PRK: Tempoh kempen bermula, calon atur strategi pikat pengundi

SEBAIK tamat tempoh proses penamaan calon pada pukul 10 pagi tadi, calon-calon yang layak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram kini mula ligat melaksanakan strategi untuk memikat pengundi.

Bagi Naib Pengerusi Amanah Negara (Amanah) Johor Suhaizan Kaiat yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH), tempoh kempen selama 14 hari

Suhaizan yang kali ketujuh memasuki gelanggang pilihan raya sebagai calon juga percaya gabungan kekuatan jentera PH-BN (Barisan Nasional) mampu memberikan momentum terhadap kempennya sekali gus membolehkan PH mengekalkan kemenangan di kawasan yang disandang oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini.

“Kali ini saya lebih bersemangat dan lebih meyakinkan (untuk menang)… insya-Allah ia akan diterjemahkan pada kertas undi pada 9 Sept nanti.

“Kita (BN-PH) tidak pernah ada sejarah kerjasama berkempen bersama dalam dua kelompok besar, ini kali pertama di Johor khususnya berdepan pada PRK ini,” katanya kepada pemberita selepas tamat proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Johor Bahru di Johor Bahru hari ini.

PRK Parlimen Pulai menyaksikan Suhaizan menentang calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar dan seorang calon Bebas iaitu Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) Samsudin Mohamad Fauzi.

Sementara itu, Zulkifli, 50, berkata tugasnya dalam PRK kali ini bukan sekadar membawa nama parti dan dirinya, tetapi juga legasi mentornya iaitu Menteri Besar Johor ke-16 Allahyarham Datuk Osman Sapian.

Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai yang juga ahli perniagaan itu berkata beliau akan menggunakan pengalaman sebagai ahli perniagaan dalam bidang logistik dan pengangkutan untuk membantu rakyat meningkatkan taraf ekonomi menerusi perniagaan.

“Selain itu, saya juga mahu memberikan fokus terhadap kesejahteraan rakyat dan apa perkara yang dilihat kurang diambil perhatian di Pulai, akan diambil perhatian,” katanya.

Bagi calon Bebas di Parlimen Pulai, Samsudin yang bertanding dengan menggunakan logo kunci pula mempunyai visi untuk membawa suara rakyat terutama dalam isu kenaikan harga barang dan kes-kes penipuan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lepas, Samsudin 47, pernah bertanding juga atas tiket sama di Parlimen Putrajaya.

Senarai rasmi calon yang bertanding pada PRK Parlimen Pulai itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kerusi Parlimen Pulai Miswan Yunus.

Di MUAR, perebutan kerusi DUN Simpang Jeram turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri Nazri Abdul Rahman, calon PN iaitu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Mazri Yahya dan calon Bebas yang merupakan ahli perniagaan, S.Jeganathan.

Nazri yang pernah berkhidmat dengan Salahuddin, mahu mendekati pengundi dengan melaksanakan kempen yang bersih dalam suasana harmoni, tanpa menyentuh apa-apa isu berkaitan 3R (kaum, agama dan raja).

“Hasrat saya agar tiada provokasi dan segalanya berjalan dengan baik dan mudah-mudahan diberi kemenangan,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Mazri, 54, yang merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat juga berharap agar calon dan jentera parti dapat bersaing dengan sihat, selain memuji kelancaran proses penamaan calon yang dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Calon Bebas, Jeganathan yang bertanding menggunakan logo gajah turut menyuarakan nada sama dan yang mahukan semua pihak yang berkempen tidak menyentuh isu perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian kaum.

SPR menetapkan PRK Pulai dan Simpang Jeram diadakan serentak susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya itu menetapkan 5 Sept sebagai hari pengundian awal, manakala 9 Sept hari mengundi.

Berdasarkan data SPR setakat 23 Julai lepas, seramai 166,653 individu layak mengundi bagi kerusi Parlimen Pulai dan bagi DUN Simpang Jeram pula seramai 40,379 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat baharu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *