BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, UMNO yang dulu disanjung kini dipandang hina oleh ahli partinya sendiri.
Menurutnya, ini berdasarkan prestasi buruk parti itu pada enam pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos lalu.
“UMNO berubah dengan drastiknya apabila pemimpin parti itu tidak lagi mengutamakan perjuangan parti.
“Kita lihat UMNO dulu satu parti yang disokong oleh seluruh negara sehingga kita dapat tewaskan British, kemerdekaan pun kita dapat capai, pembangunan negara pun dapat berlaku semasa Umno memerintah.
“Tetapi apabila ada pemimpin yang bukan utamakan perjuangan UMNO. Sebaliknya lebih utamakan apa yang pemimpin dapat. Duit adalah raja. Rosak UMNO. Sejak itu kita lihat prestasi UMNO merudum.
“Dulu majoriti yang kuat kita dapat dari kerajaan yang kukuh. Tetapi, sekarang ini dipandang hina oleh ahli-ahli mereka sendiri,” katanya pada sidang media di Yayasan Bukhary, Kuala Lumpur, hari ini.
PRN 12 Ogos lalu BN hanya menang di 19 kerusi berbanding 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingnya.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata, UMNO kini bukan lagi parti yang ditubuhkan sebelum ini tetapi parti yang ditolak oleh rakyat.
“Siapa yang tidak bersetuju dengan pemimpin disingkir. Umno sekarang ini, ini bukan Umno yang ditubuh (sebelum ini). Tetapi Umno kini Umno yang kena tolak oleh orang yang mempunyai perjuangan yang berlainan.
“Zahid tak layak langsung (mengemudi UMNO). Ada 47 pertuduhan terhadap dia. Yang minta nak jadi timbalan kononnya pasal sebagai timbalan perdana menteri dia tak akan dihukum,” katanya, lapor Malaysiakini.
Mahathir yang juga bekas Presiden UMNO paling lama berkhidmat keluar parti itu pada 2016 selepas menentang Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
Untuk rekod, Mahathir dipecat keahliannya daripada UMNO ketika era pentadbiran Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada September 1969 dan kembali menyertai semula parti itu pada 1972.
Mahathir juga pernah keluar UMNO pada 2007 ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri sebelum menyertai semula parti itu pada 2008.
Leave a Reply