Author: Bernama

  • Lori tangki air digerak bantu pengguna terjejas

    Lori tangki air digerak bantu pengguna terjejas

    SEBANYAK 85 lori tangki air digerakkan ke kawasan terlibat bagi memberi bantuan bekalan air kepada pengguna terjejas, susulan insiden pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi.

    Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, bantuan bekalan air itu disalurkan dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian, sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual.

    Terdahulu, sebanyak 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula 7 pagi tadi, berikutan henti tugas sementara di kedua-dua LRA tersebut. 

    Lokasi yang terlibat ialah 172 kawasan di sekitar Petaling, Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (27).

    Selain itu, Air Selangor turut melakukan ujian persampelan secara kerap, bagi mengukur kualiti air yang terjejas kesan daripada bahan sisa pencemaran tersebut.

    “Usaha menangani insiden pencemaran ini dijalankan secara bersama antara Air Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), bagi mengatasi pencemaran bau tersebut agar LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dapat beroperasi semula dengan segera.

    “Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa, menerusi semua medium khususnya media massa,” menurut kenyataan itu.

    Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 bagi mendapatkan maklumat terkini.

    Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terjejas di https://hentitugas.airselangor.com/ serta menerusi aplikasi Air Selangor. – BERNAMA

  • Kubur di Sibu diceroboh, dirosak

    Kubur di Sibu diceroboh, dirosak

    SEBANYAK 11 kubur di Tanah Perkuburan Islam Al-Qadim, Jalan Tun Abang Haji Openg di Sibu, diceroboh dan dirosakkan disyaki dilakukan seorang lelaki kurang siuman semalam.

    Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata siasatan awal mendapati batu nisan pada 11 kubur berkenaan dicabut kemudian dipercayai dihempas sehingga pecah dan patah manakala empat daripadanya mengalami kerosakan pada jubin lot kubur dipercayai akibat dihempas batu nisan.

    Beliau berkata polis menerima laporan daripada seorang lelaki pada 1.58 tengah hari di Balai Polis Pusat Sibu semalam dan siasatan dijalankan sejurus selepas itu.

    “Tiada sebarang senjata atau peralatan mencurigakan dijumpai di tempat kejadian. Usaha sedang dijalankan untuk mengesan dan menangkap suspek terlibat,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini, hari ini.

    Zulkipli turut menasihatkan masyarakat Islam agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu sebaliknya segera menyalurkan sebarang maklumat kepada polis atau tampil ke balai-balai polis berdekatan atau terus menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ahmad Hakimi Abd. Azid (01131873715).

    Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Pemandu lori pasir maut tertimbus muatan, 12 jam bomba usaha selamatkan

    Pemandu lori pasir maut tertimbus muatan, 12 jam bomba usaha selamatkan

    USAHA menyelamatkan seorang pemandu lori yang membawa pasir seberat 40 tan mengambil masa hampir 12 jam selepas lori yang dipandunya itu terbabas ke dalam parit di Jalan Sultan Ibrahim, Stulang, awal pagi tadi.

    Komander Operasi Timbalan Penguasa Bomba 1 Mohd Suhaimi Jamal berkata mangsa, Rosnani Siam, 47, akhirnya berjaya dikeluarkan 8.11 malam tadi, bagaimanapun beliau yang ditemukan tertimbus dengan pasir disahkan meninggal dunia.

    Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.51 pagi dan ketika sampai di tempat kejadian didapati sebuah lori telah terbabas dengan sebahagian badannya berada di dalam parit. 

    “Kerja-kerja rumit terpaksa kita hadapi apabila bahagian hadapan lori itu terbenam hampir 12 kaki (3.6 meter) ke dalam parit yang dipenuhi air.

    “Kita terpaksa menggunakan kren seberat 350 tan untuk mengangkat lori pasir berkenaan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

    Mohd Suhaimi berkata seramai 39 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi berkenaan yang turut melibatkan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air Balai Bomba Penyelamat Skudai.

    Katanya dua jentera FRT, sebuah EMRS, tiga unit RIM dan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton digunakan dalam operasi itu yang berakhir pada 8.34 malam. – BERNAMA

  • Mayat terakhir tanah runtuh Batang Kali ditemukan dalam beg tidur

    Mayat terakhir tanah runtuh Batang Kali ditemukan dalam beg tidur

    MAYAT mangsa terakhir insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di sini, dijumpai dalam beg tidur pada kedalaman tanah 1.5 meter pada pukul 4.53 petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata mayat kanak-kanak lelaki berusia lingkungan tujuh hingga 12 tahun itu ditemukan dalam keadaan telungkup di tebing bukit kira-kira empat meter dari tapak perkhemahan berkenaan di Sektor A (hill view).

    Beliau berkata mayat itu dijumpai lengkap berpakaian dalam keadaan sempurna, namun sudah mula mereput dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

    “Operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan bagi kerja-kerja pemeriksaan dan siasatan bagi memastikan kawasan terbabit benar-benar selamat.

    Kami menjangkakan jika tiada halangan dan perkembangan terbaharu, keputusan penamatan SAR akan dimaklumkan esok,” katanya pada sidang media selepas penemuan mangsa terakhir tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan itu, hari ini.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Md Wan Ismail berkata mangsa terakhir itu ditemukan selepas digali secara manual oleh anggota penyelamat yang mengesan aliran cecair yang dipercayai daripada mayat berkenaan.

    Beliau berkata secara keseluruhan, 20 mayat ditemui di Sektor A, satu di Sektor B (farm view) dan 10 di Sektor C (river side).

    Tinjauan Bernama di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK) pada 7.20 malam ini mendapati anggota penyelamat SAR masuk ke lokasi pencarian bagi membuat aktiviti “pembersihan” tempat kejadian.

    Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi 16 Dis lepas itu menyaksikan 31 nyawa terkorban dan 61 selamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan dalam kejadian itu.

    Operasi SAR melibatkan kerjasama lima agensi utama iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, JBPM, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan kekuatan anggota melebihi 250 orang. – BERNAMA

  • Jalan Batang Kali-Genting diperbesarkan, dibuka semula bulan hadapan

    Jalan Batang Kali-Genting diperbesarkan, dibuka semula bulan hadapan

    JALAN Batang Kali-Genting yang ditutup akibat bencana tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor akan diperbesarkan dan dibuka semula pada awal atau pertengahan bulan hadapan.

    Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara tersebut ialah hasil perjumpaannya dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, semalam.

    Beliau berkata pembukaan jalan tersebut dijangka mampu membantu seramai 4,000 hingga 5,000 penduduk di Batang Kali, Hulu Selangor, bagi berulang-alik terutamanya bagi mereka yang bekerja di Genting Highlands, Pahang.

    “Kita akan besarkan kawasan di sebelah kiri atau kanan Jalan Batang Kali-Genting Highland, untuk membenarkan penduduk di Batang Kali menggunakan jalan tersebut, tapi ia untuk kenderaan ringan sahaja yang boleh melaluinya.

    “Kawasan itu telah ditambak dengan batu dan dipadatkan, kita juga akan aturkan pasukan keselamatan untuk mengawal laluan tersebut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di tapak Stadium Shah Alam di sini hari ini.

    Dalam perkembangan lain, Amirudin turut memaklumkan kerajaan Selangor tidak akan menganjurkan sebarang majlis sambutan ambang tahun baharu 2023, bagi menghormati mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor.

    Bagaimanapun beliau tidak menghalang pihak-pihak lain seperti syarikat swasta atau kelab penduduk, untuk mengadakan majlis berkenaan, tapi ia perlu dibuat dalam kadar sederhana.

    “Mungkin tahun ini kita boleh teruskan dengan program solat hajat, seperti yang dibuat pada tahun lalu dan untuk itu, saya sedang merujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan lain-lain.

    “Saya juga akan hadir ke program tersebut, tapi bukan ke program berbentuk hiburan dan sebagainya,” katanya.

    Mengenai inisiatif RiDE, beliau berkata sebanyak RM2 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi inisiatif tersebut, dengan memanfaatkan seramai 3,000 orang penghantar makanan yang menerima wang tunai sebanyak RM500 dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM50. – BERNAMA

  • Dua remaja maut motosikal rempuh lori rosak di lorong kecemasan

    Dua remaja maut motosikal rempuh lori rosak di lorong kecemasan

    DUA remaja lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori rosak yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 279.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di Nilai malam tadi.

    Ketua Polis Negeri Sembilan DCP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata dalam kejadian 11.30 malam itu, penunggang dan pembonceng berusia 18 tahun terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

    “Insiden berlaku apabila tayar kanan bahagian belakang lori yang dipandu lelaki berusia awal 60-an dari Senawang menuju ke Puchong, Selangor, pecah di lokasi kejadian dan lori itu kemudian diparkir di lorong kecemasan dengan memasang tanda amaran segi tiga. 

    “Ketika berada di lorong tersebut, penunggang motosikal didakwa tidak sempat mengelak dan secara tiba-tiba merempuh bahagian kanan lori itu. Siasatan lanjut masih dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai Insp Siti Syarah di talian 014-5144741 bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • Tanah runtuh: Anggota APM pengsan sewaktu bertugas

    Tanah runtuh: Anggota APM pengsan sewaktu bertugas

    SEORANG anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali, pengsan dipercayai akibat keletihan melampau.

    Jurucakap APM Selangor berkata Muhammad Faiq Haikhal Mohd Jeffrey dari cawangan Sabak Bernam pengsan kira-kira 1 tengah hari tadi dipercayai akibat cuaca panas terik, selain berkemungkinan dehidrasi kesan kurang minum air kerana terlalu fokus kepada pencarian mangsa.

    “Beliau memulakan tugasnya hari ini pada 7.30 pagi tadi dan telah terlibat dalam operasi SAR tersebut secara bergilir mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

    Menurutnya anggota APM berkenaan telah dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut.

    Setakat hari ini, tragedi runtuhan yang berlaku pada awal pagi 16 Dis lepas telah meragut 30 nyawa, manakala 61 selamat dengan berbaki seorang lagi masih hilang iaitu kanak-kanak lelaki.

    Seramai 92 mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan. – BERNAMA

  • 10 jam naik motosikal ke Gua Musang dapatkan bekalan makanan

    10 jam naik motosikal ke Gua Musang dapatkan bekalan makanan

    KEHABISAN bekalan makanan sejak seminggu lepas mendorong 15 Orang Asli dari Pos Balar mengangkut 13 motosikal menyeberangi Sungai Inching untuk keluar dari kawasan penempatan mereka menuju ke bandar Gua Musang, di Gua Musang, semalam.

    Orang Asli suku kaum Temiar itu terpaksa menggunakan laluan sungai berikutan jalan balak yang menjadi laluan utama mereka rosak akibat cuaca hujan yang berterusan sejak berminggu-minggu, malah terpaksa menempuh perjalanan kira-kira 10 jam untuk sampai ke pusat bandar.

    Penduduk Kampung Tidog, Pos Balar Abu Alang, 41, berkata mereka hanya menjadikan ubi kayu dan sayur-sayuran yang ditanam sendiri sebagai menu harian sejak seminggu yang lepas sebelum memutuskan untuk keluar membeli bekalan makanan kering di bandar.

    “Kami tiada pilihan lain selain terpaksa merentasi jalan sungai kerana sudah kehabisan makanan.

    “Biasanya jika tiada makanan di rumah boleh juga pinjam dahulu (makanan) daripada jiran-jiran, tetapi kali ini mereka juga turut kehabisan bekalan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini. 

    Sari Din, 25, berkata kebiasaannya lima jam diperlukan jika menggunakan jalan balak untuk ke Gua Musang, bagaimanapun perjalanan meredah sungai bersama motosikal menyebabkan mereka mengambil masa hingga 10 jam untuk sampai ke bandar itu. 

    “Kami keluar beramai-ramai untuk memudahkan kerja-kerja mengusung atau menolak motosikal yang tersangkut dalam lumpur dan sama-sama mengangkut motor melepasi Sungai Inching.

    “Kami hanya mampu tawakal kerana tidak tahu paras air sungai itu jadi kami bertolak dari rumah seawal 7 pagi dan sampai ke bandar 5 petang, disebabkan itu kami terpaksa bermalam di rumah tumpangan di bandar Gua Musang sebelum bertolak balik pagi ini,” katanya. 

    Tambah Sari, setiap tahun menjelang musim hujan masyarakat Orang Asli tiada pilihan lain selain menghadapi cabaran jalan rosak dan meredah sungai kerana hanya itu jalan perhubungan yang mereka ada sejak tinggal di perkampungan itu. – BERNAMA 

  • SAR tanah runtuh: Budak lelaki sasaran akhir pasukan mencari

    SAR tanah runtuh: Budak lelaki sasaran akhir pasukan mencari

    BERBAKI satu lagi mangsa yang hilang dipercayai seorang kanak-kanak lelaki, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kesembilan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di Gohtong Jaya, di Batang Kali diteruskan hari ini.

    Semalam, walaupun cuaca dilaporkan baik namun operasi berkenaan ditangguhkan sementara pada 11 malam atas faktor keselamatan pasukan mencari.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata operasi hari ini melibatkan 53 anggota daripada JBPM, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

    “Selain itu, 10 ekor anjing pengesan K9 dan sembilan jengkaut digunakan hari ini dengan fokus pencarian di sektor A,” katanya.

    Hari ini pasukan mencari akan giat mengesan kanak-kanak lelaki malang itu, yang juga seorang daripada 92 angka rasmi bilangan mangsa disahkan terlibat dalam kejadian runtuhan pada Jumaat (16 Dis) lepas.

    Dalam kejadian tersebut, 61 individu terselamat, manakala 30 nyawa dilaporkan terkorban setakat ini dan kesemua mereka juga sudah dikenal pasti dan dituntut waris masing-masing. 

    Daripada jumlah mangsa terkorban itu, enam adalah lelaki dewasa, 12 wanita dewasa dan 12 kanak-kanak masing-masing enam lelaki dan enam perempuan. 

    Sementara itu, tinjauan Bernama di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mendapati pengamal media mula tiba di situ secara berperingkat bagi menunggu perkembangan terkini mangsa terakhir.

    Anggota penyelamat juga mula memasuki lokasi pencarian secara berkumpulan diketuai pasukan bomba diikuti polis, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam serta pasukan SMART.

    Selain itu, cuaca juga dilaporkan baik namun jalan menuju ke PKTK dilihat berhabuk susulan lumpur kering di atas jalan raya. -BERNAMA

  • Penduduk terjejas banjir di 3 negeri meningkat, angka terkini 33,856 orang

    Penduduk terjejas banjir di 3 negeri meningkat, angka terkini 33,856 orang

    JUMLAH mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak, Sabah dan Perak merekodkan peningkatan pagi ini menjadikan angka terkini mangsa di negeri yang terjejas banjir di seluruh negara seramai 33,856 orang.

    Mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu pula berkurangan manakala Johor kekal merekodkan seramai 32 orang.

    Di SARAWAK, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan mangsa banjir di negeri itu kini mencecah 1,136 orang daripada 294 keluarga pagi ini berbanding 363 mangsa daripada 93 keluarga malam tadi. 

    Jumlah PPS meningkat kepada 18 setakat pagi ini, berbanding tujuh malam tadi dan banjir kini melibatkan daerah Kuching, Bau, Sebuyau, Samarahan, Betong, Serian, Gedong dan Simunjan manakala sebuah PPS iaitu di Dewan Kampung Koran Mawang, Serian diaktifkan bagi menempatkan 57 mangsa tanah runtuh daripada tujuh keluarga di kawasan itu. 

    Di SABAH, mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, Kota Belud terus meningkat pagi ini kepada 78 mangsa daripada 23 keluarga berbanding 68 mangsa daripada 21 keluarga malam tadi.

    Sementara itu, bagi fenomena air pasang besar, jumlah penduduk terutama mereka yang tinggal di rumah atas air yang pindahkan terus meningkat pagi ini iaitu 573 mangsa daripada 137 keluarga berbanding 276 mangsa daripada 61 keluarga malam tadi.

    Seramai 528 mangsa daripada 123 keluarga dipindahkan ke enam PPS di Pitas manakala 45 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan ke sebuah PPS di Kota Kinabalu.

    Di PERAK, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat sedikit iaitu seramai 69 orang daripada 17 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 65 orang daripada 16 keluarga malam tadi dan kini ditempatkan di dua PPS di Hilir Perak dan Bagan Datuk.

    Di TERENGGANU, Sekretariat JPBN memberitahu jumlah penduduk yang berlindung di 112 PPS menurun kepada 15,243 mangsa berbanding 20,552 mangsa malam tadi di lapan daerah iaitu di Kuala Terengganu, Kemaman, Besut, Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Setiu dan Kuala Nerus.

    Di KELANTAN, Sekretariat JPBN berkata jumlah mangsa banjir di 48 PPS di Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh, Tumpat dan Bachok berkurangan pagi ini kepada 17,298 orang daripada 5,769 keluarga berbanding 17,398 orang daripada 5,818 keluarga malam tadi.

    Di JOHOR, Sekretariat JPBN menyatakan jumlah mangsa kekal 32 orang setakat 8 pagi ini dan ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak, Segamat. – BERNAMA