NAIB Presiden MIC, Datuk T Mohan berkata, UMNO dipersilakan untuk bertanding menggunakan logo sendiri dalam mana-mana pilihan raya, jika parti itu yakin menjadi pilihan pengundi kawasan.
Tegas beliau, MIC tidak mempunyai halangan untuk UMNO berbuat demikian sekiranya parti itu mendapat kepercayaan pengundi di kawasan yang dipertandingkan.
Beliau bagaimanapun berkata, konsep utama Barisan Nasional (BN) adalah kebersamaan antara parti komponen yang dipegang sejak puluhan tahun lalu.
“Terpulang kepada fikiran UMNO jika mahu bertanding atas tiket sendiri, sekiranya mereka mendapat kelebihan majoriti kaum. Jika kawasan itu Melayu, mungkin itu boleh dilakukan.
“Tetapi mengikut konsep kebersamaan BN yang dipegang sejak puluhan tahun, walau siapa pun calon yang dipilih tanpa mengira Melayu atau India, kita sentiasa bersama MCA, parti Sabah dan Sarawak.
“Apa yang mustahak kita perlu tanya ialah, adakah parti itu masih kekal relevan dan pemimpin parti itu sendiri masih relevan,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.
Semalam, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said melontarkan persoalan sama ada parti itu boleh mempertimbang untuk bertanding atas tiket UMNO berbanding logo BN pada pilihan raya akan datang.
Ia dilontarkan Azalina ketika UMNO kini berdepan penolakan orang Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, selain ‘perselisihan’ dalaman dikhabarkan meletus antara kepimpinan parti komponen BN sejak berakhir Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.
“Izinkan saya untuk melontarkan persoalan ini, adakah sudah tiba masanya untuk UMNO bertanding atas tiket UMNO pada pilihan raya akan datang atau masih lagi di bawah bendera BN, ataupun di bawah BN dengan gabungan baharu?” katanya.
Mengulas lanjut, Mohan berkata, MIC sendiri mengakui mereka sukar untuk menang sekiranya bertanding atas tiket sendiri tanpa kehadiran parti komponen BN.
“Pendirian kita jika mahu bertanding bukan berdasarkan perkauman atau menggunakan logo sendiri. Kita tahu kita sukar menang walaupun mempunyai majoriti kaum,” katanya.
Beliau turut berkata, MIC sebenarnya tidak terkejut dengan persoalan yang dikeluarkan oleh Azalina itu malah menganggap ia sebagai kenyataan peribadi selagi ia tidak dikeluarkan oleh Presiden UMNO.
“Itu pendirian dia, bukan hadir daripada Presiden UMNO,” katanya yang mengesahkan, tiada perbincangan antara pemimpin parti komponen berhubung perkara itu setakat ini.
Leave a Reply