10 termasuk tujuh Exco baharu Kedah angkat sumpah

Oleh BADLISHAH MAT

KERAJAAN negeri Kedah mengekalkan tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada penggal lalu untuk digabungkan bersama tujuh Exco baharu bagi penggal ke-15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah kali ini.

Majlis pelantikan dan angkat sumpah 10 Exco Kedah itu berlangsung di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada pukul 10 pagi ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengekalkan portfolio Perancang Negeri; Hasil Bumi; Kewangan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) selain turut bertanggungjawab bagi portfolio Hal Ehwal Tanah, Mineral dan Geosains; Majlis Tindakan Ekonomi Negeri; Pembangunan Kedah 2035 dan Kerjasama Luar.

Komposisi pelantikan Exco tersebut menyaksikan kombinasi enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dan tiga ADUN mewakili Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) serta seorang wakil rakyat daripada Gerakan.

Exco yang dikekalkan adalah Datuk Siti Ashah Ghazali (Pas) yang masih menggalas portfolio Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan yang disandangnya penggal lalu sementara Datuk Halimaton Shaadiah Saad (Bersatu) mengambil alih portfolio Perpaduan disamping kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

ADUN Kuala Nerang, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria (Pas) yang sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air turut mengekalkan portfolio sama, selain tambahan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar.

Sementara itu, tujuh Exco baharu yang dilantik masing-masing empat mewakili Pas, Bersatu (dua) dan seorang Gerakan termasuk legenda bola sepak Kedah era 1990-an, Muhammad Radhi Mat Din (Pas) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan.

Ketua Penerangan Pas Kedah, Mohd. Azam Abd. Samat yang mempertahankan DUN Sungai Limau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, manakala ADUN Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria juga daripada Pas diberi tanggungjawab bagi portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan.

Seorang lagi wakil rakyat Pas yang juga ADUN Jitra, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah mengetuai portfolio Industri dan Pelaburan; Sains, Teknologi dan Inovasi. Bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu juga dipertanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi.

Dalam pada itu, wakil Bersatu, Dzowahir Ab. Ghani dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, sementara Datuk Salleh Saidin mengangkat sumpah Exco bagi portfolio Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan.

Wakil tunggal Gerakan yang menang di DUN Kulim pada pilihan raya negeri (PRN) Kedah lalu, Wong Chia Zhen dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *