SKMM

Henti bertindak seperti ‘Big Brother’, wartawan kanan beritahu SKMM

SEKUMPULAN wartawan veteran memberi amaran kepada kerajaan supaya tidak bertindak seperti ‘Big Brother’ berikutan beberapa siri ancaman dan sekatan ke atas media di negara ini, dengan mengatakan ia adalah peringatan kepada amalan pentadbiran terdahulu untuk mendiamkan pengkritik terhadap elit politik.

Mereka berkata tindakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pengawal selia internet di bawah bidang kuasa Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil baru-baru ini, menunjukkan trend membimbangkan terhadap media berulang.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kandungan yang dilabelkan sebagai ‘menyinggung’ itu hanyalah laporan dan pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan.

“Kami sama sekali tidak dapat menerima sebarang percubaan untuk menggunakan agensi kerajaan seperti SKMM untuk menyoal, menapis atau menyekat portal dan kandungan berita dalam talian,” kata wartawan terkemuka, Johan Jaaffar dan A Kadir Jasin; bekas pengerusi Bernama Azman Ujang; bekas pengarang Bernama, Yong Soo Heong dan Zakaria Wahab, serta aktivis veteran media Hussamuddin Yaacob, Chamil Wariya dan G. Manimaran dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Mereka tidak menyatakan kes khusus yang dirujuk. 

Bagaimanapun ia dipercayai merujuk kepada beberapa kes sebelum ini seperti sekatan terhadap portal Malaysianow, TV Pertiwi, UtusanTV serta siasatan terhadap TV Alhijrah yang mengulang siar rancangan melibatkan bekas menteri agama, Datuk Idris Ahmad.

Mereka yang rata-rata berpengalaman sebagai wartawan kanan itu menegaskan sama sekali tidak dapat menerima sebarang percubaan untuk menggunakan agensi kerajaan seperti SKMM untuk menyoal, menapis atau menyekat portal dan kandungan berita dalam talian.

“Kita telah melihat bagaimana kerajaan-kerajaan terdahulu, walaupun hanya kerana aduan kecil daripada orang ramai atau pihak elit pemerintah, telah diambil tindakan dengan pantas walaupun tindakan seumpama itu tidak perlu sama sekali.

“Kerajaan pada hari ini dipilih atas janji untuk membolehkan pengaliran maklumat yang bebas dan untuk menjamin kebebasan media,” kata mereka.

Jelas kenyataan itu, aduan daripada para pengamal media bahawa laman web mereka telah disekat semakin meningkat. 

Menurutnya ia adalah trend tidak sihat yang mesti dihentikan serta-merta. 

“Kami percaya bahawa badan pengawal selia terbabit mempunyai keutamaan yang lain, dan oleh itu, menyekat laman web bukanlah salah satu daripadanya.

“Walaupun kami memahami Internet telah menjadi pencetus kebencian dan penyebaran maklumat yang salah namun kami percaya pengamal media adalah individu yang berdisiplin dipandu oleh profesionalisme dan etika.

“Alam media sosial yang tidak terkawal boleh difahami sebagai masalah. Kami mengakui bahawa maklumat salah dan berita palsu sudah sampai pada tahap krisis,” tegas kenyataan itu.

Bagaimanapun mereka juga percaya peranan yang harus dimainkan oleh media bebas di negara ini. 

“Kerajaan mesti memastikan ekosistem yang betul dan persekitaran yang kondusif untuk pengamal media bekerja tanpa rasa takut dan pilih kasih,” kata kumpulan berkenaan, lapor Malaysiakini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *