SEORANG pemandu lori maut, manakala 22 penumpang bas terselamat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 60 Jalan Kota Bharu-Gua Musang malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Suzaimi Mohamad berkata dalam kejadian pada 10.40 malam itu, pemandu lori meninggal dunia di tempat kejadian serta dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat.
“Siasatan awal mendapati bas yang membawa 22 penumpang dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju ke Seremban, Negeri Sembilan, manakala lori itu pula dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kota Bharu.
“Apabila tiba di lokasi, lori terbabit telah bertembung dengan bas dan kemalangan itu mengakibatkan bas itu bergerak ke sebelah kiri jalan lalu melanggar penghadang keselamatan,“ katanya dalam kenyataan media hari ini.
Suzaimi berkata kelindan lori dan pemandu bas mengalami kecederaan ringan, manakala 22 penumpang bas pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dibawa oleh pihak syarikat bas berkenaan ke lokasi dituju dengan selamat.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply