Beri peruntukan sama rata kepada pembangkang di Melaka-ADUN PN

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Aleef Yusof menggesa kerajaan Melaka memberi peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang seperti dilakukan kerajaan negeri diperintah Perikatan Nasional (PN).

ADUN PN itu mendakwa beliau dan ADUN Bemban, Mohd. Yadzil Yaakub tidak mendapat peruntukan sewajarnya dan jumlah yang diterima jauh lebih rendah berbanding ADUN kerajaan.

“Sudah tiba masanya kerajaan negeri yang diketuai oleh Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh selaku Ketua Menteri Melaka baru mencontohi usaha ini supaya saya dan ADUN Bemban dapat sama-sama menyumbang dan membantu rakyat di kawasan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Aleef berkata, sudah tiba masanya semua pihak mengamalkan politik matang di Melaka dan hak rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan Bemban juga wajar dipenuhi.

“Setiap hari begitu ramai pihak yang tampil dan menghubungi bagi memohon bantuan. Amat menyedihkan ianya tidak dapat dipenuhi,” katanya, lapor FMT.

Terdahulu, kerajaan negeri Kelantan pada Rabu lalu mengumumkan pemberian peruntukan sama kepada Adun termasuk pihak pembangkang.

Menteri Besarnya, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud yang dipetik Sinar Harian berkata, pihaknya akan berlaku adil kepada semua wakil rakyat sama ada kerajaan atau pembangkang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *