Pesawat dikenalpasti melencong daripada laluan asal pendaratan – Anthony

PESAWAT Beechcraft Model 390 (Prime 1) yang terhempas di Elmina, Shah Alam yang mengorbankan 10 nyawa dikenal pasti melencong daripada laluan asal pendaratan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, maklumat tersebut adalah berdasarkan pemerhatian awal setakat ini.

“Berdasarkan pengamatan awal, pesawat berkenaan didapati melencong ke sebelah kanan daripada laluan pendaratan. Pesawat telah menerima kebenaran untuk mendarat namun tiga minit selepas itu menara kawalan (Lapangan Terbang Subang), melihat kepulan asap dari lokasi nahas,” katanya pada sidang media, di Subang hari ini.

Beliau berkata,  pesawat tersebut telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

“Hubungan pertama oleh pesawat berkenaan dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang adalah pada jam 2.47 petang dan kebenaran mendarat telah diberikan pada jam 2.48 petang.

“Pada jam 2.51 petang, Menara Kawalan Trafik Udara Subang telah melihat asap dari lokasi nahas namun, tiada panggilan kecemasan dibuat oleh pesawat tersebut,’’ katanya.

Anthony turut mengesahkan Exco Kerajaan Negeri Pahang Datuk Johari Harun terbunuh dalam kejadian itu bersama tujuh orang lagi dalam pesawat tersebut.

‘’Mereka ialah  dua juruterbang; Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim. Manakala lima  penumpang selain Allahyarham Johari ialah  Kharil Azwan Jamaludin; Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi; Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib@Ramali,” katanya.

Beliau berkata, identiti dua lagi mangsa  iaitu penunggang motosikal dan pemandu sebuah kereta yang terkorban dalam nahas itu masih lagi belum dikenal pasti.

Katanya, Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) sedang giat mencari kotak hitam pesawat tersebut di lokasi kejadian.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut.

“Saya berharap ketika ini semua pihak bersabar dan memberi ruang kepada semua pihak berkuasa untuk menjalankan tanggungjawab dan tugas mereka dengan teratur,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *