Pahang tak lantik EXCO baharu ganti Allahyarham Johari, setuju agih tugas

KERAJAAN Pahang tidak akan melantik Exco baharu dalam masa terdekat untuk mengisi kekosongan portfolio disandang Allahyarham Datuk Seri Johari Harun susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai itu akibat nahas pesawat di Elmina, Selangor, minggu lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keseluruhan barisan Exco kerajaan negeri ini telah sebulat suara bersetuju untuk portfolio itu diagihkan kepada mereka yang sudah dipilih.

“Barisan kepimpinan kerajaan negeri bersetuju mengagihkan portfolio yang digalas Allahyarham sebelum ini, iaitu kerajaan tempatan, perumahan, alam sekitar dan teknologi hijau.

“Kita telah mengagihkannya kepada beberapa Ecxo yang berkenaan. Bagi portfolio kerajaan tempatan dan perumahan, saya minta Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob untuk jaga sekejap,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Bacaan Yasin dan Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Pahang 2023 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, di Temerloh, malam tadi.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy memaklumkan portfolio alam sekitar diserahkan kepada ADUN Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff, manakala ADUN Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib, bertanggungjawab terhadap teknologi hijau.

Sementara itu ditanya mengenai pemilihan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pula, Wan Rosdy berkata, beliau belum menerima senarai nama berkenaan daripada UMNO Bahagian Bentong.

“Saya masih menunggu senarai nama itu daripada UMNO Bahagian Bentong. UMNO bahagian itu akan bincang tetapi setakat hari ini (semalam), saya belum dapat lagi senarai nama berkenaan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *