapa kali berdasarkan maklumat dan laporan diterima dari pelbagai pihak termasuk ahli keluarga. – BERNAMA

  • Sarawak, Selangor negeri terbaharu buka Pusat Pemindahan Sementara

    Sarawak, Selangor negeri terbaharu buka Pusat Pemindahan Sementara

    SARAWAK dan Selangor antara negeri terbaharu terjejas banjir menyaksikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mula dibuka di kedua-dua negeri berkenaan, setakat 8 pagi ini.

    Sementara itu, mangsa banjir di Perak meningkat berbanding malam tadi manakala Terengganu serta Kelantan semakin berkurangan, sebaliknya mangsa banjir di Pahang tidak berubah.

    Di SARAWAK, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan sejumlah tiga PPS dibuka di negeri itu setakat 7 pagi ini, bagi menempatkan 119 mangsa banjir yang melibatkan 30 keluarga.  

    Menurut laporan jawatankuasa itu, kesemua PPS berkenaan terletak di bahagian Kuching, dengan dua daripadanya mula beroperasi sejak awal pagi tadi.

    PPS terlibat ialah PPS Dewan Kampung Bedaun dan PPS Balai Raya Kampung Jugan yang masing-masing menempatkan seramai 75 dan 40 mangsa manakala PPS Balai Raya Kampung Opar hanya menempatkan empat mangsa.

    Di SELANGOR, Sekretariat JPBN Selangor memaklumkan dua PPS dibuka sejak malam tadi iaitu SK Merbau Sempak, Shah Alam membabitkan 20 mangsa dan Dewan MPKS Desa Coalfield, Kuala Selangor melibatkan 34 mangsa.

    Di PERAK, mangsa banjir meningkat kepada 50 orang daripada 17 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 41 orang daripada 15 keluarga di dua daerah pada malam tadi.

    Jurucakap Sekretariat JPBN berkata PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abd Rahman Talib (SMART) yang dibuka buat kali keenam sejak bulan lepas, menempatkan 24 mangsa daripada lima keluarga dari Kampung Batu 7 Changkat Jong, Hilir Perak setakat semalam.

    Sementara PPS SK Sungai Tiang Darat di Bagan Datuk tiada perubahan apabila seramai 26 orang daripada 12 keluarga kekal berlindung di PPS itu.

    Menurut jurucakap itu, paras air Sungai Bidor di Changkat Jong, Hilir Perak masih melepasi paras amaran iaitu 3.26 meter (m) ketika ini dan hujan dilaporkan di kebanyakan kawasan.

    Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 25,895 orang berbanding 27,396 orang malam tadi.

    Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 6,844 keluarga ditempatkan di 181 PPS di kesemua lapan daerah di negeri itu.

    Daerah Kemaman mencatatkan seramai 5,439 mangsa; Dungun 5,201 mangsa; Besut 4,309 mangsa; Hulu Terengganu 3,567 mangsa; Kuala Nerus 3,561 mangsa; Kuala Terengganu 2,503 mangsa; Setiu 1,118 mangsa; manakala Marang 197 mangsa.

    Di KELANTAN seramai 24,297 mangsa banjir daripada 7,623 keluarga berlindung di PPS pagi ini, berkurang berbanding 24,690 orang daripada 7,709 keluarga malam tadi.

    Sekretariat JPBN memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan 75 PPS di sembilan jajahan membabitkan Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Puteh, Kota Bharu, Bachok, dan Tumpat, Jeli dan Machang.

    Di PAHANG, rekod Sekretariat JPBN pagi ini menunjukkan angka mangsa banjir kekal 23 orang daripada enam keluarga di satu PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Ular, Kuantan.

    Jabatan Pengairan dan Saliran pula melaporkan paras air Sungai Keratong, Rompin dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran serta Paloh Hinai, Pekan turut kekal melepasi tahap amaran.

    Di JOHOR, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Segamat kekal 46 orang.

    JPBN memaklumkan dua PPS masih dibuka di daerah itu melibatkan seramai 34 orang di Balai Raya Kampung Batu Badak dan 12 orang di Dewan Komuniti Kampung Tasek.

    “Kesemua mangsa daripada 14 keluarga itu adalah penduduk dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 Segamat,” menurut jawatankuasa itu dalam kenyataan, hari ini.  

    Data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan lima sungai di negeri ini berada pada aras waspada iaitu Sungai Muar (Buloh Kasap) dengan ketinggian 8.40 m; Sungai Muar (Kampung Awat) 18.97 m; Sungai Sembrong (Empangan Sembrong) pada 10.04 m; Sungai Ayer Hitam (Kampung Paya Embun) pada 4.77 m dan Sungai Endau (Kampung Labong) pada 1.29 m.

    Sementara itu, cuaca dilaporkan hujan di Johor Bahru, Muar, Mersing, Pontian, Segamat, Kluang dan Batu Pahat; manakala cuaca cerah di Kota Tinggi, Tangkak serta Kulai. – BERNAMA