SEORANG ibu di Kajang telah membuat laporan polis mendakwa anak lelakinya yang menghidap autisme dipercayai didera di sekolah kanak-kanak berkeperluan khas.
Ibu kanak-kanak terbabit, Maria Fransiska, 38, mula curiga apabila anaknya Tharun Haree Murugan yang berusia 9 tahun pulang dari sekolah pada 15 Ogos lalu dengan kecederaan pada anggota badan.
“Balik dari sekolah masuk dalam rumah, anak saya terus pergi dapur ambil kotak ubat dan cakap ‘hurt’ ‘hurt’ (sakit) banyak kali.
“Terus dia ambil banded untuk ubat lukanya kat tangan, saya pun bertanya kenapa jatuh ka, sekali lagi anak saya hanya cakap ‘hurt’,” katanya memetik laporan Malaysiakini, hari ini.
Menurut Maria yang merupakan seorang suri rumah, anaknya menghidap echolalia dan tidak dapat berkomunikasi dua hala.
Dia berkata, terdapat beberapa luka dan lebam pada anggota badan sebelah kiri Tharun dan kedua-dua pahanya.
Mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, Maria kemudian membawa anaknya ke hospital kerajaan.
Maria berkata, doktor mengesahkan kecederaan anaknya itu yang konsisten dengan sebatan menggunakan rotan.
“Saya menanyakan pihak sekolah tapi mereka cakap tak ada apa masalah dengan anak saya kat sekolah.
“Saya pun bawa anak saya pergi hospital kerajaan, doktor sahkan anak saya kena pukul dengan rotan dan doktor suruh saya buat laporan polis,” katanya.
Polis kemudian mengatur pertemuan antara dia dan guru Tharun di sekolah Kajang berkenaan, kata Maria.
Bagaimanapun dakwanya, guru sekolah itu tidak dapat menjawab persoalan apa atau siapa yang menyebabkan kecederaan tersebut.
Maria mendakwa pihak sekolah akhirnya meminta maaf kepadanya, mengatakan mereka ‘terlepas pandang’ kejadian itu.
“Hati saya hancur, tak boleh terima macam mana pihak sekolah terlepas pandang dengan anak ‘special’ saya.
“Anak saya boleh bercakap tapi tidak pandai komunikasi dengan orang lain, tak pandai complain,” kata ibu itu lagi.
Menurut Maria, kejadian itu didakwa bukan yang pertama. Dia menyedari Tharun, anak tunggalnya, kembali dengan kesan lebam di pahanya pada tahun lalu.
Ketika itu, dia sekadar menduga bahawa anaknya mungkin terlanggar bahagian pahanya pada sesuatu secara tidak sengaja.
Malaysiakini telah menghubungi Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan, yang mengesahkan pihaknya telah menerima laporan daripada ibu kanak-kanak autisme itu.
“Kes itu sedang dalam siasatan,” katanya ringkas.
Leave a Reply