Mekah dilanda ribut, hujan lebat

JEMAAH umrah dan penduduk di Mekah, Arab Saudi berdepan situasi cemas apabila cuaca bertukar buruk secara tiba-tiba membawa hujan lebat dan ribut petir pada petang Selasa.

Video tular menunjukkan jemaah umrah bergegas mencari perlindungan ketika ada di antara orang ramai berhampiran Masjidilharam hampir diterbangkan angin kencang dalam kejadian menghampiri waktu Maghrib.

Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi pada Rabu mengeluarkan amaran cuaca tahap merah untuk Mekah dan beberapa wilayah lain dengan cuaca tidak menentu dijangka berterusan sepanjang Rabu.

Video yang dikongsi di Instagram menunjukkan bagaimana jemaah umrah berhadapan dengan angin kencang yang melanda kota suci tersebut.

Selain itu, penghadang di perkarangan Masjidilharam turut diterbangkan oleh angin kuat.

Mereka yang berada di jalan raya dirakam berlari mencari perlindungan, sementara kakitangan di Masjidilharam hampir terjatuh kerana cuba menahan tong sampah besar daripada diterbangkan angin.

Malah pemandangan luar biasa turun dirakam apabila kilat berwarna ungu menyambar Menara Jam Mekah lapor Khaleej Times.

Papan iklan juga tumbang dan jalan raya dilanda banjir kilat.

Sementara itu, menurut NCM, hujan lebat dan ribut petir akan terus berlaku di Mekah sehingga Khamis.

Penduduk dinasihatkan untuk mengambil langkah tambahan berjaga-jaga.

Menurut penduduk, ribut petir itu disifatkan antara yang terburuk selepas kejadian ribut yang menyebabkan tragedi kren tumbang pada tahun 2015.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *