Pengundi belum sedia terima Kerajaan Perpaduan

PENGUNDI masih belum bersedia menerima Kerajaan Perpaduan berdasarkan keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri lalu pada 12 Ogos lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid berkata, tempoh lapan bulan penubuhan Kerajaan Perpaduan disifatkan terlalu singkat untuk Barisan Nasional (BN) berkempen dan menjelaskan kesepakatan itu kepada rakyat sebelum PRN dilakukan.

Namun beliau yakin sekiranya mempunyai masa yang panjang selepas penubuhan kerajaan negeri dan pelantikan Menteri Besar dan Exco pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti akan mendapat keputusan yang baik berbanding sekarang.

“Secara keseluruhannya kemenangan tipis kita pada pilihan raya ini ada kaitan juga dengan sentimen agama dan bangsa yang dimainkan oleh pihak berkenaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Dalam pada itu, Bibi Sharliza tidak menolak undi awal atau pos daripada pengundi tentera yang dilihat tidak memberikan undi mereka kepada parti yang memerintah memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.

” Ia ternyata berbeza sama sekali dengan pilihan raya sebelum-sebelum ini (PRU13 dan terdahulu),” katanya.

Pada PRN lalu, BN Negeri Sembilan mempertaruhkan 17 kerusi DUN namun hanya 14 kerusi berjaya dimenangi berbanding 16 kerusi yang dimenanginya pada PRU15.

Bibi Sharliza pula berjaya mempertahankan kerusi DUN Juasseh dengan 4,549 undi – majoriti tipis iaitu 78 undi daripada parti lawannya Perikatan Nasional (PN) diwakili bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith yang memperoleh 4,471 undi.

Sementara itu, Bibi Sharliza yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan mengakui golongan wanita kini semakin diterima dalam dunia politik dan ini terbukti melalui PRN lepas berbanding PRU15.

Katanya, ia berikutan empat daripada lima calon wanita yang ditampilkan PH-BN di Negeri Sembilan berjaya mempertahankan kerusi masing-masing.

“Ya, ini menunjukkan satu keputusan wanita semakin diterima oleh masyarakat sebagai pemimpin (politik), semua parti sudah boleh mengeluarkan pemimpin wanita masing-masing.

“Saya yakin kesemuanya mampu menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Empat calon yang menang itu selain Bibi Sharliza adalah Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (Ampangan), Noorzunita Begum Mohd. Ibrahim (Pilah) dan Nicole Tan Lee Koon (Bukit Kepayang).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *