Johor larang aktiviti politik, kempen di masjid, surau

KERAJAAN Johor melarang sebarang aktiviti politik dan kempen termasuk calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dalam masjid dan surau.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, larangan itu bagaimanapun tidak membabitkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi atau pihak yang mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

“Individu atau ahli politik bukan beragama Islam pula hendaklah mewakilkan kepada pegawai khas yang beragama Islam dalam program pengimarahan dengan syarat mematuhi garis panduan ditetapkan.

“Antara syarat itu termasuklah mereka tidak dibenarkan sama sekali menyampaikan ucapan, menyempurnakan acara perasmian atau pelancaran, berceramah, memberi tazkirah, menjadi imam, serta memakai pakaian berlogo politik.

“Sebaliknya, apa-apa acara membabitkan agihan bantuan atau sumbangan boleh dilaksana di luar kawasan masjid dan surau atau di tempat perhimpunan awam seperti dewan serbaguna, dataran, padang dan sebagainya.

“Sekiranya acara tersebut perlu dilaksana di kawasan masjid dan surau, maka pembabitan adalah terhad kepada individu beragama islam dan mematuhi garis panduan ditetapkan,” katanya menerusi satu kenyataan di Johor Bahru, hari ini, lapor Harian Metro.

Katanya, apa-apa bentuk kerja pembinaan atau kerja baik pulih masjid dan surau oleh pihak berkenaan dibenarkan dengan syarat tidak meletakkan nama parti politik dalam projek.

Malah katanya, menggantung bendera, logo, sepanduk parti dan apa-apa simbol yang mengandungi politik kepartian atau membina fizikal bangunan yang cenderung kepada maksud sesebuah parti politik juga tidak dibenarkan.

Penganjur dan individu yang gagal mematuhi larangan itu boleh dikenakan tindakan berdasarkan Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *