Penagih dadah bakar rumah keluarga berang tidak dapat rokok

BERANG tidak diberikan rokok, seorang penagih bertindak membakar rumah keluarganya dalam kejadian di Pokok Sena, Kepala Batas, Pulau Pinang malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, suspek berusia 47 tahun yang baru keluar penjara didakwa mengamuk selepas adiknya enggan memberikan rokok kepadanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Assisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, adiknya yang tidak tahan dengan amukan suspek kemudiannya ke Balai Polis Kepala Batas untuk membuat laporan.

Bagaimanapun, tambah beliau, ketika dalam perjalanan ke balai polis, dia dihubungi jiran yang memaklumkan rumah dua tingkat didiami mereka terbakar.

“Jirannya memberitahu suspek telah membakar rumah terbabit, malah berjaya ditangkap di lokasi kejadian.

“Suspek tinggal di rumah itu bersama ibu serta adiknya, namun ketika kejadian, ibu mereka berada di Balik Pulau,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, rumah dua tingkat itu dilengkapi lima bilik, dua bilik air dan ruang tamu dengan bahagian atas rumah adalah kayu manakala bahagian bawah simen.

Ujarnya, kebakaran itu menyebabkan kemusnahan sebanyak 95 peratus termasuk empat motosikal lama yang sudah tidak digunakan.

“Kediaman jiran berhampiran turut disambar api dan terbakar di bahagian dinding dapur,” katanya.

Mohd. Asri menambah, berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku membakar langsir rumah dengan menggunakan pemetik api di bilik tidurnya sendiri sehingga api marak dan membakar keseluruhan rumah.

Jelas beliau, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan memiliki 14 rekod kesalahan lampau.

“Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *