MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menasihati Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli supaya berjiwa besar dalam menguruskan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Katanya, walaupun mempunyai pandangan yang hebat, Rafizi juga perlu terbuka mendengar pandangan orang lain.
“Kita perlu jiwa besar, bukan merasa diri besar. Pandangan kita walau hebat macam mana pun, ada kalanya kena berpijak di alam nyata.
“Tidak rugi untuk duduk mendengar pandangan rakyat di bawah,” katanya menerusi Facebook miliknya.
Samsuri berkata demikian bagi mengulas kenyataan Rafizi mengenai kurangnya pelan ekonomi di empat negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN).
Menurut Rafizi, walaupun Putrajaya memberi tumpuan kepada kepada Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis daripada segi peruntukan pembangunan, tetapi negeri itu tidak ada sebarang pelan untuk ekonomi dan meminta lebih peruntukan lagi.
Samsuri berkata, isu yang dibangkitkan oleh Rafizi, adalah umpama ‘mengail ikan tetapi mata kail di kaki sendiri’.
“Hasil yang diperolehi dan dikumpulkan oleh negara adalah diperolehi dari semua rakyat dan semua negeri.
“Maka semua negeri ada harga diri dan peranannya, kerana yang bernama Malaysia adalah dibina dari semua negeri ini,” kata Samsuri yang juga Naib Presiden Pas.
Samsuri berkata, perlu ada hubungan harmoni antara Putrajaya dan kerajaan negeri dengan semangat federalisme yang mengukuh terutama selepas pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.
Katanya, sekiranya Rafizi marahkan penduduk Terengganu kerana memilih Pas, beliau sanggup menjadi sasaran kemarahan itu bukannya rakyat negeri itu.
“Jangan dera rakyat kerana pilihan mereka,” katanya memetik laporan FMT.
Leave a Reply