AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C2 di perairan Batu Maung, Georgetowm semalam selepas disyaki menggajikan kru warga asing tanpa permit yang sah.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim S. P. Nak Rong berkata, bot dengan muatan dua tan hasil tangkapan ikan campur itu ditahan di kedudukan 0.3 kilometer timur Batu Maung.
Terdahulu, ujar beliau, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan operasi penguatkuasaan di perairan Batu Maung telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas C2 sebelum dirapati untuk pemeriksaan.
”Hasil pemeriksaan awal, bot berkenaan didapati menggunakan pukat jerut sebagai alat penangkapan ikan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas bot turut mendapati seramai 16 kru termasuk tekong terdiri daripada lima kru warga Thailand, seorang Myanmar dan 10 warga Kemboja masing-masing berumur antara 19 hingga 59 tahun.
”Seramai 15 kru asing yang berada di atas bot berkenaan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang kru warga Myanmar direman selama 14 hari bagi membantu siasatan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambahnya, bot tersebut kemudian ditahan dan disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran Pengarah Perikanan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki permit yang sah.
”Bot dan hasil tangkapan dianggarkan bernilai RM6,000 telah dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Leave a Reply