Ramalan ekonomi tidak memberangsangkan, hanya Menteri Ekonomi syok sendiri

TAN Sri Shahrir Abdul Samad menggesa supaya kerajaan campuran mengambil langkah segera bagi menangani kelembapan yang dijangka akan dihadapi negara tahun ini.

Veteran UMNO itu menyindir Menteri Ekonomi yang disifatkan lebih ’syok sendiri’ walhal realitinya keadaan semasa tidak memberangsangkan selepas data terkini menunjukkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang lemah pada suku kedua tahun ini.

“Kena cepatlah lancarkan program dan strategi Ekonomi Madani!!

“Ramalan ekonomi bagi tahun ini tidak memerangsangkan. Hanya Menteri Ekonomi seorang yang terangsang, syok sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, lapor Agenda Daily.

Kenyataan Shahrir Samad di Facebook beliau

Terdahulu pada minggu lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang secara sederhana pada 2.9 peratus tahun ke tahun dalam suku kedua berbanding 5.5 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2023, didorong terutamanya oleh permintaan luaran yang lebih perlahan.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia mencecah paras terendah untuk tempoh dua tahun pada suku kedua disebabkan oleh eksport yang merosot dan kelembapan global, mendorong bank pusat pada Jumaat lalu memberi amaran jangkaan pertumbuhan KDNK yang lebih rendah daripadasebelumnya.

Ahli ekonomi yang ditinjau Reuters meramalkan pertumbuhan KDNK pada 3.3% bagi tempoh April hingga Jun.

Bank Negara Malaysia juga berkata pengembangan ekonomi setahun penuh akan datang pada hujung bawah julat 4 peratus hingga 5 peratus yang diramalkan sebelum ini, walaupun sesetengah ahli ekonomi meramalkan sasaran itu sukar dicapai kerana permintaan dalam negeri turut perlahan.

Ahli Ekonomi RHB Bank Bhd Chin Yee Sian dan Penganalisis Penyelidikan Bersekutu Wong Xian Yong dalam nota penyelidikan masing-masing berkata angka KDNK suku kedua yang lebih rendah daripada unjuran konsensus Bloomberg sebanyak 3.3 peratus tahun ke tahun serta unjuran dalaman mereka sebanyak 3.5 peratus tahun ke tahun, adalah seiring dengan pertumbuhan suku berkenaan yang sederhana.

Mereka berpendapat, ini berikutan kelemahan dalam permintaan luaran selain normalisasi perbelanjaan pengguna di peringkat domestik.

Berikutan perkembangan itu, mereka menyemak turun unjuran pertumbuhan KDNK 2023 kepada 4.3 peratus daripada 5.0 peratus tahun ke tahun sebelum ini kerana menjangkakan perbelanjaan pengguna yang terus menyederhana dalam suku ketiga 2023.

“Penguncupan data eskport bagi asas tahun ke tahun berkemungkinan besar akan turut berlanjutan ke dalam suku ketiga 2023,” kata mereka.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *