AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang meminta agar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempertimbang semula keputusan memindahkan 125 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sekolah Rendah Agama (SRA) di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor.
ADUN Sungai Panjang, Mohd. Razali Saari berkata, ketetapan itu perlu diperhalusi kerana ia melibatkan soal jarak perjalanan jauh untuk mengajar dan kekangan kewangan dihadapi guru terlibat.
“Saya tidak berniat untuk campur tangan tentang urusan pentadbiran berkaitan guru KAFA, namun sebagai wakil rakyat sudah tentu berasa simpati dengan mereka terutama yang berusia melebihi 50 tahun kerana terpaksa melalui laluan lebih jauh berbanding bertugas dalam daerah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Mohd. Razali berkata, guru KAFA juga kebanyakan daripada mereka hanya menerima elaun sebanyak RM1,500 sahaja sebelum penolakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain.
“Bagaimana mereka akan meneruskan pekerjaan dengan hati gembira selain peningkatan kos pengangkutan.
“Saya berharap pihak berwajib dapat memperhalusi semula ketetapan ini dan layanlah mereka sebaiknya yang telah banyak membantu anak-anak kita mengenal agama daripada peringkat awal persekolahan,” ujarnya.
Dalam pada itu, ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, rata-rata guru KAFA yang diarahkan berpindah mengeluh berikutan keputusan tersebut.
Jelas beliau, dalam keadaan guru KAFA yang masih bergaji minimum mereka terpaksa berulang-alik ke tempat mengajar di sekolah lebih jauh.
“SAYA AMAT TERKESAN DAN SEDIH MELIHAT SITUASI DI SRA DI KAWASAN KUALA SELANGOR INI YANG TERLIBAT DALAM PEMINDAHAN BERAMAI-RAMAI,” UJARNYA.
Menurut Nurul Syazwani, perpindahan guru KAFA itu juga memberi kesan emosi kepada murid yang perlu menghadapi peperiksaan besar di sekolah terlibat.
“Saya sendiri akan turun ke lapangan untuk melihat sendiri dan mengambil maklumat lebih terperinci berkenaan masalah ini dan berharap dapat berjumpa dengan pihak berkenaan dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan serta penyelesaian,” tambahnya.
Sementara itu, ADUN Sungai Burong, Dr. Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin berkata, JAIS perlu melihat semua sudut terutama dalam hal berkaitan kebajikan guru KAFA.
“Mereka ini kebanyakannya bergaji minimum dan ada yang komen (di media sosial) sama seperti pekerja pembersihan serta berdepan kos (perjalanan) pergi dan pulang ke sekolah,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd. Zamri memberitahu, perkara itu perlu dilihat secara holistik dan menyeluruh.
“Kita tidak mahu mana-mana pihak tertuduh dan dizalimi sebab saya difahamkan bahawa ramai guru KAFA di bandar (berhenti) dan masuk (memulakan perkhidmatan) di KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) dengan skim lebih tinggi.
“Apabila (jawatan guru KAFA) kosong, ini akan ditampung oleh guru yang masih ada dan keperluan tenaga pengajar di bandar lebih tinggi berikutan kepadatan penduduk berbanding di kampung,” ujar beliau.
Sinar Harian hari ini melaporkan, JAIS mengesahkan seramai 125 guru KAFA di SRA di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor terlibat dalam penstrukturan baharu bagi memenuhi keperluan di negeri ini.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, seramai 125 guru KAFA iaitu 45 dari Sabak Bernam dan 80 guru di Kuala Selangor terlibat dalam penyusunan semula tersebut.
Menurutnya, penyusunan itu melibatkan pergerakan 45 guru KAFA dari Sabak Bernam ke Kuala Selangor, manakala 50 guru lagi dari Kuala Selangor ke Klang dan 30 lagi ke Gombak.
Leave a Reply