Author: Bernama

  • Kerajaan kawal harga barang, tak mungkin naik, kata menteri

    Kerajaan kawal harga barang, tak mungkin naik, kata menteri

    MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub menyangkal dakwaan mengenai kenaikan harga barang yang kerap dimainkan pembangkang menjelang pilihan raya negeri (PRN) ketika ini.

    Beliau yang juga Timbalan Presiden Amanah turut memberi jaminan langkah kerajaan mengawal penuh barangan tidak bersubsidi, tidak memungkinkan kenaikan harga barang.

    “Barangan seperti gula dan tepung sememangnya tidak naik (harga)… kerana ia dikawal penuh pihak kerajaan. Apa-apa pun barang pilihan rakyat, itu kita tidak kawal, sebab terpulang kepada rakyat untuk memilih.

    “Kerajaan kita memang mendepani isu kos sara hidup rakyat, tetapi kerajaan tidak boleh mengawal kos gaya hidup rakyat. Itu yang saya nak tegaskan, barang-barang yang jadi asas hidup rakyat setakat ini semuanya dikawal penuh kerajaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas hadir program ceramah jelajah perpaduan Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk di Rumah Komuniti Teratak Desa, Gong Tok Nasek, malam tadi.

    Salahuddin berkata, menerusi inisiatif Payung Rahmah yang menyasarkan golongan B40 dan miskin tegar khususnya menerusi Jualan Rahmah, Menu Rahmah dan Pakej Rahmah, ia memberi pilihan kepada rakyat untuk membuat pembelian mengikut kemampuan.

    “… semalam diumumkan SARa (Sumbangan Asas Rahmah), rakyat boleh beli barang asas di beberapa pasar raya pilihan dengan harga Rahmah. Jadi, kita telah buat semua ini dan Alhamdulillah golongan sasaran kita ialah B40 dan miskin tegar.

    “Bagi mana-mana rakyat ingin memilih barangan mereka, kerajaan serahkan kepada rakyat yang mampu untuk membeli barangan pilihan mereka tetapi barang-barang makanan bersubsidi ini dikawal penuh oleh kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.

    Terdahulu, kerajaan mengumumkan lebih 210,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori miskin tegar akan menerima SARa berjumlah RM600 mulai Isnin lepas yang membolehkan mereka membeli barangan keperluan asas tanpa tunai di 600 pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara.

    Sementara itu, Salahuddin berkata pembahagian kerusi antara gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi mendepani PRN secara prinsipnya selesai dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

    Selain Terengganu, lima lagi negeri akan menghadapi PRN 12 Ogos ini ialah Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

  • Maal Hijrah: Jauhi hasad dengki, amalan fitnah – Agong

    Maal Hijrah: Jauhi hasad dengki, amalan fitnah – Agong

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan rakyat agar menjauhi perasaan hasad dengki dan amalan fitnah memfitnah.

    Titah Seri Paduka, rakyat juga hendaklah tidak berfikiran sempit dan negatif kerana sifat dan amalan itu tidak akan mendatangkan faedah kepada bangsa dan negara.

    “Beta ingin mengajak seluruh rakyat bersatu hati dalam membentuk sebuah masyarakat yang lembut dalam berbicara, halus dalam berpesan, harmoni dalam ikatan persaudaraan, jujur dalam pekerjaan, amanah dalam menggalas tugas dan gagah perkasa dalam mencipta kejayaan,” titah Seri Paduka.

    Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/ 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di Kuala Lumpur hari ini.

    Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Sempena sambutan itu, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan agar semangat dan roh peristiwa Hijrah dijelmakan dalam bentuk kesatuan dan perpaduan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan adat resam demi untuk membangunkan sebuah negara pertiwi.

    Titah Seri Paduka, sejarah penyatuan dan kesepaduan kaum Muhajirin dan Ansar yang berlaku 1,400 tahun yang lepas, adalah semangat hijrah yang wajar dijadikan pedoman utama dalam mengurus kepelbagaian dan kerencaman negara.

    Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah mengajak rakyat negara ini bersama-sama menghayati tema sambutan Maal Hjrah peringkat kebangsaan pada tahun ini iaitu ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’.

    “Justeru, beta menghargai usaha kerajaan dalam menggerakkan agenda Malaysia Madani bagi membentuk masyarakat yang menghayati nilai-nilai ihsan mendukung prinsip keadilan dan mengamalkan semangat toleransi.

    “Beta turut menghargai pelaksanaan pelan transfomasi hal ehwal agama menuju Malaysia Madani sebagai langkah proaktif untuk menjayakan agenda pembangunan dan pembaharuan ummah,” titah Yang di-Pertuan Agong.

    Titah baginda, semangat dan roh hijrah dalam memupuk sifat amanah dan berintegriti hendaklah sentiasa tumbuh segar di dalam jiwa setiap rakyat Malaysia

    Seri Paduka juga mengajak rakyat untuk bersama mensyukuri nikmat keamanan dan kemakmuran negara yang telah dikecapi.

    “Suburkan rasa kasih dan kecintaan kita kepada tanah air ini sebagaimana cintanya Rasulullah SAW kepada tanah kelahiran baginda,” titah Seri Paduka.

    Hadir sama pada majlis itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

    Kira-kira 6,000 tetamu hadir pada majlis itu yang mewakili 110 kontinjen daripada agensi kerajaan dan swasta, dengan selebihnya orang awam.

  • Dua beranak ditahan kemuka tuntutan palsu hampir RM90,000

    Dua beranak ditahan kemuka tuntutan palsu hampir RM90,000

    DUA beranak ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor kerana dipercayai mengemukakan tuntutan palsu hampir RM90,000 kepada sebuah agensi kerajaan tiga tahun lepas.

    Menurut sumber, pemilik sebuah syarikat dan pengarah projek yang merupakan lelaki berusia 50 tahun dan 25 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor kira-kira 8 malam tadi selepas hadir memberi keterangan.

    Difahamkan pada 2020, kedua-dua lelaki mengemukakan tuntutan palsu kepada agensi itu berkaitan tuntutan program subsidi upah melibatkan dana kerajaan.

    Sumber itu berkata, kedua-dua lelaki melampirkan senarai nama pekerja layak, sedangkan hasil tuntutan itu tidak dibayar kepada pekerja syarikat terbabit.

    Katanya, mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM.

    Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua lelaki itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • Lima penjawat awam Sabah didakwa buat tuntutan palsu

    Lima penjawat awam Sabah didakwa buat tuntutan palsu

    LIMA penjawat awam di Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu perpindahan melibatkan beberapa daerah di Sabah berjumlah RM61,530 antara 2017 hingga 2020.

    Rozidah Samudin, 52, didakwa mengemukakan dokumen penyata tuntutan dan elaun semasa menjalankan tugas rasmi bertarikh 23 Mei 2017 dengan membuat bil melalui Syarikat Pengangkutan Putra bernilai RM17,100 pada 2 Okt 2017.

    Dia didakwa memperdayakan prinsipal dan mempunyai kepentingan serta sebab untuk mempercayai dokumen itu mengandungi butiran matan palsu bagi pembayaran penghantaran kenderaan dari Kota Kinabalu ke Sandakan tetapi perkhidmatan tersebut tidak pernah dilakukan.

    Rozidah, yang diwakili peguam Mohd Luqman Syazwan Zabidi, turut didakwa membuat bil tuntutan pembayaran penghantaran kenderaan ke rumah di Taman Lok Kawi Perdana Taman Pantai Lok Kawi dan penghantaran barangan ke alamat sama bersama empat pekerja am berjumlah RM17,000 pada 5 Sept 2019.

    Tiga individu lain iaitu Myron Masing, 40, Alif Abdul Fatah, 35, dan Mohd Effendi Awang Damit, 31, turut berdepan pertuduhan memperdayakan prinsipal serta mempunyai kepentingan dan mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu mengandungi matan palsu iaitu resit Syarikat Pengangkutan Putra bertarikh 5 Mac 2020, 12 Jun 2019 dan 7 Mac 2020.

    Myron didakwa mengemukakan bil pembayaran penghantaran barangan rumah dan motosikal ke perumahan kerajaan Tawau berjumlah RM6,250 manakala Alif mengemukakan pembayaran penghantaran barangan rumah ke Taman Permata Apartment Sandakan bersama tiga pekerja yang berjumlah RM8,480 dan Mohd Effendi bagi pembayaran pengangkutan perpindahan barang dari Kota Kinabalu ke Tawau berjumlah RM6,250.

    Ady Said, 38, pula berdepan enam pertuduhan yang didakwa dilakukan antara 2 Okt 2017 dan September 2020 iaitu bersubahat dengan Rozidah dan Myron untuk mengemukakan tuntutan serupa bagi penghantaran kenderaan dari Kota Kinabalu ke Sandakan dan Tawau melalui syarikat pengangkutan yang sama.

    Dia juga didakwa bersubahat membantu Alif dan Mohd Effendi bagi pembayaran penghantaran barang ke rumah di Taman Permata Sandakan dan tiga pekerja lain serta pembayaran pengangkutan perpindahan barang dari Kota Kinabalu ke Tawau tetapi perkhidmatan itu tidak pernah dilakukan.

    Tertuduh turut didakwa mengemukakan dokumen penyata tuntutan dan elaun semasa menjalankan tugas rasmi bertarikh 15 Mac 2020 dengan membuat bil melalui Syarikat Pengangkutan Putra bernilai RM6,450 ke Sandakan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Sabah Rekhraj Singh dan Dzulkarnain Rousan Hasbi manakala Alif diwakili peguam Yannik Mohd Anuar dan Lim Chun Yuan manakala Myron, Ady dan Mohd Effendi tidak mempunyai peguam.

    Hakim Jason Juga menetapkan 15 Ogos depan sebagai sebutan semula kes bagi kelima-lima tertuduh manakala jaminan ditetapkan antara RM10,000 hingga RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan mereka diarah melaporkan diri ke pejabat SPRM dua bulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

  • Lelaki didakwa bakar isteri sampai mati

    Lelaki didakwa bakar isteri sampai mati

    SEORANG pengawal kelab hiburan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Manjung atas pertuduhan membunuh isterinya dengan membakar mangsa hingga mati pada minggu lalu.

    S Gabriel, 28, menggangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret T Kavitha.

    Mengikut pertuduhan Gabriel dituduh menyebabkan kematian E Komathy, 33, di sebuah rumah di Ladang Waldbrook, Sitiawan pada 6.30 petang sehingga 7 malam, 10 Julai lepas.

    Tiada pengakuan direkodkan kerana pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan, di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rishan Kumar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 18 Sept ini untuk sebutan semula kes.

    Sementara itu, di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine ke dalam badan.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat Polis Pantai Remis pada 12 Julai.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39C (1) akta sama yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum tujuh tahun selain sebatan tidak melebihi tiga kali jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 25 Okt untuk sebutan semula kes.

  • Ahmad Samsuri: Tiada calon import untuk PRK Kuala Terengganu

    Ahmad Samsuri: Tiada calon import untuk PRK Kuala Terengganu

    TIADA senarai calon ‘import’ yang akan diketengahkan oleh Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata bagaimanapun, perkara itu masih belum dimuktamadkan dan tidak menolak kemungkinan keputusan itu boleh berubah.

    “Calon ramai buat masa ini, keputusan akhir kita tengah perhalusi lagi. Nama penyandang ketika ini iaitu Datuk Ahmad Amzad Hashim ada dalam senarai buat masa ini … sehari dua lagi kita putuskan,“ katanya selepas hadir ke Majlis Pecah Tanah Kompleks Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu di sini hari ini.

    Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas pihak pempetisyen, Datuk Mohd Zubir Embong yang juga calon Barisan Nasional (BN) berjaya membuktikan wujudnya elemen rasuah ketika kempen Ahmad Amzad pada pilihan raya itu.

    PAS memutuskan tidak membuat rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan.

    Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dijalankan serentak dengan PRN di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor pada 12 Ogos.

    Dalam PRU14, PAS membentuk Kerajaan Negeri Terengganu setelah memenangi 22 kerusi DUN, manakala 10 lagi kerusi dimenangi BN.

  • Mesyuarat khas SPR hari ini tentukan tarikh penting PRK Kuala Terengganu

    Mesyuarat khas SPR hari ini tentukan tarikh penting PRK Kuala Terengganu

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas pada 10 pagi ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

    Mesyuarat di Menara SPR Putrajaya itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh bagi membincangkan urusan PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

    SPR akan mengadakan sidang media sejurus selesai mesyuarat khas itu.

    Khamis lepas, Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat khas itu diadakan selepas suruhanjaya menerima Laporan Hakim Pilihan Raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkenaan keputusan mahkamah membatalkan pilihan raya bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Kuala Terengganu pada 19 Nov lepas.

    Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim yang mewakili Pas di Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas pempetisyen iaitu calon Barisan Nasional Datuk Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

    Pada 8 Julai lepas, Pas memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kuala Terengganu yang membatalkan kemenangan parti itu.

  • MB Kedah mengaku tak salah terhadap satu lagi tuduhan menghasut

    MB Kedah mengaku tak salah terhadap satu lagi tuduhan menghasut

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di Kuala Lumpur hari ini, atas satu lagi pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan kerajaan perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

    Bernama melaporkan Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

    Beliau didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

    Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak dekat Kuala Lumpur pada 11 malam, 11 Julai lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Tertuduh juga dilarang membuat apa-apa komen sehingga kes selesai.

    Terdahulu, Menteri Besar Kedah mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin atas pertuduhan sama berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dalam ceramah sama.

    Kedua-dua mahkamah menetapkan masing-masing jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap Muhammad Sanusi.

    Mahkamah juga menetapkan 4 Oktober untuk sebutan semula kes.

  • Sanusi mengaku tak salah tuduhan menghasut dalam ceramah politik

    Sanusi mengaku tak salah tuduhan menghasut dalam ceramah politik

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di Selayang hari ini atas satu pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dalam satu ceramah politik, minggu lepas.

    Muhammad Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

    Beliau didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

    Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak dekat Selayang pada 11 malam, 11 Julai lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh manakala Muhammad Sanusi diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali dan Wan Rohimi Wan Daud.

    Kes kedua Muhammad Sanusi kini disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Osman Affendi Mohd Shalleh.

    Menerusi hantaran di laman Facebook Muhammad Sanusi, beliau ditahan polis kira-kira 3 pagi tadi di sebuah hotel di Seleayang dan dibawa menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

    Media baru-baru ini melaporkan ucapan Muhammad Sanusi pada satu ceramah politik di Selangor dikatakan menghina institusi diraja Selangor.

    Muhammad Sanusi dalam video ucapannya yang tular dikatakan menghina Sultan Selangor ketika membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

    Susulan itu, pelbagai pihak tampil membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

  • Polis siasat video tular penduduk pangsapuri bergaduh

    Polis siasat video tular penduduk pangsapuri bergaduh

    POLIS menjalankan siasatan berhubung penyebaran video pergaduhan melibatkan penduduk di sebuah pangsapuri di Tampoi di Johor Bahru, Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh berkata semakan mendapati kes itu mempunyai kaitan dengan dua laporan yang diterima daripada individu terlibat, dalam kejadian tiga hari lepas.

    “Keterangan daripada pihak terlibat dan saksi bebas yang merupakan penduduk di pangsapuri itu telah diambil dan punca pergaduhan masih dalam siasatan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 160 KK dan Seksyen 427 KK.

    “Kita menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini agar menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Shazril Salim di talian 016-3425316,“ katanya.

    Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 2 minit 17 saat yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun media sosial yang memaparkan mengenai kejadian pergaduhan melibatkan beberapa penduduk di pangsapuri berkenaan.