PN akui berdepan cabaran sengit di PRK Parlimen Pulai – Syahir

PERIKATAN Nasional (PN) mengakui berdepan cabaran sengit di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai, berdasarkan faktor demografi pengundi di Parlimen itu.

Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd. Syahir Sulaiman berkata, perkembangan itu diperoleh selepas melihat kepada sambutan kempen yang dijalankan gabungan parti terbabit di Parlimen berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bachok itu berkata, situasi terbabit bagaimanapun berbeza di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang dilihat sambutannya lebih memberangsangkan.

“Sambutan pada calon PN DUN Simpang Jeram amat memberangsangkan khususnya dalam kalangan pengundi Melayu dan muda berbanding sambutan kempen di Parlimen Pulai yang sedikit sengit atas faktor demografi pengundi.

“Jadi saya mengharapkan tempoh kempen yang berbaki ini, ia dapat dijalankan dengan baik dan harmoni melalui kempen seimbang serta saksama,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Penganalisis Keselamatan dan Politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin bahawa PN tidak mempunyai banyak peluang untuk menembusi kubu kuat UMNO di Johor, khususnya mengambil kira perbezaan demografi dan psikografi di negeri itu berbanding di Kedah, Kelantan serta Terengganu.

Noor Nirwandy dilaporkan berkata, taktik digunakan pembangkang dengan menyuntik elemen Islam, Melayu dan mengangkat watak hero, walaupun berjaya di negeri utara dan Pantai Timur, namun diyakini tidak berhasil pada PRK Pulai dan Simpang Jeram.

PN meletakkan calon Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pulai, Zulkifli Jaafar sebagai calon di Parlimen Pulai dan pakar bedah endovaskular, Dr. Mohd Mazri Yahya pula diumumkan sebagai calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Pada masa sama, Syahir berkata, pihaknya melihat PRK kali ini sedikit berbeza kerana ia kuat dipengaruhi sentimen nasional, berbanding isu tempatan.

Beliau berkata, kemenangan di kerusi Parlimen dan DUN itu dijangka dipengaruhi oleh kombinasi faktor kekuatan calon dan parti diwakili mereka.

“Saya juga meminta pengundi khususnya orang muda yang berada di perantauan, Lembah Klang dan Singapura untuk pulang pada 9 September bagi menunaikan tanggungjawab penting ini,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *