BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi gagal menggantung perbicaraan 1MDB dihadapinya selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan penangguhannya.
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Hadhariah Syed Ismail berkata mereka bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar bahawa tidak ada keadaan khas untuk menggantung perbicaraan.
“Kami juga tidak bersetuju dengan peguam (Tan Sri Shafee Abdullah) bahawa rayuan Najib agar hakim perbicaraan menarik diri akan menjadi batal jika penangguhan tidak dibenarkan,” kata Hadhariah, yang bersidang bersama Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah.
Beliau berkata, tiada sebab kukuh untuk menangguhkan perbicaraan dan oleh itu, permohonan itu tidak mempunyai merit.
Hadshariah menambah bahawa kepentingan awam menuntut perbicaraan itu perlu diteruskan.
“Perbicaraan itu di peringkat lanjut kerana terdapat 173 hari prosiding dengan 46 saksi pendakwaan dipanggil setakat ini,” katanya, lapor FMT.
Perbicaraan yang kini berada di penghujung kes pendakwaan, akan disambung semula pada Isnin.
Leave a Reply