MENTERI Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming enggan mengulas lanjut gesaan Pemuda UMNO bagi menjelaskan kenapa logo DAP tertera pada replika cek sumbangan di beberapa sekolah di Ipoh.
“Tiada isu. Apa yang penting sekolah dapat sumbangan,” katanya menurut Free Malaysia Today.
Beliau menyatakannya kepada pemberita selepas hadir pada program di kementeriannya.
Pada Sabtu, dilaporkan sebanyak 17 sekolah aliran Cina di Perak menerima sumbangan berjumlah RM1.8 juta daripada Kementerian Pendidikan untuk kerja membaik pulih dan menaik taraf.
Nga yang juga naib pengerusi DAP hadir menyampaikan sumbangan itu.
Gambar tular menunjukkan logo DAP pada replika cek itu, bersama logo Pakatan Harapan dan Malaysia Madani, selain tertera jata negara.
Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh kemudian menggesa DAP menjelaskan kaitan logo DAP pada replika cek jika ia adalah sumbangan pihak kerajaan.
Leave a Reply