KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) Terengganu mahu mewujudkan kumpulan ‘pembangkang’ yang bukan macam UMNO di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Razali Idris berkata, parti pemerintah sedang mempertimbangkan untuk melantik empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dalam kalangan profesional, golongan minoriti bukan Islam, orang kurang upaya (OKU) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada pelbagai bidang.
“Pembangkang yang kita nak wujudkan ini sudah tentu mereka yang membangkang untuk membetulkan kerajaan, bukan pembangkang yang bermatlamat macam UMNO dulu di Terengganu untuk meruntuhkan kerajaan,” kata Razali memetik laporan FMT.
Perkembangan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 peringkat DUN Terengganu menyaksikan PN menawan semua 32 kerusi undangan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini berkata, undang-undang tubuh kerajaan Terengganu membolehkan kerajaan negeri melantik ADUN sekiranya ada kelompok tertentu tidak ada perwakilan.
Razali berkata, pelantikan ADUN lantikan itu sudah dibincangkan namun masih lagi dalam penelitian.
“Keputusan akan dibuat secepat mungkin,” katanya.
Ditanya sama ada pemerintah sedia melantik ahli politik parti yang tewas pada pilihan raya negeri (PRN) lepas, Razali berkata, keutamaan kepada golongan profesional yang bebas dari pengaruh politik.
“Pembangkang yang kalah itu tak perlu. Mereka kena muhasabah diri kenapa rakyat tolak mereka. Tak pernah ada dalam sejarah Terengganu rakyat tolak 40-0… 32 DUN, lapan Parlimen,” katanya.
Sebelum ini, bekas ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyarankan kerajaan Terengganu melantik 10 Adun dalam kalangan NGO dan golongan minoriti yang akan berfungsi sebagai pembangkang.
Leave a Reply