abdul hadi awang PAS logo

PRK Pulai: Hadi ulangi kerajaan boleh berubah bila-bila masa

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa bahawa keputusan memberangsangkan gabungan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai pada 9 September ini boleh menjadi pencetus kepada perubahan dalam kerajaan Persekutuan.

Sebelum ini, pemimpin PN juga membuat dakwaan serupa menjelang enam pilihan raya negeri yang lalu.

Beliau berkata, ada pihak yang mendakwa PRK Pulai tidak akan membawa sebarang perubahan di peringkat Persekutuan kerajaan hanya PRK.

“Namun ia sebenarnya ada makna besar sebab ahli Parlimen yang menang nanti akan bercakap bagi pihak kita di Parlimen.

“Apatah lagi PN memiliki jumlah kerusi agak besar di Parlimen… kerajaan boleh berubah bila-bila masa sahaja.

“Kita memerlukan tambahan kerusi ini untuk banyak lagi… dan kita harap bersabar,” katanya kepada pemberita di Markas Pas Pulai, Johor Bahru malam tadi.

Beliau seterusnya menyatakan harapan agar UMNO berubah fikiran dan pemimpinnya ‘bertaubat’.

“UMNO yang insaf supaya berubah… kerajaan akan berubah pada bila-bila masa. Itu boleh berlaku. Jangan bimbang,” katanya lagi.

Pada 7 Ogos lalu, Hadi mendakwa kemenangan PN dalam enam pilihan raya negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan akan membuka jalan kepada perubahan dalam pentadbiran kerajaan persekutuan.

Semalam Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan mengibaratkan istilah ‘gelombang rakyat’ yang dicipta PN hanya sebagai cakap kosong yang dicipta pakatan pembangkang.

Katanya, adalah tidak tepat untuk menggambarkan bahawa seluruh negara menyokong ‘gelombang’ tersebut apabila PN hanya menguasai empat negeri.

Negeri yang dimaksudkan ialah Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Macam mana pula itu dipanggil gelombang rakyat? Malaysia ada 14 negeri, mereka (PN) dapat empat negeri sahaja. Kita ada 10 (negeri).

“Takkan mereka tak tahu matematik, 10 jauh lebih banyak daripada empat.

“Jangan nak kata itu gelombang rakyat, temberang diorang saja. Itu hanyalah ‘gelombang hijau’ yang tak sampai ke mana dan empat negeri itu sahajalah gelombangnya,” katanya.

Ahmad, yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO, menyatakan keyakinan bahawa pengundi di Simpang Jeram dan Pulai akan bersikap rasional dalam membuat keputusan yang tepat untuk memilih wakil rakyat bagi kerusi DUN dan parlimen masing-masing.

Kerajaan Persekutuan yang dianggotai parti Pakatan Harapan, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai majoriti besar di Parlimen, manakala PN hanya mempunyai 73 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

PRK Simpang Jeram dan Pulai diadakan berikutan kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai, sehari selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Pertembungan tiga penjuru akan berlangsung bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, antara calon PH l, Ir. Nazri Abdul Rahman, calon PN, Dr. Mohd. Mazri Yahya, dan calon bebas S. Jeganathan.

Sementara itu, di Pulai, Suhaizan Kaiat dari PH akan berdepan calon PN, Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.

Pada pilihan raya umum ke-15, Salahuddin memenangi kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti 33,174 undi, memperoleh 64,900 undi, mendahului calon BN, Datuk Nur Jazlan Mohamed (31,726 undi) dan calon PN Loh Kah Yong (20,677).

Salahuddin turut mempertahankan kerusi Simpang Jeram pada pilihan raya negeri Johor Mac tahun lalu dengan meraih 8,749 undi menentang Zarul Salleh dari PN (6,350 undi), Lokman Md. Don dari BN (6,062 undi) dan Mahaizal Mahmor dari Pejuang (208 undi).

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya, terdapat 166,653 pengundi berdaftar, 165,799 pengundi biasa, 927 anggota polis dan pasangan, dan 26 pengundi pos luar negara di kawasan Parlimen Pulai.

DUN Simpang Jeram mempunyai 40,379 pengundi berdaftar, 40,373 pengundi biasa, dan enam pengundi pos luar negara.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *