UMNO, PKR Selangor bergelut selepas DAP cadang 2 ahli sebagai speaker, pengerusi GLC

PERGELUTAN sedang berlaku dalam blok kerajaan Selangor yang baru apabila Setiausaha Agung DAP Anthony Loke bertegas untuk meneruskan rancangan bagi melantik seorang bekas ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu sebagai pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), pelabuhan terbesar negara yang diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan yang diterajui Loke sendiri.

MalaysiaNow difahamkan, UMNO Selangor serta sekurang-kurangnya tiga ADUN PKR menentang cadangan Loke untuk menamakan bekas ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian sebagai pengerusi pelabuhan itu, dengan alasan ia hanya akan memburukkan lagi defisit kerajaan negeri dalam sokongan orang Melayu.

“Daripada segi persepsi, terutama selepas kita lihat keputusan baru-baru ini, ia bukan langkah yang baik,” kata seorang pemimpin UMNO Selangor yang terlibat dengan perbincangan baru-baru ini kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

Yong dilantik sebagai Pengerusi LPK sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, di mana Loke ketika itu menyandang jawatan Menteri Pengangkutan. 

Berikutan kejatuhan kerajaan PH pada 2020, Ean Yong digantikan oleh Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon.

Nama Ean Yong naik pada 2009, ketika pembantu politiknya, Teoh Beng Hock ditemui mati sewaktu dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Teoh ditahan kerana disoal siasat mengenai dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan negeri di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan.

Sumber PKR berkata sekurang-kurangnya ‘tiga atau empat’ ADUN parti itu tidak berpuas hati dengan pengumuman terbuka Loke untuk mengesyorkan Ean Yong untuk jawatan itu, dengan mengatakan ia direka untuk memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan syarat DAP.

“Bukan sahaja tidak wajar untuk mengatakannya secara terbuka, ia juga sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai salah guna kuasa di pihak Loke memandangkan beliau juga menteri pengangkutan,” katanya.

Kenyataan itu hadir tiga minggu selepas Loke, mengumumkan barisan calon DAP bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, mencadangkan Ean Yong dilantik sebagai pengerusi pelabuhan, dilihat sebagai ganjaran kepadanya kerana mengosongkan kerusinya.

Ean Yong adalah antara penyandang yang digugurkan daripada bertanding dalam PRN Selangor pada 12 Ogos, bersama Teng Chang Khim, V. Ganabathirau, Lau Weng San dan Edry Faizal Eddy Yusof.

Selain mengumumkan akan mengesyorkan Ean Yong sebagai Pengerusi LPK, Loke juga menamakan Lau untuk jawatan Speaker, sebagai bentuk pampasan kepada parti itu kerana bersetuju memberi laluan kepada UMNO di Dusun Tua.

Edry, penyandang DUN Dusun Tua yang merupakan satu daripada dua ADUN Melayu DAP di Selangor, bagaimanapun tidak disyorkan untuk sebarang jawatan sebagai pampasan kerana digugurkan daripada PRN baru-baru ini.

Walaupun menepati kriteria DAP untuk meletakkan calon muda, namun pemimpin berusia 38 tahun yang fasih berbahasa Cina itu, juga tidak menyatakan mengapa beliau digugurkan, hanya berkata dalam siaran video bahawa ia adalah perancangan Tuhan. 

Sementara itu, Teng yang mencecah usia 60 tahun pada tahun ini sendiri menyatakan hasratnya untuk bersara daripada politik, manakala Ganabatirau sudah memenangi kerusi Parlimen Klang pada pilihan raya umum November lalu.

‘Tidak baik untuk optik’

Sumber PKR Selangor yang rapat dengan kepimpinan parti berkata, dengan DAP sudah ‘hampir mendominasi’ blok kerajaan di Selangor, parti itu tidak perlu mengukuhkan kedudukannya dengan menuntut lebih banyak jawatan.

“Ia tidak baik untuk optik, terutamanya apabila kita tidak henti-henti cuba meyakinkan pengundi Melayu bahawa DAP tidak akan mempunyai kelebihan di Selangor,” katanya, sambil menambah Loke harus merancang sesuatu yang baru.

“Iklim pasca pilihan raya berbeza dengan musim kempen. Beliau harus memikirkan dengan teliti dua cadangannya untuk memberi ganjaran kepada ahli partinya.”

Sumber itu menambah, pemilihan Lau sebagai speaker negeri juga boleh menimbulkan lagi masalah, mengimbas kenyataan yang dibuatnya pada 2016 yang mempersoalkan sokongan UMNO untuk memperkasakan mahkamah syariah di Selangor.

DAP memenangi kesemua 15 kerusi yang ditandinginya di Selangor, menjadi blok terbesar dalam gabungan PH-UMNO.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan walaupun PH-UMNO berjaya mempertahankan negeri itu, namun susunan kerajaan negeri mungkin merumitkan usaha gabungan itu untuk menghapuskan persepsi ia berkuasa atas sokongan bukan Melayu. 

Perebutan jawatan dalam 12 majlis kerajaan tempatan di Selangor juga akan diperhatikan, di mana parti kerajaan sering diperuntukkan jawatan sebagai ahli majlis.

Dengan UMNO menjadi komponen dalam gabungan berkenaan, parti itu berkemungkinan menuntut lebih banyak perwakilan dalam majlis kerajaan tempatan, yang boleh menimbulkan kemarahan dalam kalangan NGO dan aktivis yang menyalahkan parti itu atas penyelewengan masa lalu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *