‘Pemimpin perlu beri nasihat adil, elak fitnah’ – Hamzah

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin pemimpin perlu memberi nasihat yang adil dan mengelak daripada cuba memfitnah hanya kerana pertembungan perbezaan politik.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini perlu diisi dengan jiwa yang besar dan tidak perlu berdendam dengan menabur fitnah serta melakukan kezaliman terhadap mana-mana pemimpin atau rakyat.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berkata, pihaknya akan menentang sebarang kezaliman dalam negara yang tercinta ini.

“Perikatan Nasional bertegas jangan ada sesiapa yang cuba menjebak fitnah, menahan lukah di pergentingan, mengadu domba dan melakukan kezaliman yang bertentangan dengan nilai kemerdekaan.

“Nasihat atau tutur kata yang berbaur kepentingan diri menyebabkan tindakan sebegitu hanya akan menghakis rasa hormat rakyat kepada kita.

“Jangan hanya pandai beretorik tanpa melakukan sesuatu yang bermanfaat demi masa depan negara yang lebih terjamin,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kemerdekaan adalah anugerah besar dan mengajar anak watan berdiri di atas kaki sendiri.

Menurutnya, merdeka turut mengajar untuk terus dewasa dan mematangkan diri mengikut acuan sendiri.

“31 Ogos bukan sekadar tarikh keramat buat negara bangsa Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-66, tetapi ia juga merupakan cerminan solidariti sehati sejiwa bermula dari Arau hingga ke Tanjung Piai di Semenanjung serta dari Kudat membawa ke penghujung Ulu Lachau nun di Sabah dan Sarawak.

“Marilah kita bersama membina negara ini menjadi sebuah negara yang adil dan dihormati serta disayangi oleh semua. Selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada semua rakyat Malaysia,” ujarnya, lapor Sinar Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *