Pemuda PN, pendakwah kritik ‘pelajar tahfiz’ dibawa sertai konsert

KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari, tampil mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang didakwa menjemput pelajar tahfiz ke sebuah konsert yang diadakan pada Sabtu lalu.

Difahamkam anggota parlimen Pasir Mas itu merujuk kepada satu video TikTok yang memperlihatkan kehadiran sejumlah individu yang dikatakan memakai kopiah atau serban.

Majlis itu juga dikatakan turut menampilkan hiburan yang dianggap tidak sesuai dengan pelajar terbabit.

“Kepada pihak yang menjemput anak-anak tahfiz (jika dilihat kepada pakaian berjubah dan berserban) ke konsert KFC semalam, saya mohon sensitiflah sikit.

“Apa tujuan pergi hadap anak-anak pelajar agama ke konsert seperti itu? Apa nilai yang anda ingin sampaikan?” soalnya dalam hantaran di Facebook, malam tadi, lapor MalaysiaKini.

Difahamkan ia berlaku dalam Konsert Kepci Music Fest yang berlangsung di Stadium Malawati di Shah Alam bersempena sambutan ulang tahun ke-50 KFC.

Konsert selama hampir tiga jam itu menyaksikan lebih 8,500 penonton membanjiri premis berkenaan bagi menyaksikan persembahan artis seperti Amy Search, Siti Nurhaliza, Ella, Misha Omar dan Bunkface.

Selain itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut dilaporkan meghadiri konsert berkenaan.

Malaysiakini setakat ini tidak dapat mengesahkan secara bebas bahawa kumpulan penonton yang dirujuk Ahmad Fadhli itu benar-benar pelajar tahfiz atau sekolah agama.

Ahmad Fadhli berkata, beliau berasa sedih dan terhiris hati apabila melihat video anak-anak pelajar agama terbabit yang mungkin terkejut dengan suasana di tempat berkenaan.

“Soal PMX (Anwar) turut sama menonton itu terpulanglah, saya tidak mahu komen, boleh buat penilaian sendiri,” katanya.

Sementara itu harakahdaily turut mengetengahkan isu berkenaan dengan menyiarkan satu artikel berkaitan.

Penulisnya, Nurul Islam Mohamed Yusoff mengkritik keras penganjuran konsert yang didakwa menjemput sekumpulan pelajar-pelajar tahfiz itu.

Kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Getah Malaysia itu, beliau sebagai bapa pelajar tahzif berasa sangat geram dengan apa yang berlaku kerana ia bercanggah dengan nasihat yang diberikan kepadanya sebelum ini.

Konsert KFC dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Anggap anjuran kerajaan Madani

Menurut Nurul Islam, antara pesanan yang diterimanya ialah pentingnya persekitaran yang baik dalam membantu anak menghafal.

“Guru peranan dia dekat sekolah, ibu bapa peranannya dekat rumah. Pemakanan pelajar perlu dijaga, apa yang dilihat dan ditonton juga perlu dijaga.

“Tetapi apa yang berlaku ni sangat mengecewakan, apabila pelajar tahfiz ini dibawa ke konsert, aku ulang konsert yang penuh nyanyian, joget dan tarian liar,” tulisnya seperti dipetik itu lidah rasmi Pas itu.

Dalam perkembangan sama pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin turut memberikan respon kurang senang terhadap isu berkenaan apabila ia membabitkan kerajaan.

Menurutnya, terdapat satu video tersebar menunjukkan agak ramai anak-anak muda yang menari seperti orang sedang mabuk dan mendakwa kelibat seperti Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil juga kelihatan.

Dalam sekian banyak komen, kata Wan Ji, semuanya menganggap individu terbabit gagal membentuk imej Islam dalam kerajaan Madani sehingga memberi kesan buruk pada kerajaan dalam pilihan raya negeri baru-baru ini.

“Dalam pada itu pula, turut hadir adalah sebilangan anak-anak muda yang memakai serban. Ramai yang memberi komen bahawa itu adalah anak-anak tahfiz al-Quran yang dijemput hadir dalam program terbabit. Saya tidak tahu, program itu anjuran siapa.

“Bagaimanapun, saya anggap adalah satu kegilaan dan kejahatan, program seburuk itu dijemput anak-anak tahfiz al-Quran untuk hadir.

“Sekarang ini, ramai persepsikan bahawa itu adalah program anjuran kerajaan Madani hanya kerana ada individu seiras menteri komunikasi dalam program terbabit,” katanya.

Wan Ji berkata, memang ada kemungkinan hal itu tidak benar namun baginya, konsep Madani sepatutnya membentuk masyarakat bertamadun dengan mengikut nilai-nilai agama.

“Program tarian seperti orang mabuk itu bukan sekadar tidak bertamadun, bahkan amat jauh dari nilai Islam,” katanya di Facebook, hari ini.

Malaysiakini sudah menghubungi pihak penganjur konsert berkenaan dan menunggu respon lanjut berhubung perkara yang dibangkitkan itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *