PRK:Calon PN Pulai dekati seramai mungkin pengundi, cari penyelesaian masalah rakyat

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar akan menggunakan kelebihan sebagai anak kelahiran Tampoi, Johor Bahru untuk berdamping dan mendekati pengundi.

“Saya akan memanfaatkan tempoh kempen sepanjang 14 hari untuk fokus masalah rakyat.”

Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pulai itu berkata, beliau akan bergerak bersama jentera mengikut jadual yang sudah disusun dan berharap mampu berkempen ke seluruh pelusuk Pulai.

“Saya akan lihat pelbagai masalah seperti banjir kilat serta isu rakyat yang lain.

“Kelebihan sebab saya lebih mengenali mereka (pengundi) dan sebelum ini saya juga banyak bertemu dengan masyarakat khususnya semasa pendemik Covid-18, insya-Allah saya akan berusaha sedaya upaya untuk membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru hari ini.

Ini adalah kali pertama Zulkifli yang merupakan seorang usahawan dan aktif sebagai Timbalan Pengerusi Komuniti Keluarga Malaysia Parlimen Pulai bertanding dalam pilihan raya.

Terdahulu lebih 1,000 penyokong PN hadir memberikan sokongan dengan berarak mengiringi Zulkifli dengan paluan gendang, sorakan dan kibaran bendera parti di samping selawat.

Antara pemimpin parti yang hadir Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Turut hadiri Naib Presiden Bersatu serta Ahli Majlis Tertinggi PN, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *