JURUTERBANG pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina, Shah Alam, semalam bertindak memberikan nombor telefon isteri kepada rakannya minggu lalu.
Tindakan Allahyarham Shahrul Kamal Roslan, 42, itu disifatkan sebagai sesuatu di luar jangkaan oleh abang ipar mangsa, Syed Tahir Syed Mohamed, 39, dan seolah-olah dapat merasakan sesuatu akan terjadi.
Menurutnya, perkara itu sesuatu luar jangkaan dengan andaian rakan itu akan menghubungi ahli keluarganya sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
“Mungkin dia (Shahrul Kamal) dapat merasakan cuma tidak beritahu (mengenai firasatnya).
“Alhamdulillah, semalam Halim (rakan Allahyarham) orang yang pertama beritahu mengenai nahas terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, hari ini.
Sebaik mengetahui mengenai kejadian itu katanya, mereka sekeluarga bergegas ke lokasi kejadian dan mendapat berita tidak rasmi bahawa Shahrul Kamal antara yang terkorban.
Syed Tahir berkata, adiknya iaitu isteri arwah sudah membuat pengecaman ke atas jenazah di Jabatan Forensik HTAR.
“Bagaimanapun, ada kerja-kerja perlu dibuat dari segi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi cebisan (badan) yang lain.
“Insya-Allah, segala urusan mandi dan solat akan dilakukan di HTAR sebelum dibawa ke rumah ibu bapa arwah di Taman Melawati dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Klang Gate selepas solat Jumaat,” katanya.
Syed Tahir juga menyifatkan Shahrul Kamal yang periang, penyayang dan disenangi oleh ahli keluarga selain mempunyai empat anak hasil perkahwinan dengan adiknya.
“Dia juga dikenali sebagai comel dalam kalangan ahli pilot (juruterbang) dan sangat cekap dalam pengendalian pesawat tetapi sudah takdirnya,” katanya, lapor Harian Metro.
Semalam, media melaporkan 10 lelaki disahkan maut dalam nahas pesawat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang juga Exco Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Pesawat yang berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat pada jam 2.50 petang dan terhempas dua minit sebelum mendarat.
Leave a Reply