Hamzah nafi PN syok sendiri, sebaliknya UMNO yang syok sendiri

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan gabungan politik itu syok sendiri berkenaan dakwaan UMNO bahawa gelombang rakyat menyokong PN akan berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Beliau berkata, itu hanya
satu bentuk sindrom penafian UMNO yang sekadar cuba menafikan hakikat sebenar seperti yang mereka lakukan semasa pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.

“Pada PRN sebelum ni pun dia cakap sama juga, jadi ayat syok sendiri adalah perbualan daripada mulut mereka, jadi kita tak ambil kisah tentang apa yang mereka cakap sebab rakyat pun tau apa mereka cakap rakyat tak lupa pun.

“Jadi pada saya biarlah sindrom penafian yang ada dengan mereka itu sesuatu yang mereka boleh bawa untuk masa depan mereka syok sendiri, sindrom penafian itu adalah syok sendiri mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru, hari ini.

Terdahulu beliau mengetuai perarakan mengiringi calon PN, Zulkifli Jaafar untuk penamaan calon kerusi Parlimen Pulai menentang calon Pakatan Harapan (PH) dan BN, Suhaizan Kaiat serta calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.

Turut hadir Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Ronald Kiandee dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr. Radzi Md. Jidin.

Berkenaan calon PN yang merupakan muka baharu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, pemilihan Zulkifli kerana parti yakin beliau akan mampu berkhidmat selain tahu tanggungjawab serta memahami kepentingan rakyat.

Jelasnya, kelebihan Zulkifli sebagai aktivitis masyarakat sebelum ini akan turut membantu dalam usaha merampas kerusi Parlimen Pulai daripada PH.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan persediaan dan momentum jentera PN yang dilihat berjalan lancar serta licin semasa berkempen nanti.

“Ini bagi memastikan rakyat dapat memahami apa tanggungjawab dan apa yang kita perjuangkan,” ujar Ahli Parlimen Larut itu.

Hamzah berharap, rakyat terutama pengundi akan membuat pilihan yang tepat dalam PRK itu nanti dan boleh merujuk kejayaan PN semasa menjadi kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Menurutnya, semasa menjadi kerajaan, PN tidak mencari kesalahan pihak lawan sebaliknya mencari penyelesaian masalah rakyat sekali gus membantu mereka dan ini boleh dibuktikan semasa pandemik Covid-19.

Katanya, pemerintahan PN amat cemerlang namun apabila diambil alih kerajaan pada hari ini, ekonomi menurun malah analisis berpendapat pertumbuhan ekonomi negara yang diunjurkan lima peratus pada tahun ini tidak akan berlaku.

Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa puas hati dengan kehadiran penyokong PN dianggarkan lebih 1,000 yang menunjukkan sokongan sekali gus menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan hari ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *