PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee menggesa kerajaan menyahklasifikasi perjanjian maritim yang ditandatangani dengan Indonesia pada Jun, bagi meredakan kebimbangan berikutan penafian Putrajaya bahawa perjanjian itu melibatkan blok Ambalat di luar pantai Sabah.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, penyahklasifikasian perjanjian itu bukan sahaja menjawab persoalan sejauh mana Triti Laut Sulawesi tidak melibatkan blok Ambalat, tetapi juga akan menghentikan spekulasi mengenai sempadan maritim antara kedua-dua negara itu di Laut Sulawesi.
“Blok ambalat iaitu kawasan seluas 15,000 km persegi di tengah-tengah wilayah pertikaian di luar pantai Sabah ini mengandungi sumber minyak mentah terbesar di dunia dan telah dipertahankan oleh Malaysia sekian lama maka ianya tidak boleh digadai sama sekali,” katanya.
Tambah beliau, pakar maritim yang terlibat dalam usaha melindungi hak wilayah Malaysia memberi amaran kepada Putrajaya supaya tidak menandatangani sebarang perjanjian baru untuk menyelesaikan pertikaian sempadan yang berlarutan dengan Indonesia, yang menurut mereka Malaysia tidak sepatutnya berkompromi terhadap tuntutannya ke atas kawasan tertentu, terutamanya melibatkan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta pelantar benua antara Malaysia dan Indonesia.
“Jadi tentu sekali penting untuk didedahkan apa yang dimeterai dalam perjanjian itu supaya spekulasi tidak berpanjangan dan sebagai bukti jelas perjanjian berkenaan tidak langsung melibatkan kawasan yang dirujuk Malaysia sebagai Blok ND6 dan Blok ND7 atau Ambalat.
“Tindakan segera untuk nyahklasifikasikan kandungan perjanjian ini adalah penting untuk memastikan isu ini tidak berpanjangan.
“Kerajaan mempunyai tanggungjawab moral untuk menjelaskan isu Ambalat secara terbuka dan tuntas bagi menangani prasangka, keraguan serta kebimbangan rakyat Malaysia, khususnya di kalangan rakyat Sabah.”
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Joko Widodo menandatangani beberapa perjanjian pada 8 Jun, termasuk mengenai persempadanan laut wilayah di Laut Sulawesi dan Selat Melaka, di tengah-tengah keraguan daripada pakar maritim mengenai cadangan untuk menyelesaikan pertikaian itu.
Timbalan Menteri Luar, Mohamad Alamin sebelum ini menolak dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan, Assaffal Alian bahawa Malaysia menyerahkan tuntutannya kepada Indonesia.
Alamin berkata, perjanjian maritim baru-baru ini, yang dipuji oleh kedua-dua pemimpin sebagai menamatkan pertikaian selama 18 tahun, tidak ada kaitan dengan blok Ambalat atau mana-mana kawasan lain yang lebih 200 batu nautika dari ZEE.
“Kami juga belum berunding mengenai apa-apa yang berkaitan dengan sempadan Ambalat,” katanya pada 15 Ogos, lapor MalaysiaNow.
Laporan eksklusif CNBC bulan lalu bagaimanapun berkata, Malaysia dan Indonesia akan bekerjasama dalam meneroka sumber minyak dan gas di blok Ambalat.
Leave a Reply