SIASATAN perlu dilakukan terhadap kerajaan Selangor dan program Skim Insurans Am Selangor (Insan), kata Timbalan Pengerusi Biro Perlembagaan dan Undang-undang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Sasha Lyna Abdul Latif.
Jelasnya, ini kerana kerajaan dan program tersebut sudah melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA), dakwa Bersatu.
“Undang-undang yang mengawal hal insurans menyatakan persetujuan seseorang perlu sebelum mereka menyertai sesuatu kontrak.
“Memandangkan polisi itu telahpun dikeluarkan kepada semua pengundi Selangor tanpa pengetahuan mereka, semua pendedahan prakontrak tidak dipatuhi dan ia juga dilakukan tanpa sebarang tawaran atau penerimaan kontrak insurans.
“Skim insurans tidak pernah diumumkan dan pemegang polisi tidak pernah diberi pilihan untuk ditawarkan skim insurans apatah lagi menerima tawaran itu.
“Secara ringkasnya, seluruh siri perbuatan jenayah yang melanggar FSA telah dilakukan. Ini mengejutkan kerana ia adalah inisiatif kerajaan Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, beberapa penduduk Selangor mendakwa mereka didaftarkan untuk skim insurans percuma yang disokong negeri itu tanpa pengetahuan.
Maklumat insurans mereka juga boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang mempunyai nombor kad pengenalan.
Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan kerajaan negeri hanya bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk prapendaftaran penduduk Selangor untuk program itu menggunakan maklumat daripada daftar pemilih.
Katanya, mereka masih perlu melalui satu set prosedur untuk mengaktifkan skim berkenaan.
“Jika anda tidak berminat (menyertai Insan), anda tidak perlu mengaktifkannya,” kata Amirudin sambil menambah, langkah keselamatan akan diperketatkan untuk melindungi maklumat peribadi.
Sasha Lyna menegaskan mengikut FSA, sebelum sesuatu skim insurans ditawarkan, pihak yang membuat penawaran perlu mendedahkan butiran seperti nama penanggung insurans berlesen, hubungan antara penanggung insurans dan pihak yang menawarkan insurans, syarat-syarat polisi, dan amaun yang perlu dibayar.
Jelasnya, kegagalan untuk mendedahkan perkara itu boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda sehingga RM10 juta, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Selanjutnya, FSA menetapkan bahawa tiada penanggung insurans atau broker insurans boleh mendorong seseorang untuk menyertai kontrak melalui kenyataan palsu atau mengelirukan, atau dengan menyembunyikan fakta material.
“Oleh itu, FSA 2013 sangat jelas bahawa orang yang membuat kontrak insurans mesti mengetahui dan menerima kontrak serta identiti syarikat insurans,” katanya.
Sasha Lyna juga mempersoalkan dakwaan kerajaan bahawa mereka kekal menjaga kerahsiaan data, dan memastikan ia tidak dikongsi dengan projek pengendali Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd yang lain seperti perkhidmatan e-dompetnya.
Dia juga mendakwa laman web program Insan diubah hanya pada dua hari lalu untuk memaklumkan pengguna yang layak untuk skim insurans sama ada mendaftarkan diri mereka di pejabat Adun atau melalui laman web Wavpay.
“Ini jelas satu perkara yang difikirkan semula selepas laman web dan sistemnya tersekat apabila orang ramai cuba menyemak sama ada mereka turut menjadi mangsa skandal ini,” dakwanya, lapor Malaysiakini.
Leave a Reply