Oleh RIZQI ZABIDI
MESYUARAT Exco pertama kerajaan negeri Kedah dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hari ini membawa khabar gembira kepada sejumlah 5,600 kakitangan kerajaan negeri di negeri ini dengan kesemua mereka akan menerima bantuan khas berjumlah RM400 pada pertengahan bulan depan.
Menurut Muhammad Sanusi, pembayaran bantuan khas itu akan dibuat pada 14 September depan melibatkan peruntukan berjumlah kira-kira RM2.08 juta.
Katanya, keputusan untuk meluluskan pemberian bantuan khas itu selari dengan pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai lalu mengenai Bantuan Khas Penghargaan (BKP) berjumlah RM300 kepada kakitangan Awam di peringkat Persekutuan, yang mana pembayarannya telah dilunaskan pada 10 Ogos lalu.
“Ada keputusan besar diputuskan dalam mesyuarat Exco ini iaitu pemberian bantuan khas kepada kakitangan awam negeri kerana Perdana Menteri dah umum pemberian kepada kakitangan awam Persekutuan berjumlah RM300 sempena Pilihan Raya.
“Perkara itu diumum, kemudian dibayar sewaktu tempoh berkempen. Jadi kita tak buat masa tempoh berkempen sebab takut jadi sogokan pilihan raya.
“Maka selepas pilihan raya negeri (PRN), kita beri RM400 kepada 5,600 kakitangan awam negeri melibatkan peruntukan kira-kira RM2.08 juta. Bantuan khas itu akan dibayar pada 14 September,” katanya dalam sidang akbar selepas mesyuarat tersebut di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, dalam mesyuarat pertama itu, beliau turut memberikan nasihat secara panjang lebar kepada barisan exco baharu mengenai panduan, pedoman dan cara kerja efisien yang perlu dilaksanakan bagi membantu rakyat.
“Ada macam-macam keadaan akan hadir… Maka kita perlu ‘set’ satu cara kerja serta pendekatan yang kemas, cepat dan berdikari. Berdikari itu, andai nilai sendirilah keadaannya… ‘Hang’ tafsirlah macam mana pun,” katanya.
Beliau dalam pada itu memaklumkan, satu pertemuan antara Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali dengan Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) yang bertanggungjawab terhadap agensi Persekutuan, telah diadakan selepas berakhir PRN bagi menyelaras kerja-kerja pentadbiran yang bakal dilaksanakan antara pengurusan kerajaan negeri dan Persekutuan.
Langkah itu katanya, diharap dapat menyelesaikan tanggapan serta dakwaan sebelum ini yang menyatakan kalangan Exco negeri tidak mendapat kerjasama dari agensi kerajaan Persekutuan.
“Saya rasa pertemuan itu akan menyelesaikan tanggapan serta andaian tersebut. Saya percaya kalangan agensi serta pegawai di peringkat Persekutuan bersikap profesional kerana mereka dilantik atas dasar pengurusan yang profesional juga,” katanya.
Leave a Reply