Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia cerminan kejayaan setiap peringkat pendidikan

PELAN Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang terkandung dalam Laporan Tahunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2022 yang dilancarkan semalam merekodkan kejayaan cemerlang pelan induk pendidikan tersebut sejak pelaksanaannya pada tahun 2013.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd Amin berkata, perjalanan pelaksanaan PPM yang dilancarkan bekas Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencerminkan kecekalan dan inovasi mampan yang boleh menjadi ikutan dalam mengatasi segala bentuk rintangan dan halangan.

Menurutnya, penilaian setiap laporan tahunan dari tahun 2013 hingga 2022 jelas membuktikan 10 tahun pelaksanaan PPPM telah menghasilkan kejayan yang cukup bermakna.

“PPPM telah mengorak langkah berwawasan bagi negara kita dalam mengukuhkan aksesibiliti dan kualiti, kesaksamaan, perpaduan serta kecekapan dalam pendidikan.

“Pelan induk pendidikan ini telah menggariskan trajektori luar biasa untuk sektor pendidikan Malaysia, sekali gus membentuk masa depan yang lebih cerah demi generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Azril dalam pada itu berkata, Laporan Tahunan 2022, yang dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaparkan pencapaian PPPM menerusi pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan, di samping kejayaan dan peningkatan prestasi pelajar, penyempurnaan latihan guru hinggalah kelancaran perjalanan integrasi teknologi di dalam bilik darjah.

Menurutnya, impak pelan pembangunan ini boleh dirasai dalam setiap aspek pendidikan merentas semua peringkat.

“MASA ingin merakamkan penghargaan atas komitmen dan kerjasama tidak berbelah-bahagi pelbagai pihak berkepentingan, termasuk masyarakat umum, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan badan-badan korporat, yang telah memainkan peranan penting dalam transformasi pendidikan negara.

“Namun penghargaan tertinggi tentulah wajar diberikan kepada warga pendidikan di semua peringkat kementerian, jabatan dan pejabat pendidikan, khususnya di sekolah seluruh negara.

“Ternyata, sumbangan kolektif mereka telah mengukuhkan kejayaan menyeluruh pelan pembangunan tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Azril meminta masyarakat agar sesekali tidak melupakan peranan penting yang telah dimainkan oleh Muhyiddin, yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia Kelapan dalam memastikan kejayaan PPPM.

Katanya, Ahi Parlimen Pagoh itu telah berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan dari tahun 2009 hingga 2015, dan kepimpinannya yang cemerlang dan berwawasan jelas terbukti melalui penyediaan kerangka pembangunan pendidikan asas yang transformatif ini.

Jelas katanya, dedikasi dan komitmen Tan Sri Muhyiddin telah membuka jalan kepada penghasilan rancangan komprehensif ini yang telah menyaksikan kejayaan transformasi pendidikan sepanjang sedekad lalu.

“Di saat kita melangkah ke tahun seterusnya, MASA komited untuk meneruskan legasi kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin.

“Melalui kerjasama dan inovasi berterusan, kita yakin bahawa asas dan visi yang diilhamkan oleh Tan Sri Muhyiddin akan membawa kita ke arah landskap pendidikan yang lebih bermakna dan berimpak tinggi,” tambahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *