PEMUDA UMNO akan melakukan kaji selidik bermula esok untuk kenal pasti punca rakyat tidak mengundi Barisan Nasional pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri 12 Ogos lalu.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh berkata, kaji selidik itu bukan bertujuan mencari salah sesiapa tetapi demi mencari punca dan penyelesaian.
“Pemuda UMNO turut mendapatkan pendapat pihak media, selain melantik firma tinjauan pendapat awam bagi melaksanakan kaji selidik tersebut.
“Seandainya dapat keputusan yang sama, ini adalah cerita sebenarnya dan kalau dapatan itu ada yang tidak sama, kita boleh berbincang kerana Umno ini parti keluarga,” katanya menurut Utusan Malaysia selepas menghadiri program di Ayer Keroh, Melaka.
Akmal berkata, kaji selidik itu akan dibuat secara dalam talian yang mana dibuka kepada seluruh pengundi, manakala hasil dapatan dikumpul dan dibentangkan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO.
“Sudah tentunya ini penting bukan sahaja untuk menghadapi PRU16 tetapi yang lebih penting adalah untuk survival UMNO itu sendiri,” katanya.
Pada PRN lalu, UMNO hanya menang 19 kerusi daripada keseluruhan 108 DUN ditandingi.
Parti itu menang 14 kerusi di Negeri Sembilan, masing-masing dua di Selangor dan Pulau Pinang, serta satu di Kelantan.
Namun, UMNO gagal meraih sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.
Leave a Reply