3,500 polis bertugas penamaan calon PRK Pulai, Simpang Jeram 

SERAMAI 3,500 pegawai dan anggota polis di negeri ini akan ditugaskan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Muar, pada Sabtu ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata seramai 2,500 pegawai dan anggota ditempatkan di pusat penamaan calon PRK Pulai dan kawasan sekitarnya, manakala selebihnya di DUN Simpang Jeram.

“Kesemua pegawai dan anggota ini termasuk kereta-kereta peronda akan digerakkan ke pusat penamaan calon dan kawasan sekitar untuk membuat pemantauan dan menjaga keselamatan bagi memastikan tiada sebarang gangguan berlaku,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi, hari ini.

Pada masa yang sama, Kamarul Zaman menasihati calon serta penyokong parti politik supaya mematuhi segala arahan dan peraturan yang diberikan pihak polis serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang proses penamaan calon berlangsung.

Beliau turut mengingatkan calon dan penyokong agar tidak mencetuskan sebarang provokasi serta saling menghormati antara satu sama lain.

Sementara itu, beliau berkata 927 anggota polis akan mengundi awal pada PRK Parlimen Pulai, namun tiada anggota yang terlibat bagi pengundian awal PRK DUN Simpang Jeram.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon kedua-dua PRK pada Sabtu ini, 5 September pengundian awal dan hari pengundian pada 9 September.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *